Showing posts with label pengasuh. Show all posts
Showing posts with label pengasuh. Show all posts

Wednesday, April 17, 2013

Pengasuh Lagi!

Ibu fikir ini adalah masalah biasa yang dialami oleh setiap ibu yang mahu mencari penjaga anaknya. Sebenarnya bukanlah masalah besar bagi ibu untuk mencari pengasuh lain. Cuma, kalau boleh tak mahulah bertukar-tukar pengasuh banyak kali.

"Eh, tak apa tukar pengasuh. Kerana keserasian antara pengasuh dan anak kecil perlu ada supaya tak ada konflik. Juga kita perlu pilih orang yang mahu jaga anak kita. Takkanlah nak pilih orang yang suka menjerit tak tentu pasal. Nanti anak kita pun suka menjerit dan membentak. Takkanlah nak pilih pengasuh yang pengotor. Kesan kepada kesihatan anak kita. Juga, takkanlah nak pilih pengasuh yang tak suka budak kecil tapi suka duit. Itu lagi bahaya."

Bebel seorang kawan.

Betul juga kan?

Tetapi dalam proses mencari pengasuh yang betul sudah tentulah kita akan menemui pengasuh yang salah.

:-(

"Ada masa tak? nak beritahu pasal Umar sikit. Akak minta maaf bebanyak la apa yang terjadi. Akak dah cerita pada ayah Umar, tapi akak tahu dia tak puas hati dengan cerita akak."

SMS dari pengasuh Umar semalam ketika saya masih di pejabat.

Balik ke rumah malam semalam, Umar terus menerpa ke arah saya dan babahnya bercerita;

"Saya sudah keluar dari halaman rumah dia, tengok pipi Umar luka agak besar. Saya patah balik tanya kenapa jadi begitu. kenapa dia tak beritahu awal-awal semasa dia serahkan Umar kepada saya?"


:(

Dan sekarang, kami dalam usaha mencari pengasuh [tapi saya lebih suka jika terus cari taska], yang baru kerana sudah beberapa kali Umar mengalami kecederaan. tentulah ia membimbangkan saya.Saya tak akan salahkan Umar dan pengasuh juga tak berhak salahkan kanak-kanak yang berusia 10 bulan kerana terlalu lasak.

Apabila kamu sudah bersetuju untuk mengasuh anak kecil, kamu kena berkorban beberapa perkara;

  1. Susun atur perabot rumah harus sesuai dengan ruang untuk keselesaan kanak-kanak, apatah lagi yang baru pandai merangkak dan mahu belajar berdiri. Ruang yang luas dan selamat adalah penting.
  2. Susun jadual kerja semula. Pastikan tumpuan penuh diberi kepada anak asuhan dan bukannya beri tumpuan besar kepada kerja-kerja rumah.
  3. Ubah suasana ruang kepada anak-anak - buka langsir, bawa jalan-jalan di luar rumah dan sebagainya.

Dan banyak lagi perkara yang perlu diambilkira. saya pasti pengasuh yang bersedia jaga anak kecil tahu perkara ini apatah lagi pengasuh itu sudah berusia dan punya anak sendiri. Jika dia fikir, anak-anak asuhan sebagai anak sendiri, perkara begini tak akan berlaku.

Tetapi, itulah, barangkali niat yang membezakan perlakuan. Niat mahu menjaga dengan penuh tanggungjawab atau niat kerana duit semata.

Ya Allah, semoga Kau peliharakan Umar buat masa ini kerana kami juga berusaha untuk mencari penjaga yang lebih baik untuk Umar.

Friday, January 18, 2013

Taska VS Pengasuh Vs Pembantu Rumah VS Jagaan ahli keluarga

Taska.
Pengasuh.
Pembantu Rumah.
Jagaan Ahli keluarga.

Taska seperti umumnya mengumpulkan kanak-kanak sedari usia 3 bulan sehingga ke usia 12 tahun [maksima umur, barangkali]. Di dalam sebuah tempat/rumah yang ditetapkan syaratnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Boleh rujuk SINI .

Umar dan anak pengasuh, Naufal. Kata pengasuh Umar, dia tidak mahu menjaga anak orang lain kerana mahu menumpukan kasih kepada anaknya dan Umar sahaja. Sweet kan?


Pengasuh, biasanya merujuk kepada orang yang menjaga kanak-kanak sama ada di taska atau secara perseorangan di rumah [suri rumah yang berhasrat mahu menjaga seorang kanak-kanak atau sekurang-kurangnya empat orang kanak-kanak di bawah 4 tahun - yang masih perlu memiliki sijil yang berkelayakan]

Pembantu Rumah yang dibayar gaji setiap bulan untuk membantu kerja-kerja rumah dan sekaligus menjaga anak-anak majikan secara keseluruhan [walaupun baru-baru ini timbul kekecohan bahawa pembantu rumah terutama yang didatangkan dari luar negara tidak wajar dibebankan dengan pelbagai tugas sedangkan gaji yang dibayar khas untuk membuat kerja-kerja rumah sahaja - bukan termasuk menjaga anak-anak majikan).

Jagaan ahli keluarga biasanya ditafsir sebagai meminta bantuan ahli keluarga [mungkin dengan bayaran tertentu], untuk menjaga anak-anak kita. Biasanya khidmat adik beradik yang tidak bekerja atau ibu bapa yang masih sihat dan bersungguh mahu menjaga anak-anak kita. Ada juga ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anaknya ke kampung dengan alasan kos penjagaan kanak-kanak di KL sangat tinggi. Saya kurang setuju dengan cara ini, namun setiap orang ada hak tersendiri untuk berbuat demikian.

Keempat-empat pilihan di atas memerlukan penelitian menyeluruh. Pertamanya, sudah tentu aspek kewangan. Kedua, jarak atau tempoh masa diambil untuk hantar dan ambil anak-anak. Ketiga, keselamatan dan keselesaan. Keempat, keistimewaan atau kelebihan pilihan yang dibuat.

Dalam aspek ini, kami sendiri mengalami masalah yang tidak kurang hebatnya. Sebelum ini, Adli dan Iyad dihantar ke taska yang berdekatan dengan rumah. Soal bayaran tidak begitu menjadi hal kerana setiap taska menawarkan bayaran yang lebih kurang sama. Mahu tidak mahu sejumlah itulah yang ibu bapa perlu sediakan untuk penjagaan anak-anak mereka masa kini.

Meneliti kembali taska yang kami pilih, sudah pasti kami perlukan taska yang tidak terlalu sendat, yang bilangan pengasuhnya setara dengan bilangan kanak-kanak yang dijaga, taska yang bersih dan cantik, kemudahan transit untuk anak-anak bersekolah sekali dengan kemudahan pengangkutan dari taska ke sekolah serta kemesraan pemilik taska itu sendiri.

Namun, tidak semua taska berdiri dengan kesempurnaan. Seperti taska lama Adli dan Iyad yang sangat menggusarkan hati. Lihat sahaja ke dalam taska, dengan bayi berusia setahun ke bawah bergelimpang di lantai menangis-nangis dan kanak-kanak yang lebih besar usianya berlari ke sana kemari, pengasuh yang tidak cukup dan sebagainya...membuatkan kami bimbang. Bimbang keselesaan Adli dan Iyad dan juga yang terutama Umar yang masih kecil.

Puas saya bertanya kepada kawan-kawan rapat tentang pengasuh yang boleh menjaga Umar. Alhamdulillah, akhirnya seorang jiran yang baik hati, [yang juga baru melahirkan anak keempatnya] menawarkan kesudian menjaga Umar yang dikatanya, 'terlalu baik, senyap sahaja dan jatuh cinta kali pertama ketika memandang Umar. Malah, beliau yang mempunyai sijil penjagaan kanak-kanak dan bercita-cita mahu buka taska, menawarkan juga penjagaan [transit] Adli dan Iyad. Alhamdulillah....syukur yang banyak atas kemudahan yang Allah sediakan buat kami.

Kepada ibu bapa yang masih dalam dilema dan kesukaran mendapatkan pilihan terbaik, berdoalah banyak-banyak tanpa henti agar ditemui pilihan terbaik untuk menjaga anak-anak. Sehingga tiada pilihan dan membuatkan ibu atau bapa terpaksa berkorban dengan berhenti kerja, percayalah, itu juga adalah ketentuan Allah. Ada rahmat disebalik semua itu. Dan jika masih kurang yakin dengan pilihan yang dibuat, misalnya menghantar anak ke taska yang tidak diyakini keselesaannya, maka berdoa jugalah pada Allah. Serahkan anak-anak kita di bawah jagaan Allah. 

Dan kini, saya masih bersyukur apabila mengingatkan rezeki kami mendapat pengasuh yang baik, yang menjaga anak-anak kami tanpa berkira.

Semoga beliau terus kekal di rumah itu [Beliau menyewa rumah itu], untuk menjaga anak-anak kami. Tetapi, jika beliau berpindah [di kawasan yang sama], kami akan tetap meminta beliau menjaga anak-anak kami.

Terima kasih, Allah.