Minggu-minggu lemau.
Itu yang ibu rasa.
Paip di sinki pecah. tercabut. Ini bermakna tiada cucian di sinki dan juga saluran ke penapis air tergendala. Susah. memang susah sampai ibu jadi tiada mood mahu memasak.
Itu cerita minggu lepas. Dan minggu ini ia sudah diperbaiki. Alhamdulillah.
Minggu-minggu selepas peperiksaan dan menghadapi minggu sukan buat Adli Hakim. Letih. Bagi Adli. Juga saya. Juga semua. Cuaca panas. Bahang sampai mempengaruhi emosi dan mood masing-masing.
Ahad lepas, ibu ada program diskusi dengan kawan-kawan di KL. Balik sahaja, ibu sudah angin satu badan. Iyad dan Adli buat hal. [Sebenarnya hal-hal biasa seperti berebut mainan dan berebut mahu mandi]. Ibu telefon babah, menangis yang banyak .
Masa itu babah keluar sebentar.Sementara tunggu babah balik, Ibu mendiamkan diri di dalam bilik tingkat atas. Ibu marah Hakim dan Iyad.
Tiba-tiba dengar pintu diketuk, dan suara Adli bertandang, "ibu, kasut Hakim belum angkat."
Saya bangun dari katil. Menuju ke tingkap dan menjenguk ke luar. Ampaian masih ditengah laman. Kasut Hakim masih di atas tembok peti surat. Hati jadi angin lagi. Entah kenapa.
Saya jawab, "angkat sendiri." Walaupun saya tahu dia tak mungkin dapat mencapai ketinggian tembok itu.
Diam. Senyap diluar bilik. Kemudian, saya dengar bunyi bising di halaman.
Hampir ternganga saya melihat anak-anak saya.
Iyad dan Adli yang tadi bertelingkah, sedang bekerjasama mengangkat kasut Adli dengan menggunakan basikal sebagai kerusi. Sungguh bahaya. Tapi saya tahu mereka boleh. Saya biarkan sambil memerhati dari atas.
Selepas habis kasut diangkat (ada tiga pasang), mereka menolak ampai ke tempat teduh.
Sungguh. Saya tahu Iyad dan Adli sangat baik dan budiman. Terima kasih, Allah.
No comments:
Post a Comment