Showing posts with label psikologi anak-anak. Show all posts
Showing posts with label psikologi anak-anak. Show all posts

Wednesday, May 11, 2011

Ahad yang Panas





Sekarang musim panas. Iyad sudah mula demam. malam tadi ibu tidak dapat tidur kerana Iyad meragam. Suhu badannya naik mendadak. Puaslah ibu tuam dengan air sejuk dan beri ubat. Pagi ini, ibu pening kerana tidak cukup tidur.
********


Cerita hari Ahad.
Hari ahad minggu lepas kami menghadiri kenduri kahwin sepupu babah. Fazly. Turut bersama kawan ibu dari Singapura, Jenn. Cuaca begitu panas. Ibu terpaksa meninggalkan anak-anak ibu dengan babah yang sibuk membantu apa yang patut. Ibu perlu menghantar Jenn ke Berjaya Times Square kerana Jenn akan balik ke Singapura hari itu.

Ibu berjanji dengan anak-anak ibu, yang ibu akan bawa mereka ke Taman tasik Perdana selepas pulang dari kenduri itu. Mereka mengangguk.

Sesudah menghantar Jenn, dan tidak dapat menemani beliau menunggu bas yang akan tiba jam 3.30 petang....ibu terus bergegas kembali ke kenduri. Duduk sekejap dan terus ke Taman tasik Perdana.

Cuaca memang panas.



Dan ibu layankan sahaja anak-anak ibu di sana. Naik Syatel sampai dua kali.

***********

Sebaiknya, untuk menghiburkan anak-anak di hujung minggu yang panas, kita boleh sahaja membawa mereka ke taman permainan yang berada di dalam bangunan pusat membeli belah. Contohnya di Giant Kota Damansara, Berjaya Time Square, One Utama dan sebagainya. Cuaca yang panas bawa penyakit yang pelbagai.

Tuesday, February 2, 2010

Masa Untuk Dia.


Hakim semasa berusia tidak sampai setahun



Hakim dan buku. Dia suka membaca.

I


Dahulu, saya pernah menerima emel dari seorang rakan. Rasanya emel tersebut ramai yang sudah menerimanya. Tentang seorang anak yang mahu meminjam wang bapanya untuk membeli masa bapanya yang teramat sibuk dengan tugas harian. Semasa membaca emel itu kali pertama, saya menggelengkan kepala. Betapa saya tersentuh dengan kisah tersebut dan mula berazam untuk membanyakkan masa bersama anak-anak.

Rupanya, ia hanya kisah yang saya baca di emel. Rupanya, ia hanya kisah yang saya baca setakat itu sahaja tanpa benar-benar menginsafi tentang kisahnya.

Kisah itu, juga terjadi pada saya. Pada anak yang mula membesar yang saya nafikan haknya untuk merasai masa-masa bersama saya dengan alasan terlalu sibuk dan banyak kerja lain yang perlu dilunasi selain bersama anak-anak.

II

"Ibu, sini kejap ibu," kata Hakim sambil menarik tangan saya.

"Apa dia? Cakap sahajalah. Ibu banyak kerja ni," jawab saya dengan muka yang mencuka dan dengan terpaksa saya tinggalkan meja kerja.

"Ibu, tolong ajarkan ini. Sekejap sahaja. Tidak lama," kata Hakim sambil menyuakan buku latihannya.

Dia mengulang-ulang sebut perkataan 'tidak lama' dan 'sekejap sahaja' kepada saya.

Dan pengulangan tersebut betul-betul buat hati saya pedih.

Betapa saya sedang menidakkan masa untuk memberi perhatian buat anak-anak.

Maafkan ibu, Hakim.

Maaf.

Maaf.