Wednesday, May 11, 2011

Ahad yang Panas





Sekarang musim panas. Iyad sudah mula demam. malam tadi ibu tidak dapat tidur kerana Iyad meragam. Suhu badannya naik mendadak. Puaslah ibu tuam dengan air sejuk dan beri ubat. Pagi ini, ibu pening kerana tidak cukup tidur.
********


Cerita hari Ahad.
Hari ahad minggu lepas kami menghadiri kenduri kahwin sepupu babah. Fazly. Turut bersama kawan ibu dari Singapura, Jenn. Cuaca begitu panas. Ibu terpaksa meninggalkan anak-anak ibu dengan babah yang sibuk membantu apa yang patut. Ibu perlu menghantar Jenn ke Berjaya Times Square kerana Jenn akan balik ke Singapura hari itu.

Ibu berjanji dengan anak-anak ibu, yang ibu akan bawa mereka ke Taman tasik Perdana selepas pulang dari kenduri itu. Mereka mengangguk.

Sesudah menghantar Jenn, dan tidak dapat menemani beliau menunggu bas yang akan tiba jam 3.30 petang....ibu terus bergegas kembali ke kenduri. Duduk sekejap dan terus ke Taman tasik Perdana.

Cuaca memang panas.



Dan ibu layankan sahaja anak-anak ibu di sana. Naik Syatel sampai dua kali.

***********

Sebaiknya, untuk menghiburkan anak-anak di hujung minggu yang panas, kita boleh sahaja membawa mereka ke taman permainan yang berada di dalam bangunan pusat membeli belah. Contohnya di Giant Kota Damansara, Berjaya Time Square, One Utama dan sebagainya. Cuaca yang panas bawa penyakit yang pelbagai.

Friday, May 6, 2011

Doa Iyad



"Kenapa ibu menangis?" tanya Iyad malam tadi sambil tangannya meraba-raba wajah saya.

Dalam gelap, dia tahu saya menangis. Suara dan barangkali nada percakapan yang sedikit serak basah.

"Iyad sayang ibu tak?" tanya saya memulakan perbualan agar hal nangis tidak membuat mood saya calar.

"Sayang. Iyad sayang sangat kat ibu," jawabnya sambil memeluk saya lebih erat.

"Doakan ibu boleh?" tanya saya.

"Okey, Iyad doakan supaya ibu kerja kuat-kuat. Ibu kena berusaha. Nanti dapat banyak duit. Iyad nak beli mainan banyak-banyak. nanti kita boleh naik kapal terbang, jalan-jalan.....bla...bla...."

Saya biarkan dia membebel.

Kemudian, dia peluk saya lebih erat sambil berkata, "Iyad doakan semoga ibu tidak mimpi hantu."

Saya tergelak dengan doanya yang akhir. Ternyata, jejaka kecil inilah penawar yang sebenarnya. Juga Hakim.

Ibu sayang kamu berdua.

Ahh..panik.



"Ibu, ibu pernah buang Hakim tak?" tanya Hakim tiba-tiba ketika kami bersantai di atas katil untuk tidur.

Saya terkejut. Benar-benar terkejut. Dengan wajah serius saya menjawab, "mana mungkin. Ibu sayang Hakim sangat. Mengapa mesti ibu buang awak?"

"Tapi, ibu pernah tak buang Hakim kat tong sampah?" tanyanya lagi dengan bersungguh.

"Kenapa awak tanya ibu begini? Sudah pasti ibu tidak pernah buang awak di mana-mana sekalipun. Ibu sayang awak sangat-sangat. Tak boleh ganti dengan apapun. Kalau awak tiada, ibu pun mati." Jawab saya sambil duduk dan menghadap wajahnya yang sedang berbaring.

"Ibu ni, janganlah panik. Hakim tanya sahaja," jawab dia selamba.

Erghhh.....

Thursday, May 5, 2011

GPS...PSP


Sementara menunggu giliran bermain game dengan pakciknya, Hakim bermain game Cars di dalam telefon bimbit makciknya.




"Ibu, bolehkah ibu beri Hakim setiap hari RM10?" tanya Hakim ketika kami santai menonton Spongebob hari Isnin lalu.

"Untuk apa?" tanya saya serius.
"Hakim mahu kumpul RM400. Mahu beli GPS," jawab Hakim dengan yakin.

"GPS?" tanya saya dengan kerutan yang penuh makna di wajah.

Beberapa saat kemudian, dia senyum dan menjawab, "eh...PSP..."

Kami tergelak.
****

PSP.

Saya berbual dengan jejaka. Mahu belikan mereka PSP kah untuk tujuan libur?
Kami masih berkira-kira tentangnya. Tetapi saya tidak berkenan dengan permainan tersebut walaupun didakwa ia boleh meningkatkan kecerdasan kanak-kanak dalam menguji ketangkasan, kecekapan dan kekreatifan.

Mungkin kerana saya memang tidak gemar/tidak pernah bermain PSP maka, saya merasakan ia tidak perlu dalam menyokong pembentukan pemikiran anak-anak. Yang saya nampak hanyalah 'buang masa' dan boleh melalaikan.
Oh, saya tidak mahu ambil risiko dengan membelikan PSP dan akhirnya anak-anak saya akan leka dan 'jadi malas belajar'.

Saya belum punya kekuatan untuk menjadi pengawal yang baik untuk anak-anak. Sebaiknya saya hindarkan PSP dari senarai 'bahan bantu hilangkan stress' untuk anak-anak.

******

Balik kampung minggu lepas, Hakim dihidangkan dengan permainan Street Fighter oleh pakcik-pakciknya. Dia leka. Teruja dan seterusnya menangis apabila kalah dalam permainan itu.

Peliknya, Iyad tidak berminat langsung dengan permainan maya itu. Cuma sesekali mahu meminjam telefon bimbit saya untuk bermain game 'ringkas' di dalamnya.



Jejaka kecil saya, Iyad dengan buku barunya Mencari Pohon Emas, Putera Berlima

Maaf, Hakim, ibu hanya akan belikan permainan itu seandainya keputusan peperiksaan kamu membanggakan dan kamu menunjukkan sikap 'mendengar kata' yang lebih baik.

Monday, April 18, 2011

Sepanjang 4 bulan persekolahan.






Sudah pasti ibu ingat detik-detik awal Adli Hakim memasuki Tahun Satu. Bagai mimpi pun iya.

Seolah mengimbas zaman persekolahan ibu. Namun, sudah pasti situasinya berbeza.

Perkara utama yang perlu kami sediakan ialah kelengkapan Adli bersekolah (termasuk Iyad Irfan sekali yang akan memasuki Tadika Pasti). Proses membeli kelengkapan sekolah Adli Hakim memang merumitkan. Pertama kerana saiz badan Adli Hakim yang kecil, menjadikan pencarian agak getir. Apatah lagi kami beli di saat-saat akhir kerana sibuk bekerja.

Membeli dua pasang kasut, dua pasang baju sekolah siap dengan seluar, tiga pasang baju Melayu (sepasang untuk hari Jumaat sekolah rendah dan dua pasang untuk sekolah agama di sebelah petang). Stokin, baju singlet, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis. Fuhh..dahsyat juga..


Erkkk buruknya jahitan ibu

Malamnya, ibu pun menyediakan kelengkapan. Menjahit lencana sekolah (aduhai, dahulu pakai lekat dengan seterika sahaja) - mengeluh kerana ibu tiada seni menjahit pakaian. Juga menggosok baju dan mengapur kasut sekolah.

Itu semua memerlukan kesabaran yang tinggi, terutama mengapur kasut yang kecul dengan span penggosok yang besar. Habis satu tangan kena kapur.

Sepagi-pagi untuk sesi orientasi dan peletakan kelas, kami bangun agak awal dan bersiap sebaiknya. Adli Hakim bersemangat. Ibu menghantar Adli Hakim ke tapak perhimpunan sesudah meneliti nama kelasnya.

Tetapi, apabila babah tiba setelah parking kereta, babah kata ibu letak Adli Hakim di kelas yang salah. Aduss..pening...


Adli bersama Iman Irfan, anak jiran depan rumah kami


Suasana bising, tidak dengar patah bicara guru yang beri taklimat. Babah uruskan pembelian buku-buku Adli Hakim sementara ibu pula naik ke kelas Adli melihat anak ibu yang kacak menjawab soalan untuk menentukan kelas.

Hari pertama ibu sudah lihat sikap guru yang menyakitkan jiwa. Menjerit-jerit. terkebil-kebil pelajar mendengar arahan guru dengan nada tiada kasih sayang. Tidak mengapa, maafkan sahaja lah.

Selesai sesi di sekolah rendah, kami ke sekolah agama pula. Di sana, tiada masalah yang timbul.

Selamat bersekolah Adli Hakim.

*keputusan peperiksaan Adli Hakim tidak begitu memuaskan baru-baru ini. Namun, ibu dan babah akan terus berusaha agar Adli dan Iyad mendapat pendidikan sebaiknya. kami cuba.

Monday, April 11, 2011

Lelaki Pujaan Wanita : Rajin Menolong di Dapur

Berebut mahu mencetak karipap


Aksi berjaya menggoreng jemput-jemput




Ya, salah satu lelaki pujaan wanita ialah lelaki yang rajin menolong di dapur. Tapi sayang, awak tidak boleh selalu 'kacau' ibu di dapur.

Saya selalu terfikir, alangkah baiknya punya teman di dapur. Boleh bantu saya mengupas bawang, mengacau kuah, buat air atau hal-hal lain. Jika ada anak perempuan, tentu meriah dan nampak comel. Saya mahu ajar rahsia memasak dan pelbagai lagi (macamlah masak sedap sangat).

Namun, saya hanya dikurniakan dua lelaki gagah ini yang mempunya naluri kasihkan ibunya sehingga ke ceruk dapur pun sanggup menemani dan membantu ibunya. Sifat ingin tahu mereka membuatkan saya bangga dan merasakan, apa yang Allah beri setakat ini, benar-benar cukup. Anak lelaki atau perempuan, sama sahaja. Masing-masing boleh bantu ibunya jika dididik dengan sifat kerjasama dan saling membantu tidak kira sama ada kerja itu kerja lelaki atau perempuan.

****
"Aduh...sakitnya...." kata Iyad semasa minyak terpercik ke lengannya.

"Itulah, ibu dah cakap, jangan duduk di sini. Tunggu ibu siap masak. Nanti kita makan sama-sama," jawab saya.

"Tapi, Iyad nak tolong ibu...kesian ibu...ibu penat..." jawab Iyad.

Wednesday, March 30, 2011

Gigi.



Dia, memang tidak suka makan sayur. Entah kenapa. Liat dan langsung tak boleh jalan segala cara untuk meminta dia makan sayur-sayuran.

Jadi saya gunakan alasan itu untuk mengatakan, giginya tumbuh berlapis kerana dia tidak makan sayur.

****
Lebih kurang sebulan lalu, gigi hadapan Hakim bergoyang hampir tanggal. Saya tanpa fikir, menjadi doktor gigi kepada beliau dengan mengikat giginya guna benang, kemudian tarik. Sesudah gigi tertanggal, baru saya perasan, bahagian belakang gigi, telah tumbuh gigi yang baharu. Bagaimana? Saya jadi panik.

Semalam, gigi hadapannya yang lain sudah goyang. Dan di belakangnya juga ada gigi baharu.
Perlukah saya berjumpa doktor gigi untuk dapatkan nasihat mengenai susunan gigi Hakim yang mula bersepah?

****

Saya masih gunakan punca yang sama. "Sebab awak tidak makan sayur. Gigi awak jadi teruk begini."

Dan dia, Muhammad Adli Hakim masih tidak mahu makan sayur.

Wednesday, March 23, 2011

Selamat Hari Jadi Babah!



Sabtu dan Ahad yang lalu kami ke Port Dickson. Pertemuan babah dan rakan-rakannya. Kami ikut serta (sebetulnya trip untuk anak-anak sempena cuti sekolah).Perjalanan selesa, cuma hujan renyai-renyai agak merisaukan ibu yang sibuk memikirkan, "jika hujan, apa yang anak-anak ibu boleh lakukan di sana?"

Setibanya di sana, kami bersama 3 keluarga yang lain menginap di Hitel Blue Lagoon (Apartment). Anak-anak terus masuk kolam renang, bapa-bapa pula buat persediaan untuk memancing di laut dan ibu-ibu menyediakan makanan (kami masak sendiri : mee/soto, sup,) serta makanan ringan yang lain.

Ibu tidak begitu sihat sebetulnya. Juga memikirkan mesyuarat yang bakal ibu hadiri di Seremban pagi Ahad. Jadi, biarkan sahaja anak-anak mandi sampai lebam.

Sebetulnya, ibu sudah buat persediaan untuk ulang tahun kelahiran babah. Ibu akan pergi mesyuarat di Seremban dan terus mengambil kek istimewa yang telah ibu tempah sebelumnya dengan kawan ibu, Onepiecebakery. Ibu akan pulang semula ke PD dan buat kejutan buat babah.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Anak-anak gembira dengan trip kali ini walaupun hujan menemani dan kami juga gembira kerana cuti seminggu yang ibu fikirkan tidak ke mana-mana, akhirnya terisi dengan trip ini.

Terima kasih, babah. Selamat menyambut ulang tahun kelahiran.

"Yang, selamat menyambut ulang tahun kelahiran. Semoga menjadi kekasih paling baik hati untuk saya dan anak-anak (sahaja). Juga semoga dimurahkan rezeki, disihatkan tubuh badan dan diberkati serta di rahmati selalu (untuk saya dan anak-anak sahaja)...hihihi...." --> Ucapan ibu kepada babah di FB babah.

Tuesday, March 15, 2011

Majlis Perkahwinan dan kami...


Pasangan pengantin

Tarian piring yang mendapat perhatian




Aju dan Fatin


Adli Hakim yang sangat gembira bertemu Pak Su nya.


Hari Sabtu lalu ialah majlis perkahwinan sepupu babah di Rembau (Anak Pak Andak). Kami hadiri dengan suasana kelam-kabut kerana pagi itu baru babah teringat tarikh majlisnya. Maka, pagi Sabtu yang kami sangka boleh bersantaian di rumah akhirnya dibatalkan dengan menghadirkan diri ke Rembau.

Perjalanan lebih kurang sejam setengah. Namun, ia menjadi perjalanan yang panjang apabila babah mengambil jalan pintas yang tidak pintas. Hehehe...

Sampai di sana, atuk dan nenek sudah ada. Paksu dan beberapa makcik-makcik kami juga sudah hadir. Suasana agak bising (seperti biasa) dengan muzik yang kuat. Maka, agenda bermesra dengan saudara-mara jadi terbantut. Suara jadi serak.

Paling gembira tentulah Adli Hakim dan Iyad Irfan. Layankan sahaja.


Wajah kepenatan dalam perjalanan pulang ke KL



Tidur.

Thursday, March 10, 2011

Dua itu adalah mereka


Adli Hakim dan Iyad Irfan semasa berusia 4 tahun dan 2 tahun. Bertelingkah itu biasa.

Dewasa. 6 tahun dan 4 tahun. Yang kadang mesra, kadang menduga-duga


Sedang ingin bermesra. Mandi juga satu 'telaga'.


Sudah mula ingin berkata-kata dan kadang jiwa meronta


Bermain bersama walau jiwa selalu tak sekata


Muhammad Adli Hakim.
Muhammad Iyad Irfan.

Kedua-duanya sudah berusia 7 tahun dan 5 tahun. Sudah besar bukan?

Melihat-lihat gambar mereka sedari kecil sehingga usia terkini, membuatkan saya tersenyum sendiri. Perkembangan fizikal dan psikologinya saya ikuti dengan disiplin yang tinggi. Memahami setiap perubahan yang berlaku dan menyelami setiap tingkahlaku yang terserlah. Sudah tentu saya bangga. Dan dalam masa yang sama berasa gundah dan takut.

Kedua-duanya punya sikap yang berbeza. Itu sudah pasti. Jadi, saya belajar dua perkara baharu setiap hari. Bukankah itu satu pergantungan yang bermanfaat dan sungguh luar biasa yang Tuhan berikan kepada saya. Saya mengajar mereka tentang kehidupan. Dan mereka mendidik saya tentang isi kehidupan. Maha Besar Allah, sesuangguhnya tiada kurnia yang lebih agung daripada kedua-dua jejaka kacak ini buat saya.

"Antara keduanya, yang mana awak sayang?" kata jejaka saya.

Saya memandang jejaka-jejaka kecil saya lantas menjawab, "kedua-duanya."