Tuesday, May 31, 2011

Tukar sekolah?





Ibu, betulkah selepas cuti sekolah ini Iyad akan tukar sekolah Smart Reader?

Saya diam.

Mengapa perlu menyimpan?





Simpanan. Ya, kami agak lewa tentang hal ini sedangkan sekarang sudah banyak program penyimpanan untuk anak-anak sedari mereka lahir ke dunia. Alasan apakah yang mahu kami lontarkan apabila ada yang bertanya tentang simpanan untuk masa depan anak-anak.

Baru bermula. Ya, kami baru bermula dengan penyimpanan. Mulakan dengan membuka semua tabung yang ada, dan buka akaun untuk Iyad dan Adli. Mungkin juga selepas ini kami akan melihat program penyimpanan mana yang terbaik untuk mereka berdua.

Setakat yang ibu tahu, di Malaysia ada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang memeberi banyak kemudahan kepada ibu bapa untuk membuat simpanan demi masa depan anak-anak.

Terdapat juga Bank yang menawarkan skim tabungan untuk anak-anak seperti Bank Rakyat (Tabung Nuri) dan Tabung Haji. [Sebenarnya hampir semua bank di Malaysia menawarkan skim simpanan untuk anak-anak].

***

Sebenarnya sejak tahun-tahun sudah satu beg syiling ini disimpan. Tidak sempat menukarkannya dalam bentuk buku akaun untuk Iyad dan Adli.

Kali ini, nampaknya babah serius.

Dan acara mengira syiling bermula.

Semoga usaha kami untuk memperuntuk sebahagian kecil pendapatan untuk anak-anak berjaya.

Monday, May 30, 2011

Membaja benih bijaksana


Isnin minggu lalu kami dijadualkan menghantar Acik Zani (adik ibu) mendaftar di Universiti Teknologi Mara (Uitm) Puncak Alam, yang berdekatan dengan rumah kami.

Tahniah Acik Zani kerana mendapat keputusan SPM yang membanggakan dan seterusnya terpilih menyambung pelajaran di Uitm dalam bidang Asasi Sains.


Sudah tentu ibu bangga, kerana selepas Acik Ita, Acik Zani pula dapat menyambung pelajaran. Kebanggaan itu mahu ibu tunjukkan kepada Adli dan Iyad dengan harapan kejayaan orang-orang di sekelilingnya mampu menjadi baja yang membenihkan kebijaksanaan kepada mereka berdua.

Memang benar, kebijaksanaan tidak boleh diwarisi. Namun, ia boleh dipupuk. Ibu percaya Iyad dan Adli akan menjadi lebih berjaya daripada ibu dan babah. Dan Ibu akan sentiasa berusaha sehabis daya untuk memastikan kedua-dua jejaka kecil ibu mendapat yang terbaik. Hanya itu yang ibu mampu wariskan.

"Lihat, Acik Zani pandai kan? Dapat masuk universiti. Jadi Iyad dan Hakim kena belajar bersungguh supaya dapat masuk universiti juga," kata ibu.

"Ini, kita semua dapat masuk universiti," balas Adli.

Iyalah sayang!

Friday, May 20, 2011

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran ke-5, Muhammad Iyad Irfan






Sayang, ibu doakan Iyad agar menjadi anak yang soleh, bijaksana dan budiman. Semoga terus sihat dan membesar menjadi insan yang kamil.

Doa ibu hari ini, dan seperti selalu-selalu ketika mengusap dahi kamu yang sedang tidur.

****

Tahun hadapan, kita buat majlis yang sempurna.

Terima kasih Ain dan Apix untuk coklat yang comel. Ibu tempah saat akhir, dan alhamdulillah, coklat siap seperti yang dijanjikan.

Wednesday, May 11, 2011

Ahad yang Panas





Sekarang musim panas. Iyad sudah mula demam. malam tadi ibu tidak dapat tidur kerana Iyad meragam. Suhu badannya naik mendadak. Puaslah ibu tuam dengan air sejuk dan beri ubat. Pagi ini, ibu pening kerana tidak cukup tidur.
********


Cerita hari Ahad.
Hari ahad minggu lepas kami menghadiri kenduri kahwin sepupu babah. Fazly. Turut bersama kawan ibu dari Singapura, Jenn. Cuaca begitu panas. Ibu terpaksa meninggalkan anak-anak ibu dengan babah yang sibuk membantu apa yang patut. Ibu perlu menghantar Jenn ke Berjaya Times Square kerana Jenn akan balik ke Singapura hari itu.

Ibu berjanji dengan anak-anak ibu, yang ibu akan bawa mereka ke Taman tasik Perdana selepas pulang dari kenduri itu. Mereka mengangguk.

Sesudah menghantar Jenn, dan tidak dapat menemani beliau menunggu bas yang akan tiba jam 3.30 petang....ibu terus bergegas kembali ke kenduri. Duduk sekejap dan terus ke Taman tasik Perdana.

Cuaca memang panas.



Dan ibu layankan sahaja anak-anak ibu di sana. Naik Syatel sampai dua kali.

***********

Sebaiknya, untuk menghiburkan anak-anak di hujung minggu yang panas, kita boleh sahaja membawa mereka ke taman permainan yang berada di dalam bangunan pusat membeli belah. Contohnya di Giant Kota Damansara, Berjaya Time Square, One Utama dan sebagainya. Cuaca yang panas bawa penyakit yang pelbagai.

Friday, May 6, 2011

Doa Iyad



"Kenapa ibu menangis?" tanya Iyad malam tadi sambil tangannya meraba-raba wajah saya.

Dalam gelap, dia tahu saya menangis. Suara dan barangkali nada percakapan yang sedikit serak basah.

"Iyad sayang ibu tak?" tanya saya memulakan perbualan agar hal nangis tidak membuat mood saya calar.

"Sayang. Iyad sayang sangat kat ibu," jawabnya sambil memeluk saya lebih erat.

"Doakan ibu boleh?" tanya saya.

"Okey, Iyad doakan supaya ibu kerja kuat-kuat. Ibu kena berusaha. Nanti dapat banyak duit. Iyad nak beli mainan banyak-banyak. nanti kita boleh naik kapal terbang, jalan-jalan.....bla...bla...."

Saya biarkan dia membebel.

Kemudian, dia peluk saya lebih erat sambil berkata, "Iyad doakan semoga ibu tidak mimpi hantu."

Saya tergelak dengan doanya yang akhir. Ternyata, jejaka kecil inilah penawar yang sebenarnya. Juga Hakim.

Ibu sayang kamu berdua.

Ahh..panik.



"Ibu, ibu pernah buang Hakim tak?" tanya Hakim tiba-tiba ketika kami bersantai di atas katil untuk tidur.

Saya terkejut. Benar-benar terkejut. Dengan wajah serius saya menjawab, "mana mungkin. Ibu sayang Hakim sangat. Mengapa mesti ibu buang awak?"

"Tapi, ibu pernah tak buang Hakim kat tong sampah?" tanyanya lagi dengan bersungguh.

"Kenapa awak tanya ibu begini? Sudah pasti ibu tidak pernah buang awak di mana-mana sekalipun. Ibu sayang awak sangat-sangat. Tak boleh ganti dengan apapun. Kalau awak tiada, ibu pun mati." Jawab saya sambil duduk dan menghadap wajahnya yang sedang berbaring.

"Ibu ni, janganlah panik. Hakim tanya sahaja," jawab dia selamba.

Erghhh.....

Thursday, May 5, 2011

GPS...PSP


Sementara menunggu giliran bermain game dengan pakciknya, Hakim bermain game Cars di dalam telefon bimbit makciknya.




"Ibu, bolehkah ibu beri Hakim setiap hari RM10?" tanya Hakim ketika kami santai menonton Spongebob hari Isnin lalu.

"Untuk apa?" tanya saya serius.
"Hakim mahu kumpul RM400. Mahu beli GPS," jawab Hakim dengan yakin.

"GPS?" tanya saya dengan kerutan yang penuh makna di wajah.

Beberapa saat kemudian, dia senyum dan menjawab, "eh...PSP..."

Kami tergelak.
****

PSP.

Saya berbual dengan jejaka. Mahu belikan mereka PSP kah untuk tujuan libur?
Kami masih berkira-kira tentangnya. Tetapi saya tidak berkenan dengan permainan tersebut walaupun didakwa ia boleh meningkatkan kecerdasan kanak-kanak dalam menguji ketangkasan, kecekapan dan kekreatifan.

Mungkin kerana saya memang tidak gemar/tidak pernah bermain PSP maka, saya merasakan ia tidak perlu dalam menyokong pembentukan pemikiran anak-anak. Yang saya nampak hanyalah 'buang masa' dan boleh melalaikan.
Oh, saya tidak mahu ambil risiko dengan membelikan PSP dan akhirnya anak-anak saya akan leka dan 'jadi malas belajar'.

Saya belum punya kekuatan untuk menjadi pengawal yang baik untuk anak-anak. Sebaiknya saya hindarkan PSP dari senarai 'bahan bantu hilangkan stress' untuk anak-anak.

******

Balik kampung minggu lepas, Hakim dihidangkan dengan permainan Street Fighter oleh pakcik-pakciknya. Dia leka. Teruja dan seterusnya menangis apabila kalah dalam permainan itu.

Peliknya, Iyad tidak berminat langsung dengan permainan maya itu. Cuma sesekali mahu meminjam telefon bimbit saya untuk bermain game 'ringkas' di dalamnya.



Jejaka kecil saya, Iyad dengan buku barunya Mencari Pohon Emas, Putera Berlima

Maaf, Hakim, ibu hanya akan belikan permainan itu seandainya keputusan peperiksaan kamu membanggakan dan kamu menunjukkan sikap 'mendengar kata' yang lebih baik.