Wednesday, December 2, 2009

Mengapa Jadi Begini?





Ini hal yang berlaku bulan lepas.

Pada 22 November yang lalu, sekolah Hakim mengadakan konsert dan penyampaian hadiah buat pelajar-pelajar tahun 6. Saya sangat teruja sehingga sanggup mengenepikan hal tugasan hari itu. Bergegas balik awal semata-mata mahu menyaksikan Hakim buat persembahan 'Chicken Dance' di sekolahnya.

Sampai di sana, Hakim ditukarkan baju kepada baju badut. Waktu itu saya tertanya-tanya juga apa kaitan antara badut dengan chicken dance. Hakim juga teruja, melompat sana sini dengan gaya tersendiri. Pertama kali mahu buat persembahan.

Tiba-tiba, dia terlihat kawannya di solekkan dengan wajah badut. Saya terlupa bahawa Hakim dan Iyad Irfan memang takutkan badut. Dia mula merengek. Tidak mahu disolek begitu malah tida mahu buat persembahan. Saya hampir hilang sabar. Menjadi marah dan bengang. Dengan Hakim juga cikgunya. Malahan, kawan-kawannya yang telah disolek juga tidak menunjukkan wajah yang gembira kerana menjadi bahan ejekan kawan-kawannya.

Pertamanya, mengapa perlu disolek begitu rupa? Tidak comel malah menakutkan.
Keduanya, mengapa perlu berpakaian dan bersolek ala badut sedangkan kanak-kanak ini mahu buat persembahan chicken dance? Apa kaitan chicken dance dengan pakaian badut? Adakah cikgu sudah ketandusan idea dalam bab pakaian untuk persembahan?

Hakim memang betul-betul tidak buat persembahan. Dan ini mengecewakan saya sangat-sangat.

Marah dengan keadaan ini.

Tuesday, November 10, 2009

Bual



Pagi tadi, semasa mandi pintu bilik ir diketuk perlahan.

"Ibu, ini Hakim." suara dari luar saya dengari dengan jelas.
"Ya, ada apa," jawab saya.

"Ibu, nanti belikan Hakim cerita Ben10. Hakim mahu bawa ke sekolah," kata dia.

"Ok," jawab saya. Tidak selesa berbual dengan keadaan begitu.

"Ibu, kenapa Daniel cakap &*&^%. Tak baikkan ibu?" tanya dia lagi.
"Ya, tak baik sayang. Hakim jangan begitu. Nanti Tuhan marah," jawab saya pula.

Dan kami berbual sehingga saya sudah mandi.

Sebenarnya, saya teringat kepada pesan seorang pensyarah bahasa saya. Katanya, tugas ibu bapa memperkaya memori anak-anak dengan kosa kata yang penuh, baik dan banyak.

Jadi, saya akan berbual dengan Hakim juga Irfan. Di mana-mana juga. Banyak-banyak. Baik-baik, penuh-penuh dan hemat-hemat.

Wednesday, October 28, 2009

Ulangtahun Kelahiran Hakim ke-5




Sebenarnya, ulangtahun kelahiran Hakim dah lepas. Ahad yang lepas. 25.10.09. Tapi ibu ada bengkel sampai petang, maka kek Hakim tak sempat ibu ambil petang itu. Jadinya petang Isnin baru ambil dan pagi selasa baru beri pada kawan-kawan taska.

Selamat ulangtahun sayang. Ibu dan babah, juga adik sayang Hakim. Sangat sayang.

Semoga jadi anak yang baik budi, bijaksana, soleh dan menjadi manusia yang kamil. Doa ibu. Setiap hari.

Seperti biasa, kek di tempah dari kak Wansu yang sabar melayan saya. Terima kasih kak!

Tuesday, September 29, 2009

Raya Kami

Kepenatan


Gunting rambut...


Di rumah induk. Lihat, semua bergambar, dia sibuk main tangga. Jatuh bedebup padan muka.


Beraya sehingga petang di kampung. Badan dah belengas dan digigit nyamuk.


Nyanyi lagu Negaraku. Abangnya nyanyi lagu Balik Kampung. Hahahha...

Keluarga sebelah babah


Dengki orang nak bergambar. Hakim dan Irfan boleh lepak bawah sofa...Hampess je.


Selamat Hari Raya semua. Malas betul mahu update blog ini. Banyak gambar, tapi malas nak edit.

Hari raya tahun ini amat sederhana buat kami. Mengajar anak berjimat, tetapi ibu pula yang lebih-lebih belikan baju raya sampaikan ada baju yang tak sempat pakai pun. Ambil gambar pun tak berapa sangat sebab sibuk melayan tetamu. Hakim dan Irfan beraya tak ingat dunia. Jumpa pakcik-pakciknya, sampai tak ingat ibu.

Bila dapat duit raya, Irfan segera berlari ke arah ibu, masukkan dalam beg ibu. Hehehhe...
Hakim pula, tak suka duit raya. Dia salam saudara maranya, kemudian terus lari sambil jerit, " Hakim tak nak duit raya!"

Paling pelik, masing-masing apabila beraya di rumah saudara-mara atau kawan ibu, pasti ada soalan ini sama ada dari mulut Hakim atau bibir Irfan;

"Ada baby tak?"

Ya, mereka sedang obses dengan baby.

"Comel sangat lah baby ni ibu," Kata Irfan.

Babah, senyum sahaja. Tahun depanlah babah ya?

Friday, August 28, 2009

Hari Demi Hari Lain Ceritanya

Setiap hari adalah hari yang perlu di catit apa yang berlaku. Sama ada baik atau buruk. Buat bekal kemudian hari. Juga buat renungan untuk diri sendiri.

Semalam, kita gembira-gembira. Hari ini mungkin kita sedih dan pilu. Esok lusa pula mungkin kita biasa-biasa sahaja.


Hari Isnin yang lepas, Ibu bawa Hakim dan Irfan meronda satu taman. Mahu berhenti di taman permainan tidak boleh pula memandangkan hujan baru berhenti dan kesemua mainan basah. Dalam kereta Hakim dan Irfan menyanyi-nyanyi pelbagai lagu kanak-kanak. Ibu tumpang sekaki. Belikan apa yang Hakim dan Irfan mahu di kedai runcit dengan harapan mereka tidak meragam dan meminta itu ini dengan ibu apabila naik ke rumah. Ibu letih hari itu sebenarnya.


Selasa, semasa di pejabat, ibu menerima panggilan dari pengetua taska. Irfan cedera. Ibu rasa menggeletar. Walaupun cikgu beritahu bahawa cedera di dagu itu sedikit sahaja dan sudah di rujuk kepada doktor, ibu rasa tak sedap hati. Apatah lagi apabila ibu tanyakan keadaan Irfan dan cikgu kata Irfan senyap sahaja sebaik pulang dari klinik.

Itu bukan Irfan ibu. Irfan yang ibu kenal cukup lincah dan ligat walaupun dalam keadaan sakit. Bila cikgu kata Irfan pasif, ibu ambil cuti setengah hari dan balik ke rumah. Alhamdulillah, walaupun Irfan sedikit pasif, segalanya sudah ok. Ibu bawa Irfan ke klinik panel untuk rawatan lanjut. Doktor kata Irfan ok.


Hari rabu, Irfan sudah mula aktif. Tetapi abangnya pula pasif. Rupanya Hakim demam. Batuk dan suaranya bertukar lain. Ibu sangat bimbang. Dalam hati berdoa agar dijauhkan dari H1N1 kerana semalamnya, ibu baharu membaca berita di akhbar bahawa ada seorang kanak-kanak berusia 3 tahun meninggal akibat H1N1.

Kami ke klinik. Doktor kata Hakim batuk biasa dan demam biasa. Berulang kali ibu minta pengesahan. Doktor sampai tergelak melihat kesungguhan ibu. Di luar klinik, Hakim memandang ibu.

Katanya, "Hakim kena H1N1 ke ibu?"
"Tidaklah, demam biasa sahaja sayang," jawab ibu.

Alhamdulillah, hari ini demam Hakim semakin pulih. Dan Irfan juga semakin aktif.

Wednesday, August 19, 2009

Apabila Ada...



"Apabila ada, berilah sebaiknya kerana jika sudah tiada, maka tiada apa-apa lagi yang boleh diberi dan dinikmati."

Itu kata-kata seorang kawan yang baru kehilangan cahayamata. Satu-satunya cahaya mata yang sering diabaikan kerana sibuk bekerja. Hari-hari terakhir si kecil yang berusia 3 tahun itu sangat menyedihkan. meminta-minta kasih sayang dari ibu bapanya. Merengek-rengek dan sengaja meminta itu ini demi meraih perhatian. Sayangnya, ibu dan bapanya ettap sahaja sibuk dan meminggirkan si kecil bersama pembantu rumahnya. Anak kecil itu meninggal kerana sesak nafas yang tiba-tiba. Tanpa sempat satupun permintaan terakhirnya [minta tidur bersama ibunya, minta makan bersuap dari tangan ibunya dan minta jalan-jalan di taman] tertunai.

Sehingga kini, saya tidak pasti sama ada si ibu sudah mampu menerima berita tersebut atau masih dirundung duka.

Adli Hakim dan Iyad Irfan,
Memang ibu dan babah sayang kamu berdua. Sangat sayang. Tiada terbandingkan dengan apa-apa jua.

Namun, itu bukanlah alasan segala permintaan kamu harus ditunaikan.

Ada perkara yang ibu akan tolak, dan ada ketikanya ibu akan tunaikan.

Jadi jangan 'benci' ibu dan babah sekiranya kami menolak permintaan kamu.

Dan ibu juga, akan lebih berhati-hati dengan setiap jawapan yang ibu beri agar kamu berdua faham mengapa ibu berkata TIDAK.

Jangan benci ibu. Jangan juga benci babah. Sebab kami sayang kamu berdua.

Thursday, August 6, 2009

Kisah Nurul


























Nurul semasa mengandung, Haziq, Farish dan adik Nurul.













Adrianna

Nurul ialah kawan baik ibu. Dahulu dia tinggal berjiran dengan ibu. Anak-anaknya yang terdahulu iaitu Haziq dan Farish sebaya Hakim dan Irfan. Tapi masing-masing tak serasi. Asyik gaduh. Sudahnya, kami hanya berbual melalui tingkap atau ketika menyidai pakaian dengan anak-anak dikurung di dalam rumah. Hehhehe....

Persahabatan dengan Nurul tidak seperti kawan yang lain. Walaupun umurnya baru mencecah 26 tahun, dia matang. Mungkin kerana mempunyai suami yang 15 tahun lebih tua daripadanya. Maka, banyak perkara kami saling ingat-mengingati. Tentang peranan dan tugas suri rumah [kerana masa itu ibu tidak bekerja]. Nurul juga banyak memberi inspirasi dan menimbulkan keyakinan pada diri. Kami memasak sama-sama. Kami belajar sama-sama.

Masih teringat roti jala yang Nurul buat dengan sekadarnya. Maksud ibu, peralatan tidak mencukupi. Dengan bijak, Nurul mengoyakkan sedikit hujung plastik, dan mula mencorak roti jala tersebut. Ibu kagum. Dia isteri yang pandai memanipulasi keadaan dan keupayaan. Paling ibu kelakar bila dia mencuba mahu membuat karipap setelah karipap yang ibu beri tidak mencukupi, barangkali. Caranya salah. Dia menguli tepung dengan minyak dan marjerin sahaja. Tanpa air. Kami tergelak sama-sama di dapur. Serunding ikan selayang juga merupakan masakan yang kami gemari dan bertungkus-lumus memasaknya berdua. Kecoh juga dapur dibuatnya.

Itu dahulu.

Kini, hampir dua tahun kami tidak berjiran. Nurul berpindah. Tetapi masih di dalam Kuala Lumpur. Setelah setahun berjiran, rasanya seperti seumur hidup berkawan. Saling merindui, juga mengunjungi antara satu sama lain. Ibu sibuk bekerja. Jadi tak banyak masa dapat diluangkan dengan Nurul seperti dahulu. Dia masih begitu. Baik dan ikhlas.

Baru-baru ini, Nurul mendapat cahayamata baharu. Comel. Adrianna namanya. Penuh dengan kisah air mata mengenangkan saat Nurul mengandung. Jiran yang tidak baik. Sunyi. Anak-anak yang semakin membesar dan sebagainya menjadi topik perbualan kami tika berjumpa atau melalui telefon.

Satu rahmat apabila dia mendapat anak perempuan setelah doktor mengesahkannya semasa dalam kandungan bahawa bayi Nurul adalah lelaki. Subhanallah, yang memenuhi keinginan Nurul untuk mendapat anak perempuan. Tercapai dengan air mata yang bukan sedikit. Ibu tumpang gembira.

Semoga Nurul terus menjadi kawan ibu sampai bila-bila. Sampai mati.

Sunday, August 2, 2009

Sukan untuk menipu?





Sabtu lepas, tadika tempat Hakim belajar mengadakan acara sukan tahunan. Sangat teruja. Baik Hakim mahupun ibu. Siap rehearsal di rumah untuk lari laju-laju dan meraih kemenangan. Banyak kali ibu dan babah mengingatkan Hakim agar lari laju-laju sampai menang. Hakim mengangguk dengan semangat yang emmancar pada matanya.

Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap. Tiba di sekolah, masih ramai pelajar yang belum datang. Mungkin lewat. Tapi masing-masing sudah diberi memo bertulis tentang maklumat lengkap acara yang bermula pada pukul 9 pagi.

Budaya 'menunggu' yang tidak harus diajar kepada anak-anak kecil. Kita harus hormati janji dan tepati masa. Di sini, banyak masa terbuang. Ditambah lagi dengan seorang dua kanak-kanak yang meragam dan menangis tidak mahu turut serta. Puaslah ibunya memujuk. Situasi yang boleh mematikan mood kawan-kawan lain. Tapi itu semua sudah berlaku dan setiap apa yang berlaku bukan kehendak kita.

Banyak perkara yang ibu rasa tak berapa seronok melalui sukan ini.

1. Acara yang dipertandingkan tidak banyak untuk anak-anak juga ibu bapa [ibu bapa hanya satu acara]. Memandangkan ibu pernah mengambil gambar acara sukan tadika sekolah lain, makanya perbandingan mudah dilakukan.
2. Hakim masuk dua acara dan itu sangat tidak memuaskan hati dia. Kasihan Hakim yang asyik bertanya, 'bila Hakim kena lari lagi ibu?".
3. Cikgu melakukan taktik kotor untuk menang. Adakah ini contoh yang bagus? Kanak-kanak jadi terpinga melihat aksi cikgu yang menolong rumah pasukannya untuk menang. Dan kami ibu-bapa hanya melongo terkejut.
4. Acara yang kelam-kabut dan tidak begitu mengujakan.



Kami balik dengan penat yang amat. Hakim dikalungi dua medal dan sebuah beg kertas berisi cenderamata. Balik dari sukan, kami ke Pizza Hut untuk meraikan Hakim walaupun dia tidak begitu menikmati sukan pertamanya.

Thursday, July 30, 2009

Baby Mak Lang 070709






Alhamdulillah, setelah 9 bulan menggendong perut, akhirnya Mak Lang dikurniakan seorang Putera - Aiman Aqil pada 070709 [ala, pembedahan bolehlah pilih tarikh. Cuba bersalin normal?] hahahha....cemburu ibu. Mana taknya, Pak Lang 11.11....Mak Lang 10.10...Aiman pula 07.07....Hahahhaha bijak.

Sabtu lalu, kami sekeluarga pulang ke kampung dan menjenguk insan baharu ini. Hakim dan Irfan tak habis-habis minta ibu keluarkan Maisara yang ibu pernah dakwa ada dalam perut ibu. [Sebenarnya ibu tipu Hakim dan Irfan kerana mereka selalu menjadikan ibu raksasa untuk dibelasah oleh ultraman. Ibu katakan yang dalam perut ibu ada baby Maisara, jadinya jangan jadikan perut ibu sebagai sasaran tembakan mereka. hahahhaa....]

Mak Lang, ibu harap Mak Lang belajar dan memperolehi pengalaman yang berharga masa kini. Hargai setiap momen yang ada dengan Aiman. Harapnya juga dengan kurniaan Tuhan ini, Mak Lang lebih matang dan faham tentang dunia keibubapaan ini.

Sama-samalah kita saling belajar.

Jaga Aiman Baik-baik. Muahhhhh...Aiman.

Saturday, July 11, 2009

Permainan Baharu


Ini hasil kerjatangan Iyad Irfan. Apa benda ni sayang?



Ini ibu. Ibu cantikkkk....- kata Hakim. Arghh, ibu tertekan.



Asyik



Bezakan antara lobak buatan ibu dan lobak buatan Hakim. Dua-dua tak boleh dimakan ye Iyad Irfan.



Ibu buat kereta, lobak [gambar ketiga] dan matahari.


Ibu beli tanah liat. Bagus. Hakim dan Irfan sangat berminat dan kreatif. Ibu kira perlu bagi ibu mempelbagaikan bahan pemerolehan ilmu buat mereka. Buku-buku memang berlambak. Cuma masa yang sedikit membuatkan buku-buku itu banyak terbiar. Mainan yang lain-lain juga sudah sekarung. Mungkin ini salah satu cara yang baik menjana akal si kecil berdua ini. Semoga mereka beroleh sesuatu.

Friday, June 26, 2009

Apabila Jejaka Kecil Ini Cedera...Maka Saya...


Darah yang keluar dari tubuh Irfan setakat ini cuba di bibirnya yang pecah akibat terhantuk atau terjatuh. Ibu sapukan madu asli. Darah berhenti dan bibir yang pecah pulih kembali dalam masa yang singkat.

Semalam. Kepala Irfan berdarah-darah. Banyak. Di bahagian belakang kepala.

Ibu membrek secara mengejut apabila sebuah kereta tiba-tiba keluar dari sebuah lorong dengan laju. Irfan yang duduk di bahagian belakang terjatuh ke bawah. Mungkin juga terhantuk pada besi bahagian bawah tempat duduk pemandu.

Ibu fikir dahi Irfan yang akan cedera. Ibu lihat dahinya ok sahaja tetapi Irfan menangis kesakitan. Semasa mengusap kepalanya itulah ibu rasa ada cecair melekat di tangan ibu. Bila ibu lihat darah memekat penuh di jemari ibu, maka ibu sangat panik. Serius, sampai menggigil badan.

Ibu betul-betul panik lantas membawa Irfan ke klinik panel yang ada di situ. Alhamdulillah, Tidak perlu jahit dan hanya cedera sikit tetapi dalam.

Ibu minta maaf sayang. Ibu janji akan paksa Irfan pakai tali pinggang di tempat duduk belakang lain kali.

Kelakar bila Hakim dan Irfan sibuk nak bercerita dengan doktor kenapa kepala Irfan berdarah.

"Kereta tu lambat," Kata Hakim berulang kali, bermaksud kereta di hadapan lembab dan 'bodoh'.

Thursday, June 25, 2009

Irfan Belajar Sendiri-Sendiri


Irfan gemar membuka buku apabila abangnya membuat kerja rumah. Masa itulah dia sibuk tanya itu ini. Kadang ibu angin juga sebab tak boleh tumpukan perhatian kepada Hakim. Memang ibu tidak boleh jadi seorang cikgu yang baik.

Malam tadi, ibu membuat sedikit kerja-kerja pejabat di rumah sementara menunggu babah balik. Irfan masuk ke bilik membaca tetapi tidak mengganggu ibu. Dia menuju ke penjuru bilik dan membaca ABC yang tertampal di dinding bilik.

"A...Kapal terbang" [tak pandai sebut aeroplane]
"B...Bola"
"C ...Kerusi..." {tak pandai sebut chair]

Dan seterusnya.

Ibu terpegun. Selepas ini ibu akan cuba membahagi masa antara Hakim dan Irfan untuk membaca buku bersama-sama.

Tuesday, June 23, 2009

HAKIM : Rombongan Tadika ADNA


Beratur menunggu bas


Hakim buat pizza gentel.



Di petrosains tak ingat dunia


Sabtu lepas, ibu dan Hakim mengikuti rombongan tadikanya. Ibu bukan mengada-ngada nak ikut tetapi mahu mengambil gambar trip rombongan yng diminta oleh pengetua tadika itu sendiri, Cikgu Ani.

Babah dan Irfan pula tinggal di rumah. Bukan tidak mahu ajak, tetapi nanti 'feel' rombongan dengan kawan-kawan hakim tiada. Ibu yang mengikut pun tidak melekat dengan Hakim malah buat tidak tahu semasa Hakim seronok-seronok dengan kawan-kawannya.

Antara tempat yang dilawati ialah restoran Domino's Pizza di Jalan Klang Lama, Petrosains KLCC dan Menara Kuala Lumpur.

Penat rupanya mengikuti rombongan kanak-kanak. Banyak karenah dan sukar di kawal. Ibu lihat ada beberapa kali juga cikgu-cikgu pengiring hilang sabar. Mungkin sebab ibu ada, mereka tahankan sahaja. Memang letih dan boleh hilang sabar dibuatnya bila ada kanak-kanak yang terbuang air kecil dan besar semasa trip. Sedangkan ibu dan babah pun selalu kalut bawa Hakim dan Irfan jalan-jalan inikan pula 40 pelajar tadika. Hmmm.....

Sepanjang trip, Hakim tak habis-habis kata kasihan kerana Irfan tidak ikut serta. Huhuhu...sayang juga dia pada adiknya. Insya Allah, minggu depan kita sekeluarga tengok wayang ye.

Baru ibu tahu, errr...cenderamata di Menara Kuala Lumpur tidaklah mahal mana. Mungkin kerana harga 'bebas cukai'.

Oklah, ibu nak edit cantik-cantik gambar trip ini dan kongsi dengan ibu bapa pelajar yang lain.

Tuesday, June 16, 2009

Hakim dan Ibu.



Hari ini ulangtahun kelahiran ibu. Ada matahari memancar setelah hujan lebat malam tadi. Ya, malam tadi ibu angin semacam. Hakim dan Irfan asyik bertelagah hal-hal kecil.Ibu yang sibuk menyiapkan kerja, tak dapat tahan rasa. Hakim dan Irfan kena babab dengan ibu. Lepas itu ibu pula yang menangis. Menyesal.

Pagi ini, ibu lewat ke pejabat kerana perlu hadir ke sekolah Hakim menandatangani buku rekod peperiksaan Hakim. Bahasa Melayu, Sains dan Matematik punya markah yang baik. Manakala Bahasa Inggeris pula gagal. Aduhai, salah ibu dan babah kerana tak punya banyak masa mengajar Hakim. Sudahnya, ibu daftarkan Hakim d kelas Smart Reader selepas habis sekolah dengan harapan Hakim akan lebih memahami dan diberi tujuk ajar dari yang pakar.

Pertama kali melihat Hakim memakai baju sekolah. Kacak betul jejaka ibu. Muahhhhh.....

Sunday, June 14, 2009

Dewasa




Saya terasa Hakim dewasa [semakin besar] apabila dia :

1. Mahu memakai seluar dalam.
2. Mimpi yang pelbagai dan terus menceritakan mimpinya itu kepada saya.
3. Suka berhujah dengan saya.

Irfan juga mahu dewasa bila :

1. Cuba mahu pakai pampers sendiri
2. Membuka peti ais mencari buah dengan cara dialog : "buah...buah kat mana?" Sambil mata meliar mencari buah yang sebenarnya ibu letak atas meja.

Wednesday, June 3, 2009

Tahun ini Baju Raya Warna Apa?




Satu.

Persoalan yang mula bermain di benak ibu apabila menjelang bulan-bulan yang akan datang. Ramadhan dan Syawal.

Tahun ini nak pakai baju warna apa ye?
Mak Lang....apa tema baju raya tahun ini?

Dua.

Tahun lepas, kami 'berhijauan'.

Tuesday, June 2, 2009

Potret Kasih




Mengambil gambar kanak-kanak memang suatu kepuasan kerana di situ ada kejujuran yang boleh kita pelajari dari mereka. Ketulusan dalam wajah comel mereka menyejukkan jiwa yang lara.

Selain mengambil gambar anak-anak [Hakim dan Irfan], saya juga suka mengambil gambar kanak-kanak yang lain.

Fokus pada mata. Itu pesan seorang guru fotografi saya.

Dan ini, gambar Rabiatul Adawiyah, sepupu Hakim dan Irfan yang hanya sebuan sekali sahaja bertemu muka dengan kami.

Comel bukan?