Monday, February 18, 2013

Demam - Tumbuh Gigi - Gangguan

Pertama kali Umar demam. Semasa suntik Hepatitis B pun dia tak demam. Jadi kami bimbang. Berteka-teki, mungkin kerana berendam dalam sungai di Janda Baik selepas hujan gerimis, atau mahu tukar bulan, atau...

Akhirnya, kami ambil keputusan buat spekulasi, Umar demam sebab mahu tumbuh gigi berdasarkan mulutnya yang asyik kemam dan jarinya asyik masuk dalam mulut.

Sejak khamis, Umar mula menunjukkan sikap yang pasif. Walaupun tidak merengek-rengek. Dia hanya duduk diam, dan sesekali bergerak. Mata berkaca. Makan tak lalu, asyik mahu dipeluk apatah lagi waktu malam. Sungguh letih tapi sangat kasihan melihat Umar.

Dalam hal ini sangat berterima kasih kepada kawan-kawan yang banyak beri saranan dan petua meredakan panas badan bayi.  Mungkin, beginilah letihnya emak jaga saya dulu. :P

Pergi klinik, Doktor kata demam biasa. barangkali mahu tumbuh gigi...cakap tak sampai satu minit terus keluar, dan dapat ubat demam serta ubat untuk gusi Umar.

Balik rumah bagi ubat...bagi ubat...bagi ubat...jaram kepala dan badan dengan kain basah, akhirnya panas badan Umar berkurang dan hilang. Alhamdulillah. Satu hal pula, dia buang air besar dengan najis yang cair dan panas. Barangkali kepanasan badannya keluar melalui najis. Kasihannya apabila 'tut' Umar merah dan seperti melecet. Menangislah dia apabila dibasuh bahagian itu.

Selesai bab demam dan 'tut' yang melecet, malam tadi Umar terbangun-bangun dan terus menangis bagai ada gangguan. Babah dan ibu bergilir dukung dan akhirnya kami bertiga tidur di ruang tamu sambil dialun bacaan Quran. Babah buat solat sunat beberapa rakaat berulang kali dan membaca beberapa potong ayat menghalau gangguan.

Ibu tidak tidur sepenuhnya. Pergi pejabat memandu dengan mamai sehingga hampir menyondol kereta di hadapan. Oh..sungguh letih.

Sampai pejabat, pengasuh beritahu Umar okey sahaja.

Semoga malam ini Umar terus okey.

No comments:

Post a Comment