Hakim semasa berusia tidak sampai setahun
I
Dahulu, saya pernah menerima emel dari seorang rakan. Rasanya emel tersebut ramai yang sudah menerimanya. Tentang seorang anak yang mahu meminjam wang bapanya untuk membeli masa bapanya yang teramat sibuk dengan tugas harian. Semasa membaca emel itu kali pertama, saya menggelengkan kepala. Betapa saya tersentuh dengan kisah tersebut dan mula berazam untuk membanyakkan masa bersama anak-anak.
Rupanya, ia hanya kisah yang saya baca di emel. Rupanya, ia hanya kisah yang saya baca setakat itu sahaja tanpa benar-benar menginsafi tentang kisahnya.
Kisah itu, juga terjadi pada saya. Pada anak yang mula membesar yang saya nafikan haknya untuk merasai masa-masa bersama saya dengan alasan terlalu sibuk dan banyak kerja lain yang perlu dilunasi selain bersama anak-anak.
II
"Ibu, sini kejap ibu," kata Hakim sambil menarik tangan saya.
"Apa dia? Cakap sahajalah. Ibu banyak kerja ni," jawab saya dengan muka yang mencuka dan dengan terpaksa saya tinggalkan meja kerja.
"Ibu, tolong ajarkan ini. Sekejap sahaja. Tidak lama," kata Hakim sambil menyuakan buku latihannya.
Dia mengulang-ulang sebut perkataan 'tidak lama' dan 'sekejap sahaja' kepada saya.
Dan pengulangan tersebut betul-betul buat hati saya pedih.
Betapa saya sedang menidakkan masa untuk memberi perhatian buat anak-anak.
Maafkan ibu, Hakim.
Maaf.
Maaf.
No comments:
Post a Comment