Wednesday, April 17, 2013

Pengasuh Lagi!

Ibu fikir ini adalah masalah biasa yang dialami oleh setiap ibu yang mahu mencari penjaga anaknya. Sebenarnya bukanlah masalah besar bagi ibu untuk mencari pengasuh lain. Cuma, kalau boleh tak mahulah bertukar-tukar pengasuh banyak kali.

"Eh, tak apa tukar pengasuh. Kerana keserasian antara pengasuh dan anak kecil perlu ada supaya tak ada konflik. Juga kita perlu pilih orang yang mahu jaga anak kita. Takkanlah nak pilih orang yang suka menjerit tak tentu pasal. Nanti anak kita pun suka menjerit dan membentak. Takkanlah nak pilih pengasuh yang pengotor. Kesan kepada kesihatan anak kita. Juga, takkanlah nak pilih pengasuh yang tak suka budak kecil tapi suka duit. Itu lagi bahaya."

Bebel seorang kawan.

Betul juga kan?

Tetapi dalam proses mencari pengasuh yang betul sudah tentulah kita akan menemui pengasuh yang salah.

:-(

"Ada masa tak? nak beritahu pasal Umar sikit. Akak minta maaf bebanyak la apa yang terjadi. Akak dah cerita pada ayah Umar, tapi akak tahu dia tak puas hati dengan cerita akak."

SMS dari pengasuh Umar semalam ketika saya masih di pejabat.

Balik ke rumah malam semalam, Umar terus menerpa ke arah saya dan babahnya bercerita;

"Saya sudah keluar dari halaman rumah dia, tengok pipi Umar luka agak besar. Saya patah balik tanya kenapa jadi begitu. kenapa dia tak beritahu awal-awal semasa dia serahkan Umar kepada saya?"


:(

Dan sekarang, kami dalam usaha mencari pengasuh [tapi saya lebih suka jika terus cari taska], yang baru kerana sudah beberapa kali Umar mengalami kecederaan. tentulah ia membimbangkan saya.Saya tak akan salahkan Umar dan pengasuh juga tak berhak salahkan kanak-kanak yang berusia 10 bulan kerana terlalu lasak.

Apabila kamu sudah bersetuju untuk mengasuh anak kecil, kamu kena berkorban beberapa perkara;

  1. Susun atur perabot rumah harus sesuai dengan ruang untuk keselesaan kanak-kanak, apatah lagi yang baru pandai merangkak dan mahu belajar berdiri. Ruang yang luas dan selamat adalah penting.
  2. Susun jadual kerja semula. Pastikan tumpuan penuh diberi kepada anak asuhan dan bukannya beri tumpuan besar kepada kerja-kerja rumah.
  3. Ubah suasana ruang kepada anak-anak - buka langsir, bawa jalan-jalan di luar rumah dan sebagainya.

Dan banyak lagi perkara yang perlu diambilkira. saya pasti pengasuh yang bersedia jaga anak kecil tahu perkara ini apatah lagi pengasuh itu sudah berusia dan punya anak sendiri. Jika dia fikir, anak-anak asuhan sebagai anak sendiri, perkara begini tak akan berlaku.

Tetapi, itulah, barangkali niat yang membezakan perlakuan. Niat mahu menjaga dengan penuh tanggungjawab atau niat kerana duit semata.

Ya Allah, semoga Kau peliharakan Umar buat masa ini kerana kami juga berusaha untuk mencari penjaga yang lebih baik untuk Umar.

Friday, March 22, 2013

BAHARU


Ya, setiap sesuatu akan berganti. Yang lebih baik atau buruk. Kita doakan sahaja buruk atau baik itu dapat kita hadapi dengan cekal.

Segalanya baharu bagi kami sekeluarga.

Ibu, baru tukar kerja baharu - Nampaknya ibu sangat gembira dengan kerjaya baharunya. Sungguh. Kami sendiri, walaupun agak kelam-kabut dengan jadual baru ibu, tetap bersyukur kerana segalanya bertambah baik. Insya Allah.

Ibu tidak lagi perlu keluar seawal pagi 6.30, untuk elak kesesakan. Ibu sudah boleh keluar jam 7 pagi dan ibu nampaknya sangat tenang, tidak rusuh sewaktu pergi dan balik. Walaupun balik agak lewat, itu tidak mengapa kerana kami lihat, ibu tidak lagi merungut tentang suasana kerja seperti di tempat lama. Ibu gembira dengan kerja baharunya. Setiap kali babah tanya tentang perjalanan ke pejabat dan kerja-kerja di pejabat, ibu menjawab dengan senyum dan bersemangat. Walaupun ibu kadang tidak sempat memasak, kami tetap bahagia. Semoga rezeki baharu ibu, diberkati dan dirahmati Allah untuk kami jalani kehidupan ini dengan lebih baik.

Abang Adli dan Abang Iyad - sudah mendapat tempat transit baru kerana Mama Intan tidak boleh beri komitmen lagi. Ahh ceritanya panjang. Nanti sahaja ibu ceritakan. Kenapa abang-abang tidak satu tempat dengan Umar? Kerana van sekolah abang-abang tidak masuk lorong rumah tempat Umar tumpang. Sedihnya...

Umar sudah jauh dari Mama Intan. Rindunya dengan Mama Intan. Kebaikan, ketulusan dan kasih sayang Mama Intan tidak akan Umar lupakan. Umar ingat semua itu. Namun, tidak ada apa di dunia ini yang akan kekal. Umar tinggal di rumah pengasuh baru yang ibu sendiri agak ragu keupayaannya. Tetapi, ibu sendiri kata, ibu tidak mampu buat lebih baik daripada ini. Ibu hanya serahkan segalanya, serahkan Umar, di dalam jagaan Allah. Insya Allah ibu, Umar baik-baik sahaja. Ibu jangan bimbang. Ibu kerjalah baik-baik.

Babah pun menjalani kehidupan baharu dengan segala yang berlaku. Walaupun babah pun berazam mahu mulakan kehidupan baharu dengan kerja baharu, masih ada kekangan. Ada hikmahnya. Nenek tinggal dengan kami sekarang. Babah sebagai anak sulung, babah kenalah jaga nenek yang sudah tidak sihat.

Kami, amat berdoa, setiap sesuatu yang berlaku, baik hal lama atau baharu, kami sentiasa dalam lindungan Allah yang Maha Besar. Amin...

Friday, March 1, 2013

9 bulan - Saya Tidak Nakal Okey!




27 Februari 2013

Okey, ibu salah lihat tarikh. Sepatutnya Umar ke klinik pada 21 Februari 2013, tetapi, terlajak kerana melihat tarikh suntikan 6 bulan pada 27/12/12. Jadi, fikir kena pergi semula ke klinik 27/02/13. Adoi.

Bukan masalah pun. Sebab pemeriksaan untuk 9 bulan tiada suntikan. Cuma pemeriksaan rutin. Ibu pergi klinik dengan Umar memandangkan babah ada kerja di Putrajaya. Mulanya, ibu cuak mahu ke klinik yang agak jauh dan jalannya agak berliku. Tetapi, bila lagi nak pergi kan? Kenalah beranikan diri drive dan bawa Umar.

Sampai klinik agak awal. Alhamdulillah, perjalanan dipemudahkan oleh-Nya. Tunggu hampir sejam [biasalah klinik kerajaan. Details kononnya. Tapi memang iya pun]

Berat sudah 8.2 kg. Periksa itu ini...kemudian setel. Semasa berjumpa dengan jururawat untuk sesi perbincangan secara personal, jururawat menggunakan perkataan yang ibu tak suka iaitu 'NAKAL'. beberapa kali dia menyebut, "Oh, Umar sudah nakal ya...sudah tidak mahu duduk diam..."

Terkesan betul dengan perkataan negatif itu. Lalu ibu sebut, "Ya, Umar sudah agak ligat dan aktif, tetapi tidak nakal". Tetapi jururawat masih tidak faham. Terus disebutnya nakal..nakal....Aduhai...

*Tidak ramai orang sedar tentang kepentingan berbahasa dengan baik. Setiap perkataan punya pengaruh terutama kepada anak-anak kecil.

Monday, February 18, 2013

SAY NO TO BIBIK!

 "Bayi 4 bulan tidak tahu apa-apa. Tidak mampu bertindak balas atau mengadu kepada ibu bapa tentang apa yang berlaku kepada mereka. Mujurlah ibu bapa bayi malang itu mengambil langkah bijak memasang cctv sehingga 'kebinatangan' pembantu rumahnya yang baru bertugas sehari dapat dikesan seterusnya diambil tindakan. Tetapi, itupun selepas bayi mereka di'canai-canai' oleh manusia yang digelar bibik itu."
 [video google sendiri kerana saya tidak tergamak meletakkan dalam blog ini]


Inilah kisah yang berlaku baru-baru ini. Tidaklah gempar mana kerana perkara sebegini sudah acapkali berlaku. Lantas, apa tindakan kita? Lantas, apa tindakan pihak sana?

Apabila namanya bibik, automatik, ia merujuk kepada pembantu rumah dari negara seberang, Indonesia. Namun, entri ini bukanlah menjatuhkan hukuman kepada negara tersebut yang selama ini sering bergolak dengan negara kita, Malaysia, walaupun secara sejarahnya, Indonesia dan Malaysia merupakan negara satu rumpun.

Entah permusuhan apakah yang berlaku sehingga kini, wujud hubungan dingin Malaysia dengan Indonesia dalam banyak hal sedari hak milik lagu, kain batik, makanan, apa lagi? Banyak kan? termasuklah hubungan dingin akibat perlakuan-perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pekerja dari Indonesia di Malaysia yang menghiasi dada akhbar tempatan. - Oh, hal ini juga pernah diungkit oleh wakil media Indonesia mengatakan Malaysia tidak adil kerana menyiarkan hal-hal buruk tentang pekerja asing; sudah tentulah kita akan menyiarkan salah laku pekerja asing di negara kita kan?

Bibik!

Bibik adalah gelaran untuk pembantu rumah yang dibayar dengan sejumlah wang yang banyak oleh warga Malaysia untuk mendapat perkhidmatan mereka - membantu kerja-kerja rumah. Sejak dahulu, terlalu banyak kes melibatkan salah laku pembantu rumah Indonesia yang dilaporkan bukan sahaja di surat khabar malah terpampang jelas di Youtube. Syukur, teknologi banyak membantu untuk memudahkan kita tahu banyak perkara sebenar.

Terbaru, kes seorang bibik yang baru sehari bekerja 'mencanai' seorang bayi berusia 4 bulan. Sungguh! Saya mendidih menonton video tersebut yang dirakam secara langsung melalui cctv oleh keluarga kanak-kanak malang tersebut. Ikutkan hati memang patut dibelasah sahaja bibik tersebut. Atas alasan apa dia melakukan bayi sekecil itu seperti roti canai?

Mental problem!

Itu sahaja yang saya fikirkan. Bagaimana orang gila seperti ini boleh terlepas saringan/pemeriksaan untuk bekerja di Malaysia? Salah pihak yang mana? Hal ini seterusnya membuka mata banyak pihak - walaupun sebenarnya sudah beratus kes begini dilaporkan - namun kita masih berbaik hati mahukan juga perkhidmatan pembantu rumah memandangkan Malaysia sebuah negara yang membangun dan maju - bibik bagai satu keperluan penting bagi isi rumah yang bekerja suami isteri.

Ini bukan kes pertama seumpamanya! Malah ada bayi yang mengalami kecederaan parah, cacat seumur hidup atau paling sadis, meninggal di bawah jagaan 'binatang' bertopengkan manusia ini.

Tiada tindakan drastikkah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan pergantungan kepada bibik-bibik yang kucar-kacir latar belakangnya ini?

Kementerian Pembangunan Wanita atau lebih tepat, kerajaan Malaysia seharusnya memandang hal ini dengan lebih rinci dan serius. 'No more' bibik perlu diambil. Kajian manakah menunjukkan kita terdesak sangat sehingga sanggup ambil bibik yang mental begini?

Kepada ibu bapa, fikirkan jalan terbaik untuk kesejahteraan keluarga. Bibik bukan keperluan asas!

Ya, lain orang lain keadaannya, tapi insya Allah, pasti ada jalannya jika benar-benar mahu menjaga keluarga. Saya sejak dahulu memang 'say no' kepada bibik. Biarlah rumah tunggang-langgang. Biarlah saya berhempas-pulas balik kerja dengan penat dan terus memasak, kemas rumah, dan sebagainya. Sebab saya fikir, saya tak suka orang asing dalam rumah apatah lagi memang rakyat asing. Risiko hal-hal buruk akan berlaku 90% amlah mungkin 99%.

SAY NO to bibik!

Keluarga adalah segala-galanya dalam kehidupan. Di sinilah Islam meletakkan cara, jalan atau perkara-perkara yang perlu ditangani oleh institusi kekeluargaan itu. Suami, isteri, anak-anak semua ada fungsi. Jika masing-masing faham dan cuba memenuhi fungsi itu sebaiknya, insya Allah, tidak perlu bibik datang membantu. Kerana sudah banyak sangat kes bibik lebih mengharu dan menjadikan celaru.

Tidak sesekali entri ini membibitkan perasaan benci kepada negara seberang yang membekal tenaga kerja yang tidak berkualiti. Tidak.

Hal-hal sebegini bukan untuk mencari salah tetapi lebih kepada melihat diri sendiri tentang apa dan bagaimana sesuatu itu perlu diselesaikan.

Di pihak pembekal tenaga kerja, banyak lagi aspek perlu diteliti jika benar-benar mahu bekerja dan mencari rezeki halal di negara orang lain.

Bagi pihak Malaysia sendiri sebagai penerima tenaga asing, lebih banyak perkara perlu diselidiki agar hal-hal begini tidak merugikan rakyat Malaysia yang sanggup membayar sejumlah wang yang banyak untuk meringankan beban mereka. .

Saya, selamanya akan SAY NO kepada pembantu rumah. Biarlah rumah macam kapal pecah. Biarlah! Asalkan keselamatan anak-anak terjamin.

Ah..tidak sanggup melihat video itu. Sangat mendidih!

Demam - Tumbuh Gigi - Gangguan

Pertama kali Umar demam. Semasa suntik Hepatitis B pun dia tak demam. Jadi kami bimbang. Berteka-teki, mungkin kerana berendam dalam sungai di Janda Baik selepas hujan gerimis, atau mahu tukar bulan, atau...

Akhirnya, kami ambil keputusan buat spekulasi, Umar demam sebab mahu tumbuh gigi berdasarkan mulutnya yang asyik kemam dan jarinya asyik masuk dalam mulut.

Sejak khamis, Umar mula menunjukkan sikap yang pasif. Walaupun tidak merengek-rengek. Dia hanya duduk diam, dan sesekali bergerak. Mata berkaca. Makan tak lalu, asyik mahu dipeluk apatah lagi waktu malam. Sungguh letih tapi sangat kasihan melihat Umar.

Dalam hal ini sangat berterima kasih kepada kawan-kawan yang banyak beri saranan dan petua meredakan panas badan bayi.  Mungkin, beginilah letihnya emak jaga saya dulu. :P

Pergi klinik, Doktor kata demam biasa. barangkali mahu tumbuh gigi...cakap tak sampai satu minit terus keluar, dan dapat ubat demam serta ubat untuk gusi Umar.

Balik rumah bagi ubat...bagi ubat...bagi ubat...jaram kepala dan badan dengan kain basah, akhirnya panas badan Umar berkurang dan hilang. Alhamdulillah. Satu hal pula, dia buang air besar dengan najis yang cair dan panas. Barangkali kepanasan badannya keluar melalui najis. Kasihannya apabila 'tut' Umar merah dan seperti melecet. Menangislah dia apabila dibasuh bahagian itu.

Selesai bab demam dan 'tut' yang melecet, malam tadi Umar terbangun-bangun dan terus menangis bagai ada gangguan. Babah dan ibu bergilir dukung dan akhirnya kami bertiga tidur di ruang tamu sambil dialun bacaan Quran. Babah buat solat sunat beberapa rakaat berulang kali dan membaca beberapa potong ayat menghalau gangguan.

Ibu tidak tidur sepenuhnya. Pergi pejabat memandu dengan mamai sehingga hampir menyondol kereta di hadapan. Oh..sungguh letih.

Sampai pejabat, pengasuh beritahu Umar okey sahaja.

Semoga malam ini Umar terus okey.

Thursday, January 31, 2013

Bual vs bebel

Saya kira saya perlu mula mencatat tentang sikap dan sifat Adli Hakim dan Iyad Irfan. Ini bagi memudahkan saya mengenalpasti tabiat mereka dan mula bertindakbalas seperti sewajarnya.

Adli Hakim suka berbual.
Iyad Irfan suka membebel [tapi, saya lebih suka melabel bebel sebagai bercerita].


ADLI

Setiap hari, ada sahaja pertanyaan dan bual-bual yang berlaku antara saya dengan Adli sehingga ada ketikanya saya rasa rimas dan pening. Pelbagai topik dan pertanyaan akan dilontarkan. Saya kira itu satu situasi yang amat baik kerana dia mahu berkongsi banyak perkara dan mahu mengetahui banyak hal melalui saya.

Cuma, yang saya kesali, saya bertindak tidak wajar dalam beberapa hal.

  1. Pertanyaan Adli yang saya kira terlalu remeh..[oh, saya tidak dapat berikan contoh kerana terlalu banyak. Saya akan kemaskini apabila saya ingat semula]. Malangnya saya jawab begini, "takkan itupun awak tak tahu? Boleh tak fikir dahulu sebelum bertanya?" - Okey, saya memang kejam.
  2. Adli suka berbual ketika makan, sedangkan waktu itu saya tekankan, waktu makan jangan banyak bercakap. Rupanya saya silap. Bercakap-cakap ketika makan digalakkan dalam Islam. Baca INI. Apatah lagi, yang selalu dibualkan oleh Adli ialah perkara yang bermanfaat seperti kisah nabi, alam sekitar dan banyak lagi [Saya kurang selesa bercakap ketika makan kerana ia menganggu konsertasi saya menikmati makanan]
  3. Terlalu banyak tanya sehingga saya fikir, sikap ini membuatkan dia tidak berusaha berfikir sebelum bertanya. 
  4. Bertanya sesuatu yang kerapkali ditanya dan diberi jawapan. Contohnya, "ibu, baju ini mahu letak di mana?" - Dan tentulah saya beri jawapan sinis - "letak dalam tong sampah!
Hal-hal sebegini banyak mempengaruhi hubungan kami. Dan sudah tentu ia berpunca daripada saya yang tidak peka. keadaan ini perlu diperbetulkan. Insya Allah.

p.s : lain kali saya cerita tentang Iyad yang suka bercerita.

Friday, January 25, 2013

Walker Tidak Baik Untuk Tumbesaran Bayi?

Baca :

http://www.babycenter.com.my/a1045628/haruskah-saya-beli-walker-bantu-berjalan-untuk-bayi-saya
http://pakarhowto.com/info-berguna/keburukan-baby-walker.html
http://www.parentsindonesia.com/article.php?type=article&cat=babies&id=279
http://bayikita.wordpress.com/2007/11/05/bolehkah-menggunakan-baby-walker/

Oh.

Sebenarnya bukan saya tidak tahu mengenai hal ini. Bayi tidak digalakkan menggunakan walker. Malah di beberapa negara walker diharamkan. Ia bukan sahaja berkaitan dengan keselamatan semata. Tetapi juga proses tumbesaran bayi yang sepatutnya melalui proses yang wajar.

Baik. Mari tarik nafas dan berfikir semula. Apa yang perlu kita lakukan agar hal ini tidak menjadi satu hal yang menyebabkan pelbagai alasan digunakan untuk meletakkan bayi dalam walker. Juga memikirkan cara terbaik untuk menangani anak yang mula aktif merangkak-duduk- berdiri.

 Beli walker yang simple kerana mahu meletakkan Umar sebentar sahaja. Bukan sebagai 'kaki kedua' Umar.

Saya tidak merangka-rangka alasan untuk meletakkan Umar di dalam walker. Ya, pada mulanya saya fikir, jika dia berada dalam walker, tumpuan saya kepada kerja lebih baik. Memasak dan menyidai pakaian di luar rumah misalnya. Berbanding dengan tanpa walker, saya sentiasa terkejar-kejar melihat Umar yang kadang sudah berdiri di sofa dan kemudian jatuh tergolek. Juga Umar yang merangkak sudah sampai kepada kipas yang kemudian dicapai dengan jemarinya. Apatah lagi tabiat mengutip mainan dan sampah [barangkali] dan terus dimasukkan ke dalam mulut. Bahaya kan?

Saya beli walker akhirnya walaupun saya tahu keburukannya. Tetapi, saya tidak menafikan kebaikannya sama banyak dengan keburukannya. Baik..kita sudah bercakap soal keselamatan iaitu kecederaan dan kemalangan yang mungkin boleh timbul dari penggunaan walker. Dan pendirian saya sudah saya nyatakan di perenggan atas iaitu tanpa walker anak masih dalam keadaan bahaya.

Berkenaan dengan tumbesaran yang mungkin terganggu akibat penggunaan walker, ya...itu saya tidak arif untuk membicarakannya.

Namun, bagi ibu-ibu yang benar-benar merasakan tidak ada salahnya menggunakan walker, saya mahu kongsikan pendapat saya.

Saya berpendapat, ya tidak salah menggunakan walker. Apa yang perlu kita lakukan ialah tumpuan terhadap anak harus sama banyak seperti sebelum menggunakan walker. Jika tanpa walker, kita sentiasa tertinjau-tinjau anak yang dibiarkan meniarap dan merangkak, begitu juga dengan walker. Kita masih perlu beri tumpuan sewajarnya kepada anak. Selain walker, meletakkan anak di dalam playpen juga mengundang risiko yang sama dari segi kemalangan atau tumbesaran terbantut.

Jadi, untuk menggunakan walker, ibu-ibu masih perlu beri perhatian yang banyak. Ketika memasak, letakkan anak dalam walker dan tempatkan walker itu (lock) di tempat yang boleh kita lihat. Beri mainan atau buku kain (cloth book), untuk melekakan anak. Juga sentiasa bercakap-cakap dan bergurau dengan mereka walaupun kita sibuk dengan tugasan. Dan untuk hal tumbesaran terbantut, saya fikir ia tidak akan berlaku jika kita menggunakan walker dengan kadar sebentar. Iaitu anak tidak dibiarkan dalam walker untuk tempoh yang lama.

Seakhirnya, saya percaya, walker, playpen, buai dan sebagainya yang dicipta khas untuk memudahkan ibu, harus digunakan sebaiknya tanpa menidakkan fungsi kita sebagai ibu yang perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak. Alat tetap alat. Gunakan sahaja. Paling penting, ibu harus peka dengan setiap pergerakan anak walaupun mereka berada di dalam 'peralatan' mereka.

Perhatian dan kasih sayang, mampu mengelakkan segala bencana. Jika kita bijak gunakan masa yang ada untuk menyentuh, memimpin dan membelai anak, Allah pasti tunjukkan jalan.

Insya Allah.

Monday, January 21, 2013

Sudah Boleh Makan?

Nestum beras merah.

Ini nestum tin kedua. Pertama nestum gandum plus madu. Pilih nestum beras merah pula. Lagipun, senang, tak perlu tambah susu. Semua ada dalam satu tin. Harganya mahal sedikit daripada nestum biasa. Umar suka beras merah ni. Cuma cara beri makan, melalui botol dan buat cair sedikit. Cubaan kali pertama guna sudu dan bancul likat, dia tak mahu. Comot dan banyak songeh. :P

Sebenarnya ada juga cuba buat bubur nasi campur sayur. Kisar dan masukkan dalam botol. Tetapi, Umar makan sedikit sahaja. Barangkali kurang sedap. Kurang manis seperti nestum yang bercampur susu. Ada cara/ menu bubur yang sedap yang mahu dikongsikan dengan saya, saya suka mendengarnya.



Listen..listen..listen

Barangkali itulah yang ingin Umar perkatakan kepada abangnya. Berulang kali dia mahu memegang buku yang abangnya baca. Abangnya mengelak dan beralih tempat. Umar kejar...dan mungkin agak geram setelah dia menyebut aaa...aaa..aaa [listen..listen..listen], maka rambut abangnya ditarik dengan kuat.

Kasihan abang....





Akhirnya mengalah apabila abangnya buat tak tahu.
 
Sekian, inilah tindakan saya apabila orang tidak mahu 'listen'. Kata Umar.

Ha ha ha