Friday, August 28, 2009

Hari Demi Hari Lain Ceritanya

Setiap hari adalah hari yang perlu di catit apa yang berlaku. Sama ada baik atau buruk. Buat bekal kemudian hari. Juga buat renungan untuk diri sendiri.

Semalam, kita gembira-gembira. Hari ini mungkin kita sedih dan pilu. Esok lusa pula mungkin kita biasa-biasa sahaja.


Hari Isnin yang lepas, Ibu bawa Hakim dan Irfan meronda satu taman. Mahu berhenti di taman permainan tidak boleh pula memandangkan hujan baru berhenti dan kesemua mainan basah. Dalam kereta Hakim dan Irfan menyanyi-nyanyi pelbagai lagu kanak-kanak. Ibu tumpang sekaki. Belikan apa yang Hakim dan Irfan mahu di kedai runcit dengan harapan mereka tidak meragam dan meminta itu ini dengan ibu apabila naik ke rumah. Ibu letih hari itu sebenarnya.


Selasa, semasa di pejabat, ibu menerima panggilan dari pengetua taska. Irfan cedera. Ibu rasa menggeletar. Walaupun cikgu beritahu bahawa cedera di dagu itu sedikit sahaja dan sudah di rujuk kepada doktor, ibu rasa tak sedap hati. Apatah lagi apabila ibu tanyakan keadaan Irfan dan cikgu kata Irfan senyap sahaja sebaik pulang dari klinik.

Itu bukan Irfan ibu. Irfan yang ibu kenal cukup lincah dan ligat walaupun dalam keadaan sakit. Bila cikgu kata Irfan pasif, ibu ambil cuti setengah hari dan balik ke rumah. Alhamdulillah, walaupun Irfan sedikit pasif, segalanya sudah ok. Ibu bawa Irfan ke klinik panel untuk rawatan lanjut. Doktor kata Irfan ok.


Hari rabu, Irfan sudah mula aktif. Tetapi abangnya pula pasif. Rupanya Hakim demam. Batuk dan suaranya bertukar lain. Ibu sangat bimbang. Dalam hati berdoa agar dijauhkan dari H1N1 kerana semalamnya, ibu baharu membaca berita di akhbar bahawa ada seorang kanak-kanak berusia 3 tahun meninggal akibat H1N1.

Kami ke klinik. Doktor kata Hakim batuk biasa dan demam biasa. Berulang kali ibu minta pengesahan. Doktor sampai tergelak melihat kesungguhan ibu. Di luar klinik, Hakim memandang ibu.

Katanya, "Hakim kena H1N1 ke ibu?"
"Tidaklah, demam biasa sahaja sayang," jawab ibu.

Alhamdulillah, hari ini demam Hakim semakin pulih. Dan Irfan juga semakin aktif.

1 comment:

  1. Salam Alaik..
    Alahai cianny anak buah amu nih. Sorang cedera, sorang lagi demam eh. Syafakumullah, InsyaAllah kheir..

    ReplyDelete