Wednesday, November 26, 2008

Bertukarlah!


Seimbangkan pendidikan dan hiburan untuk anak-anak memerlukan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa yang bekerja. Jangan terlalu memaksa mereka kerana paksaan tidak akan menghasilkan apa-apa kesan positif.

Ibu letih, babah juga lesu.

Hakim dan Irfan hanya menonton televisyen bila ibu dan babah tidak begitu ghairah melayan mereka menelaah buku. Kasihan.

Ibu dan babah minta maaf.

Tapi kita masih boleh belajar melalui televisyen. Cuma ibu dan babah harus turut serta dalam proses itu. Pilih rancangan yang boleh melibatkan perasaan dan pengajaran. Terangkan mengapa situasi itu melucukan, menyedihkan dan sebagainya.

Ibu dan babah, mudah bukan mendidik anak-anak. jangan terlalu paksa, dan jangan terlalu santai.

Tuesday, November 18, 2008

Monday, November 17, 2008

HAKIM : Dari Dulu Hingga Kini

Hakim, kini 4 tahun.


Hakim, 3 tahun


Hakim, 2 tahun


hakim, 2 tahun


Hakim, tempoh setahun sejak lahir

Wednesday, November 12, 2008

Mengundur Masa


Wajah Hakim macam perempuan. Hehehehe...

Apabila melihat telatah mereka, cemburu menguasai diri. Mereka gembira. Masalah mereka hanya apabila ibu paksa tidur ataupun permintaan mereka untuk menonton cerita kegemaran tidak dilayan.

Hari itu, ibu demam. Bila demam mula la macam zaman kecil. Merengek dan berbaring sahaja. Bila melihat ibu menyerkup kepala yang sejuk dengan penutup kepala, si kecil mula meminta penutup kepala yang sama.

Ibu carikan topi masa mereka bayi dahulu. Satu untuk Hakim dan satu untuk Irfan. Masih muat walau agak sendat.

kejutan : Rupa-rupanya bukan ibu sahaja yang mahu kembali ke zaman kanak-kanak, Hakim dan Irfan juga mahu kembali ke zaman bayi mereka.

Friday, November 7, 2008

Sunyi. Sangat Sunyi.





Are you sleeping,
Are you sleeping,
All day long,
All day long,
Morning bell are ringing,
Morning bell are ringing,
Ding ding dong,
Ding ding dong.

Bangun la, ibu sunyi ni - ibu
Eleh, bila anak-anak bangun, awak kata bising - babah.

Tuesday, November 4, 2008

Mereka Pelengkap Dunia

Susah juga bila yang besar minta dipeluk, yang kecil pula tidak suka dipeluk.

Hakim, telah ibu titipkan pesanan agar menjaga adik Irfan ketika di taska. Ibu dan babah pergi kerja, jadi Hakim kena jaga adik. Hakim mengangguk. Dan Hakim minta ibu 'sayang' Hakim(peluk dan cium). Ibu cium pipi Hakim kiri dan kanan berserta pelukan yang erat sehingga degupan jantung ibu menjadi bekal Hakim di taska sepanjang hari.

Irfan, telah ibu perdengarkan nasihat agar jangan gaduh-gaduh dengan kawan di taska. Irfan mengangguk juga. Bila ibu mahu 'sayang' Irfan, Irfan cium pipi ibu kiri dan kanan tapi mata Irfan pandang ke arah lain. Tak mengapa, ibu tahu Irfan memang sayang ibu walaupun Irfan tak tunjuk.

Ketika ibu minta Hakim 'sayang' adiknya , Hakim mula memeluk. Tapi irfan mengelak dan mencubit abangnya.

Tahulah ibu, Irfan tidak semanja Hakim dan Irfan tidak suka dimanjai seperti Hakim.

Tapi susah lah, jika Hakim minta ibu bukakan atau pakaikan seluar untuk buang air. Hakim kan dah besar.

Sedangkan Irfan pula berusaha membuka sendiri seluar dan lampin pakai buangnya untuk buang air. Lampin pakai buang yang masih elok, terus di buang dalam tong sampah. Aduhai, Irfan, jangan membazir sayang.

Hakim dan Irfan,
Bagaimana bezanya sekali kamu berdua, ibu tidak kisah. Kerana kehadiran kamu berdua, hidup ibu dan babah semakin lengkap. Sangat lengkap.

Saturday, November 1, 2008

Ibu, Saya Dah Pandai.

Muhammad Iyad Irfan.

Minggu lalu, semasa saya sedang memeriksa kotak e-surat, jejaka kecil saya masuk ke bilik, menggendong tin biskut dan sudu. Saya tanyakan padanya, adakah dia mahukan biskut. jejaka kecil itu hanya senyum dan mula menyungkit penutup tin dengan menggunakan sudu. Beberapa kali mencuba. Saya hanya memandang. Dan Akhirnya tin biskut terbuka. Dia senyum penuh makna. Tanda kejayaannya membuka tin biskut tanpa bantuan saya. Dan saya senyum. Jejaka saya semakin membesar.

Semoga dia tahu, walaupun dia semakin membesar, tangan saya masih perlu memimpinnya. Kerana dia hanya berjaya membuka tin, tanpa berusaha menutupnya kembali.

Tuesday, October 28, 2008

Antara Kita Ada Mereka



Jejaka,
Antara kita ada mereka. Panas yang kita bahangkan jangan sampai melecurkan mereka. Sakit yang kita terbitkan dari liang hati dan wajah jangan sampai melukakan mereka.

Jejaka,
Sedaya upaya, dengan rasa atau tanpa rasa, mereka semakin memahami kita. Darah saya dan kamu ada dalam mereka. Cinta mereka ada dalam saya dan kamu. Kasih mereka melingkari rasa saya dan kamu.

Jejaka, maafkan saya. Izinkan saya menjadi pelangi kamu dan mereka.

Thursday, October 23, 2008

Jejaka dan Kek Cawan 'Hari Jadi' ke 4 tahun






Sabtu ini bersamaan 25 Oktober 2008, genap usia jejaka kecil saya yang pertama berusia 4 tahun. Satu jangkamasa yang tidak begitu panjang, tetapi bermakna buat kami sekeluarga.

Saya menempah 30 biji kek cawan berhias untuk diagihkan kepada kawan-kawan Hakim di taska esok pagi.

Terima kasih kepada Kak Puteri Aishah yang telah bertungkus-lumus menyiapkan kek ini dalam masa sehari. Maaf, tempahan saya di saat akhir diharap tidak menyusahkan akak.

Kek cawan berwarna-warni berhias coklat berbentuk kereta amat sedap dengan inti blueberry (kalau tak silap).

Kepada Muhammad Adli Hakim,
Ibu, babah dan adik Irfan, SAYANG pada Hakim. Semoga terdidik sebagai insan yang soleh, baik hati, beriman dan bijaksana. Semoga tergolong dalam ruh insan yang kamil. AMIN.

Thursday, October 9, 2008

Syawal Ini, Upin dan Ipin



Rancangan animasi kanak-kanak Upin dan Ipin semakin popular dan digemari semua peringkat umur. Teman saya dari negara seberang juga mengakui Upin dan Ipin semakin mendapat tempat di hati warganegaranya.

Dengan watak yang unik, comel dan menarik, tidak hairanlah si kecil Hakim dan Irfan turut terpesona apabila menonton rancangan ini. Dan Syawal ini, Hakim dan Irfan menjadi Upin dan Ipin dalam rumah kecil kami.

Thursday, September 25, 2008

Nak Juga

Muhammad Iyad Irfan yang comel, agak 'panas', kuat merajuk, garang, berdikari dan manja.

Pagi tadi semasa saya telefon jejaka itu untuk memastikan dia dah bangun untuk ke pejabat, dia dalam perjalanan menghantar jejaka-jejaka kecil ke taska.

Saya minta untuk bercakap dengan Hakim. Berbual ala kadar dan meminta Hakim menjaga Irfan dengan baik, makan dan juga jangan menjerit. Hakim membalas dengan bebelan yang comel.

Telefon dimatikan.

Tiba-tiba jejaka itu menelefon saya, mengatakan Irfan mengamuk dan menangis mahu berbual juga dengan saya. Aduhai, saya terlupa saya seharusnya beri sama rata.

Sebenarnya banyak perkara yang kita lupa bahawa kanak-kanak memerlukan banyak perhatian. Sebolehnya apa yang orang lain dapat, mereka turut merasa. Menjadi tanggungjawab kita yang dewasa untuk memenuhi permintaan itu ataupun menolaknya. Jika beri, berilah dengan sederhana dan jika menolak, tolaklah dengan berhemah.

Kejutan : Irfan menunjukkan rasa cemburu. Bukankah cemburu itu tandanya sayang bagi yang dewasa. Bagi kanak-kanak?

Ibu, Kenapa Lupa?


Sebenarnya banyak kali ingatkan. Ingat mengingat memang suatu perkara yang baik. Tidak kisahlah sama ada yang tua mengingatkan yang muda, dan yang muda mengingatkan yang tua. Kita manusia biasa.
Semalam, untuk yang kesekian kalinya, Hakim meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Dan mengeluarkan bunyi 'syhhhh'.....

Ya, Hakim mengingatkan saya agar berhenti bercakap ketika azan sedang berkumandang. Saya malu, kerana saya yang mengingatkan dia tentang menghormati azan, tetapi saya pula yang mengingkarinya.

Kejutan : Hakim mengingati apa yang di tanam di jiwanya setiap hari. Saya bangga itu. Alhamdulillah.

Monday, September 22, 2008

Mereka mahu kasih


Muhammad Adli Hakim berusia empat tahun pada 25 Oktober 2008 ini. Dan Muhammad Iyad Irfan pula berusia 2 tahun pada 20 Mei 2008 yang lepas.

Mereka dalam usia meraih kasih dan perhatian.

Jadi bila adik menyakiti abangnya, si abang akan mengeluarkan ayat;

"Hakim tak mahu adik bu, buang adik bu," serunya dalam tangis.

Oleh kerana jejaka yang lagi satu itu belum petah berkata-kata, maka dia tidak dapat membalas apa yang dikatakan abangnya.

Padahal masing-masing punya kesalahan.

Agak sukar saya mahu menanam sifat kasih sayang dan tolak ansur dalam diri mereka. Saya buat apa yang termampu. Misalnya menerangkan kepada Hakim betapa adiknya itu amat penting. Jika Adik tiada maka Hakim akan keseorangan. Makan seorang, mandi seorang dan sebagainya.

Alhamdulillah, setakat ini Hakim menarik balik kata-katanya yang meminta saya membuang adiknya.

Kejutan : Hakim memahami maksud 'buang' yang bermakna meletakkan sesuatu jauh-jauh kerana tidak disukai.

Saturday, September 20, 2008

Pengenalan : Ini Rumah Kami



Kami ada rumah. Rumah kami tidak bernama. Rumah kami kecil tetapi cukup bagi kami.

Dalam rumah ini ada empat penghuni.

Seperti rumah-rumah lain, rumah kami juga punya cerita. Suka duka yang harus dicatat sepanjang perjalanan hidup kami. Hanya untuk mengingatkan kami bahawa di sini kami ada.

Rumah kami kecil sahaja. Semoga bahagia sudi singgah. Kerana kami juga manusia. Manusia yang tinggal di dalam sebuah rumah kecil di dunia ini.