Monday, June 27, 2011

Go Go Adli.







Sukan. Untuk Adli Hakim.

Ibu berusaha untuk turut serta dan beri sokongan kepada Hakim. Namun, mesyuarat tergempar membuatkan ibu terpaksa beredar jam 10 pagi tanpa melihat Hakim bersukan. Mujur babah ada, tolong ambilkan gambar. Namun, ibu masih tidak puas hati. Acara untuk hakim terlalu lambat. Kesal sangat.

Tahniah sayang sebab turut serta. Insya Allah, tahun depan ibu mahu lihat Hakim menang banyak hadiah.

Tuesday, June 21, 2011

Tuhan, terima kasih.

Minggu-minggu lemau.

Itu yang ibu rasa.

Paip di sinki pecah. tercabut. Ini bermakna tiada cucian di sinki dan juga saluran ke penapis air tergendala. Susah. memang susah sampai ibu jadi tiada mood mahu memasak.

Itu cerita minggu lepas. Dan minggu ini ia sudah diperbaiki. Alhamdulillah.

Minggu-minggu selepas peperiksaan dan menghadapi minggu sukan buat Adli Hakim. Letih. Bagi Adli. Juga saya. Juga semua. Cuaca panas. Bahang sampai mempengaruhi emosi dan mood masing-masing.

Ahad lepas, ibu ada program diskusi dengan kawan-kawan di KL. Balik sahaja, ibu sudah angin satu badan. Iyad dan Adli buat hal. [Sebenarnya hal-hal biasa seperti berebut mainan dan berebut mahu mandi]. Ibu telefon babah, menangis yang banyak .

Masa itu babah keluar sebentar.Sementara tunggu babah balik, Ibu mendiamkan diri di dalam bilik tingkat atas. Ibu marah Hakim dan Iyad.

Tiba-tiba dengar pintu diketuk, dan suara Adli bertandang, "ibu, kasut Hakim belum angkat."

Saya bangun dari katil. Menuju ke tingkap dan menjenguk ke luar. Ampaian masih ditengah laman. Kasut Hakim masih di atas tembok peti surat. Hati jadi angin lagi. Entah kenapa.

Saya jawab, "angkat sendiri." Walaupun saya tahu dia tak mungkin dapat mencapai ketinggian tembok itu.

Diam. Senyap diluar bilik. Kemudian, saya dengar bunyi bising di halaman.

Hampir ternganga saya melihat anak-anak saya.

Iyad dan Adli yang tadi bertelingkah, sedang bekerjasama mengangkat kasut Adli dengan menggunakan basikal sebagai kerusi. Sungguh bahaya. Tapi saya tahu mereka boleh. Saya biarkan sambil memerhati dari atas.


Selepas habis kasut diangkat (ada tiga pasang), mereka menolak ampai ke tempat teduh.

Sungguh. Saya tahu Iyad dan Adli sangat baik dan budiman. Terima kasih, Allah.

Monday, June 13, 2011

Kami, dan Bukit Fraser


Dalam perjalanan, mereka seronok bertanya, sambil menikmati bau hutan.



Masih pening ketika tiba di atas bukit.





Babah kata, kita akan ke Bukit Fraser 11 Jun 2011 ini.

Kami setuju.Cuti sekolah Adli dan Iyad, tidak banyak kami isi dengan cuti-cuti seperti keluarga yang lain. Ila kerja dan babah juga kerja. Jadi, kami gunakan cuti hujung minggu untuk membawa mereka berjalan-jalan. Minggu lepas, Iyad, Adli dan babah ke Port Dickson. Ibu pula ada kerja lain di Muar.
Minggu ini kami ke Bukit Fraser. Pertama kali bawa anak-anak ke tempat yang tinggi, sejuk dan hutan. Sepanjang perjalanan, ibu dan babah menerangkan tentang hutan, bukit tinggi dan pokok-pokok besar yang menghasilkan kertas. [Konon-konon lawatan sambil belajar].

Ahhh..memang kami mahu mereka belajar dalam setiap perjalanan yang dilewati. Kami mahu Iyad dan Adli menjadi pemerhati dan peneliti yang baik untuk setiap apa yang mereka lalui dalam hidup.

Sejuk, apabila tiba di atas bukit. Adli dan Iyad tertidur semasa kami hampir sampai. Itu lebih baik daripada mereka muntah. Tetapi, sebenarnya Iyad sudah mula pening kepala akibat jalan yang bengkang-bengkok dan curam.

Terpaksa ibu peluk Iyad sepanjang perjalanan sehingga lengan ibu pedih dan lenguh.Bimbang juga bercuti di tempat bukit-bukit begini. Kejadian tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya membuatkan ibu sentiasa berdoa agar perjalanan kami dipermudahkan.

Alhamdulillah sampai dengan selamat. Berehat seketika sebelum menuju ke tempat penginapan, sebuah apartment bernama Silverpark yang selesa.

Agenda dan aktiviti kami di sana hanyalah menikmati pemandangan, menghirup udara segar diperbukitan dan menikmati air terjun, yang airnya macam ais...sejukkk...ibu tidak mandi.


Iyad dan Adli benar-benar menikmati percutian ini dengan bertemu kawan-kawan. Mereka gembira, saya dan babahnya juga gembira.



Terima kasih kepada semua yang begitu sporting dan kami enjoy dengan trip kali ini.

Lepas ini mahu ke mana pula babah?

Friday, June 3, 2011

Kekasih Saya, Paling Kacak




Saya menikmati strawberry dengan coklat. Dia, kekasih saya paling kacak, geleng kepala tidak mahu rasa strawberry itu.

Mahu biskut, dengan coklat. Katanya.