Friday, March 22, 2013

BAHARU


Ya, setiap sesuatu akan berganti. Yang lebih baik atau buruk. Kita doakan sahaja buruk atau baik itu dapat kita hadapi dengan cekal.

Segalanya baharu bagi kami sekeluarga.

Ibu, baru tukar kerja baharu - Nampaknya ibu sangat gembira dengan kerjaya baharunya. Sungguh. Kami sendiri, walaupun agak kelam-kabut dengan jadual baru ibu, tetap bersyukur kerana segalanya bertambah baik. Insya Allah.

Ibu tidak lagi perlu keluar seawal pagi 6.30, untuk elak kesesakan. Ibu sudah boleh keluar jam 7 pagi dan ibu nampaknya sangat tenang, tidak rusuh sewaktu pergi dan balik. Walaupun balik agak lewat, itu tidak mengapa kerana kami lihat, ibu tidak lagi merungut tentang suasana kerja seperti di tempat lama. Ibu gembira dengan kerja baharunya. Setiap kali babah tanya tentang perjalanan ke pejabat dan kerja-kerja di pejabat, ibu menjawab dengan senyum dan bersemangat. Walaupun ibu kadang tidak sempat memasak, kami tetap bahagia. Semoga rezeki baharu ibu, diberkati dan dirahmati Allah untuk kami jalani kehidupan ini dengan lebih baik.

Abang Adli dan Abang Iyad - sudah mendapat tempat transit baru kerana Mama Intan tidak boleh beri komitmen lagi. Ahh ceritanya panjang. Nanti sahaja ibu ceritakan. Kenapa abang-abang tidak satu tempat dengan Umar? Kerana van sekolah abang-abang tidak masuk lorong rumah tempat Umar tumpang. Sedihnya...

Umar sudah jauh dari Mama Intan. Rindunya dengan Mama Intan. Kebaikan, ketulusan dan kasih sayang Mama Intan tidak akan Umar lupakan. Umar ingat semua itu. Namun, tidak ada apa di dunia ini yang akan kekal. Umar tinggal di rumah pengasuh baru yang ibu sendiri agak ragu keupayaannya. Tetapi, ibu sendiri kata, ibu tidak mampu buat lebih baik daripada ini. Ibu hanya serahkan segalanya, serahkan Umar, di dalam jagaan Allah. Insya Allah ibu, Umar baik-baik sahaja. Ibu jangan bimbang. Ibu kerjalah baik-baik.

Babah pun menjalani kehidupan baharu dengan segala yang berlaku. Walaupun babah pun berazam mahu mulakan kehidupan baharu dengan kerja baharu, masih ada kekangan. Ada hikmahnya. Nenek tinggal dengan kami sekarang. Babah sebagai anak sulung, babah kenalah jaga nenek yang sudah tidak sihat.

Kami, amat berdoa, setiap sesuatu yang berlaku, baik hal lama atau baharu, kami sentiasa dalam lindungan Allah yang Maha Besar. Amin...

2 comments:

  1. Kalau nenek sihat, tentu Umar boleh bermanja dengan nenek. Tentu hati ibu lebih tenang Umar dalam jagaan nenek. Didoakan nenek sihat dan didoakan sekeluarga diberi kelapangan mencari rezeki dan bersatu dalam kasih sayang Allah.

    Amin.

    ReplyDelete