Thursday, August 6, 2009
Kisah Nurul
Nurul semasa mengandung, Haziq, Farish dan adik Nurul.
Adrianna
Nurul ialah kawan baik ibu. Dahulu dia tinggal berjiran dengan ibu. Anak-anaknya yang terdahulu iaitu Haziq dan Farish sebaya Hakim dan Irfan. Tapi masing-masing tak serasi. Asyik gaduh. Sudahnya, kami hanya berbual melalui tingkap atau ketika menyidai pakaian dengan anak-anak dikurung di dalam rumah. Hehhehe....
Persahabatan dengan Nurul tidak seperti kawan yang lain. Walaupun umurnya baru mencecah 26 tahun, dia matang. Mungkin kerana mempunyai suami yang 15 tahun lebih tua daripadanya. Maka, banyak perkara kami saling ingat-mengingati. Tentang peranan dan tugas suri rumah [kerana masa itu ibu tidak bekerja]. Nurul juga banyak memberi inspirasi dan menimbulkan keyakinan pada diri. Kami memasak sama-sama. Kami belajar sama-sama.
Masih teringat roti jala yang Nurul buat dengan sekadarnya. Maksud ibu, peralatan tidak mencukupi. Dengan bijak, Nurul mengoyakkan sedikit hujung plastik, dan mula mencorak roti jala tersebut. Ibu kagum. Dia isteri yang pandai memanipulasi keadaan dan keupayaan. Paling ibu kelakar bila dia mencuba mahu membuat karipap setelah karipap yang ibu beri tidak mencukupi, barangkali. Caranya salah. Dia menguli tepung dengan minyak dan marjerin sahaja. Tanpa air. Kami tergelak sama-sama di dapur. Serunding ikan selayang juga merupakan masakan yang kami gemari dan bertungkus-lumus memasaknya berdua. Kecoh juga dapur dibuatnya.
Itu dahulu.
Kini, hampir dua tahun kami tidak berjiran. Nurul berpindah. Tetapi masih di dalam Kuala Lumpur. Setelah setahun berjiran, rasanya seperti seumur hidup berkawan. Saling merindui, juga mengunjungi antara satu sama lain. Ibu sibuk bekerja. Jadi tak banyak masa dapat diluangkan dengan Nurul seperti dahulu. Dia masih begitu. Baik dan ikhlas.
Baru-baru ini, Nurul mendapat cahayamata baharu. Comel. Adrianna namanya. Penuh dengan kisah air mata mengenangkan saat Nurul mengandung. Jiran yang tidak baik. Sunyi. Anak-anak yang semakin membesar dan sebagainya menjadi topik perbualan kami tika berjumpa atau melalui telefon.
Satu rahmat apabila dia mendapat anak perempuan setelah doktor mengesahkannya semasa dalam kandungan bahawa bayi Nurul adalah lelaki. Subhanallah, yang memenuhi keinginan Nurul untuk mendapat anak perempuan. Tercapai dengan air mata yang bukan sedikit. Ibu tumpang gembira.
Semoga Nurul terus menjadi kawan ibu sampai bila-bila. Sampai mati.
Labels:
gambar baby,
kawan,
kids potrait
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment