Monday, January 18, 2010

Geledah Taman


Irfan berlari sambil menggayakan dirinya seperti burung, manakala Hakim sedang mengira blok bata tempat pejalan kaki. Layankan sahaja.



Makan aiskrim



"Ibu nak?" tanya Hakim. Sambungnya lagi, "eh, ibu tak boleh makan sejuk, ibu demam." - ye la tu, pandai.



Hai ibu...hai babah



Naik helikopter besi


Sabtu lalu, babah kerja. Sebetulnya ada projek menghijaukan bumi syarikat tempat babah bekerja. Ibu juga ada kerja. Ada program yang betul-betul rugi jika dilepaskan. Namun, ibu memikirkan hal Hakim dan Irfan yang kurang aktiviti rekreasinya. Babah kata, jika anak-anak sudah besar sedikit, bolehlah di bawa sekali, kerana tempat yang babah mahu pergi itu merupakan kawasan hutan.

Jadinya, Sabtu lalu ibu bawa Hakim dan Irfan ke Taman tasik Perdana. Konon mahu membuat 'outdoor shooting'. Tapi cuaca panas sangat. Kulit muka Irfan sudah 'terbakar'. Begitu juga Hakim. Namun, mereka tidak menunjukkan rasa mahu balik. Ibu sudah belengas. Layankan sahaja mereka lari ke sana sini.

"Seronok tak naik syatel?" tanya ibu kepada Hakim.
"Seronok sangat," jawab mereka berdua.

Kami menaiki syatel yang disediakan di taman tersebut. RM0.50 untuk dewasa sekali naik. Manakala untuk kanak-kanak hanya RM0.20.

Kami mengelilingi Taman Atsik Perdana sehingga keluar melalui Muzium Kesenian Islam, Masjid Negara dan melalui lebih kurang 200 meter laluan besar. Agak bahaya bagi anak-anak ibu yang berdiri di atas kerusi.

Balik dari taman, mereka tertidur di dalam kereta. Hujan di pertengahan jalan lebih melenakan mereka.

"Hello, babah di mana?"
"Ada di dalam kereta, belum naik rumah lagi sebab tertidur dalam kereta," jawab babah yang juga sudah tiba di rumah.

Like father like sons kan?

More pictures at FLICKR

Friday, January 15, 2010

Mengunjungi Rumah Baharu


Belakang rumah yang saya cadang mahu tanam serai dan beberapa tumbuhan herba, kata jejaka saya, dia mahu sambung bahagian dapur terus ke belakang. Uwaaa...



Bahagian atas [tengah-tengah rumah], katanya mahu ditutup kerana ingin dijadikan 'family hall' dan agak bahaya buat anak-anak. Lihat, Irfan memanjat dalam keadaan yang bahaya.



Pandangan dari balkoni bilik utama.



Rumah kecil kami!

Minggu lepas, kami mengunjungi rumah baharu kami. Teruja bila melihat dari jauh rumah ini sudah tegak berdiri. Hujan. Tapi, jejaka kecil saya, Hakim dan Irfan tak sabar mahu masuk. Sampai dalam semua sudut diteroka. Sambil membebel, "ini bilik abang Hakim, ini bilik Iyad [dia dah minta dipanggil Iyad kerana di sekolah cikgunya memanggil dia Iyad - kes ramai nama Irfan]."

"Iyad tak mahu tidur dengan ibu." Kata Irfan.
"Hakim pun tak mahu tidur dengan ibu. Kita tidur sama-sama nak Iyad?" kata Hakim.

Saya senyum sambil memandang bapa mereka.

Nampak sangat mereka sudah besar. Dan adakah mereka tidak perlukan saya lagi?

Wednesday, December 2, 2009

Mengapa Jadi Begini?





Ini hal yang berlaku bulan lepas.

Pada 22 November yang lalu, sekolah Hakim mengadakan konsert dan penyampaian hadiah buat pelajar-pelajar tahun 6. Saya sangat teruja sehingga sanggup mengenepikan hal tugasan hari itu. Bergegas balik awal semata-mata mahu menyaksikan Hakim buat persembahan 'Chicken Dance' di sekolahnya.

Sampai di sana, Hakim ditukarkan baju kepada baju badut. Waktu itu saya tertanya-tanya juga apa kaitan antara badut dengan chicken dance. Hakim juga teruja, melompat sana sini dengan gaya tersendiri. Pertama kali mahu buat persembahan.

Tiba-tiba, dia terlihat kawannya di solekkan dengan wajah badut. Saya terlupa bahawa Hakim dan Iyad Irfan memang takutkan badut. Dia mula merengek. Tidak mahu disolek begitu malah tida mahu buat persembahan. Saya hampir hilang sabar. Menjadi marah dan bengang. Dengan Hakim juga cikgunya. Malahan, kawan-kawannya yang telah disolek juga tidak menunjukkan wajah yang gembira kerana menjadi bahan ejekan kawan-kawannya.

Pertamanya, mengapa perlu disolek begitu rupa? Tidak comel malah menakutkan.
Keduanya, mengapa perlu berpakaian dan bersolek ala badut sedangkan kanak-kanak ini mahu buat persembahan chicken dance? Apa kaitan chicken dance dengan pakaian badut? Adakah cikgu sudah ketandusan idea dalam bab pakaian untuk persembahan?

Hakim memang betul-betul tidak buat persembahan. Dan ini mengecewakan saya sangat-sangat.

Marah dengan keadaan ini.

Tuesday, November 10, 2009

Bual



Pagi tadi, semasa mandi pintu bilik ir diketuk perlahan.

"Ibu, ini Hakim." suara dari luar saya dengari dengan jelas.
"Ya, ada apa," jawab saya.

"Ibu, nanti belikan Hakim cerita Ben10. Hakim mahu bawa ke sekolah," kata dia.

"Ok," jawab saya. Tidak selesa berbual dengan keadaan begitu.

"Ibu, kenapa Daniel cakap &*&^%. Tak baikkan ibu?" tanya dia lagi.
"Ya, tak baik sayang. Hakim jangan begitu. Nanti Tuhan marah," jawab saya pula.

Dan kami berbual sehingga saya sudah mandi.

Sebenarnya, saya teringat kepada pesan seorang pensyarah bahasa saya. Katanya, tugas ibu bapa memperkaya memori anak-anak dengan kosa kata yang penuh, baik dan banyak.

Jadi, saya akan berbual dengan Hakim juga Irfan. Di mana-mana juga. Banyak-banyak. Baik-baik, penuh-penuh dan hemat-hemat.

Wednesday, October 28, 2009

Ulangtahun Kelahiran Hakim ke-5




Sebenarnya, ulangtahun kelahiran Hakim dah lepas. Ahad yang lepas. 25.10.09. Tapi ibu ada bengkel sampai petang, maka kek Hakim tak sempat ibu ambil petang itu. Jadinya petang Isnin baru ambil dan pagi selasa baru beri pada kawan-kawan taska.

Selamat ulangtahun sayang. Ibu dan babah, juga adik sayang Hakim. Sangat sayang.

Semoga jadi anak yang baik budi, bijaksana, soleh dan menjadi manusia yang kamil. Doa ibu. Setiap hari.

Seperti biasa, kek di tempah dari kak Wansu yang sabar melayan saya. Terima kasih kak!

Tuesday, September 29, 2009

Raya Kami

Kepenatan


Gunting rambut...


Di rumah induk. Lihat, semua bergambar, dia sibuk main tangga. Jatuh bedebup padan muka.


Beraya sehingga petang di kampung. Badan dah belengas dan digigit nyamuk.


Nyanyi lagu Negaraku. Abangnya nyanyi lagu Balik Kampung. Hahahha...

Keluarga sebelah babah


Dengki orang nak bergambar. Hakim dan Irfan boleh lepak bawah sofa...Hampess je.


Selamat Hari Raya semua. Malas betul mahu update blog ini. Banyak gambar, tapi malas nak edit.

Hari raya tahun ini amat sederhana buat kami. Mengajar anak berjimat, tetapi ibu pula yang lebih-lebih belikan baju raya sampaikan ada baju yang tak sempat pakai pun. Ambil gambar pun tak berapa sangat sebab sibuk melayan tetamu. Hakim dan Irfan beraya tak ingat dunia. Jumpa pakcik-pakciknya, sampai tak ingat ibu.

Bila dapat duit raya, Irfan segera berlari ke arah ibu, masukkan dalam beg ibu. Hehehhe...
Hakim pula, tak suka duit raya. Dia salam saudara maranya, kemudian terus lari sambil jerit, " Hakim tak nak duit raya!"

Paling pelik, masing-masing apabila beraya di rumah saudara-mara atau kawan ibu, pasti ada soalan ini sama ada dari mulut Hakim atau bibir Irfan;

"Ada baby tak?"

Ya, mereka sedang obses dengan baby.

"Comel sangat lah baby ni ibu," Kata Irfan.

Babah, senyum sahaja. Tahun depanlah babah ya?

Friday, August 28, 2009

Hari Demi Hari Lain Ceritanya

Setiap hari adalah hari yang perlu di catit apa yang berlaku. Sama ada baik atau buruk. Buat bekal kemudian hari. Juga buat renungan untuk diri sendiri.

Semalam, kita gembira-gembira. Hari ini mungkin kita sedih dan pilu. Esok lusa pula mungkin kita biasa-biasa sahaja.


Hari Isnin yang lepas, Ibu bawa Hakim dan Irfan meronda satu taman. Mahu berhenti di taman permainan tidak boleh pula memandangkan hujan baru berhenti dan kesemua mainan basah. Dalam kereta Hakim dan Irfan menyanyi-nyanyi pelbagai lagu kanak-kanak. Ibu tumpang sekaki. Belikan apa yang Hakim dan Irfan mahu di kedai runcit dengan harapan mereka tidak meragam dan meminta itu ini dengan ibu apabila naik ke rumah. Ibu letih hari itu sebenarnya.


Selasa, semasa di pejabat, ibu menerima panggilan dari pengetua taska. Irfan cedera. Ibu rasa menggeletar. Walaupun cikgu beritahu bahawa cedera di dagu itu sedikit sahaja dan sudah di rujuk kepada doktor, ibu rasa tak sedap hati. Apatah lagi apabila ibu tanyakan keadaan Irfan dan cikgu kata Irfan senyap sahaja sebaik pulang dari klinik.

Itu bukan Irfan ibu. Irfan yang ibu kenal cukup lincah dan ligat walaupun dalam keadaan sakit. Bila cikgu kata Irfan pasif, ibu ambil cuti setengah hari dan balik ke rumah. Alhamdulillah, walaupun Irfan sedikit pasif, segalanya sudah ok. Ibu bawa Irfan ke klinik panel untuk rawatan lanjut. Doktor kata Irfan ok.


Hari rabu, Irfan sudah mula aktif. Tetapi abangnya pula pasif. Rupanya Hakim demam. Batuk dan suaranya bertukar lain. Ibu sangat bimbang. Dalam hati berdoa agar dijauhkan dari H1N1 kerana semalamnya, ibu baharu membaca berita di akhbar bahawa ada seorang kanak-kanak berusia 3 tahun meninggal akibat H1N1.

Kami ke klinik. Doktor kata Hakim batuk biasa dan demam biasa. Berulang kali ibu minta pengesahan. Doktor sampai tergelak melihat kesungguhan ibu. Di luar klinik, Hakim memandang ibu.

Katanya, "Hakim kena H1N1 ke ibu?"
"Tidaklah, demam biasa sahaja sayang," jawab ibu.

Alhamdulillah, hari ini demam Hakim semakin pulih. Dan Irfan juga semakin aktif.

Wednesday, August 19, 2009

Apabila Ada...



"Apabila ada, berilah sebaiknya kerana jika sudah tiada, maka tiada apa-apa lagi yang boleh diberi dan dinikmati."

Itu kata-kata seorang kawan yang baru kehilangan cahayamata. Satu-satunya cahaya mata yang sering diabaikan kerana sibuk bekerja. Hari-hari terakhir si kecil yang berusia 3 tahun itu sangat menyedihkan. meminta-minta kasih sayang dari ibu bapanya. Merengek-rengek dan sengaja meminta itu ini demi meraih perhatian. Sayangnya, ibu dan bapanya ettap sahaja sibuk dan meminggirkan si kecil bersama pembantu rumahnya. Anak kecil itu meninggal kerana sesak nafas yang tiba-tiba. Tanpa sempat satupun permintaan terakhirnya [minta tidur bersama ibunya, minta makan bersuap dari tangan ibunya dan minta jalan-jalan di taman] tertunai.

Sehingga kini, saya tidak pasti sama ada si ibu sudah mampu menerima berita tersebut atau masih dirundung duka.

Adli Hakim dan Iyad Irfan,
Memang ibu dan babah sayang kamu berdua. Sangat sayang. Tiada terbandingkan dengan apa-apa jua.

Namun, itu bukanlah alasan segala permintaan kamu harus ditunaikan.

Ada perkara yang ibu akan tolak, dan ada ketikanya ibu akan tunaikan.

Jadi jangan 'benci' ibu dan babah sekiranya kami menolak permintaan kamu.

Dan ibu juga, akan lebih berhati-hati dengan setiap jawapan yang ibu beri agar kamu berdua faham mengapa ibu berkata TIDAK.

Jangan benci ibu. Jangan juga benci babah. Sebab kami sayang kamu berdua.

Thursday, August 6, 2009

Kisah Nurul


























Nurul semasa mengandung, Haziq, Farish dan adik Nurul.













Adrianna

Nurul ialah kawan baik ibu. Dahulu dia tinggal berjiran dengan ibu. Anak-anaknya yang terdahulu iaitu Haziq dan Farish sebaya Hakim dan Irfan. Tapi masing-masing tak serasi. Asyik gaduh. Sudahnya, kami hanya berbual melalui tingkap atau ketika menyidai pakaian dengan anak-anak dikurung di dalam rumah. Hehhehe....

Persahabatan dengan Nurul tidak seperti kawan yang lain. Walaupun umurnya baru mencecah 26 tahun, dia matang. Mungkin kerana mempunyai suami yang 15 tahun lebih tua daripadanya. Maka, banyak perkara kami saling ingat-mengingati. Tentang peranan dan tugas suri rumah [kerana masa itu ibu tidak bekerja]. Nurul juga banyak memberi inspirasi dan menimbulkan keyakinan pada diri. Kami memasak sama-sama. Kami belajar sama-sama.

Masih teringat roti jala yang Nurul buat dengan sekadarnya. Maksud ibu, peralatan tidak mencukupi. Dengan bijak, Nurul mengoyakkan sedikit hujung plastik, dan mula mencorak roti jala tersebut. Ibu kagum. Dia isteri yang pandai memanipulasi keadaan dan keupayaan. Paling ibu kelakar bila dia mencuba mahu membuat karipap setelah karipap yang ibu beri tidak mencukupi, barangkali. Caranya salah. Dia menguli tepung dengan minyak dan marjerin sahaja. Tanpa air. Kami tergelak sama-sama di dapur. Serunding ikan selayang juga merupakan masakan yang kami gemari dan bertungkus-lumus memasaknya berdua. Kecoh juga dapur dibuatnya.

Itu dahulu.

Kini, hampir dua tahun kami tidak berjiran. Nurul berpindah. Tetapi masih di dalam Kuala Lumpur. Setelah setahun berjiran, rasanya seperti seumur hidup berkawan. Saling merindui, juga mengunjungi antara satu sama lain. Ibu sibuk bekerja. Jadi tak banyak masa dapat diluangkan dengan Nurul seperti dahulu. Dia masih begitu. Baik dan ikhlas.

Baru-baru ini, Nurul mendapat cahayamata baharu. Comel. Adrianna namanya. Penuh dengan kisah air mata mengenangkan saat Nurul mengandung. Jiran yang tidak baik. Sunyi. Anak-anak yang semakin membesar dan sebagainya menjadi topik perbualan kami tika berjumpa atau melalui telefon.

Satu rahmat apabila dia mendapat anak perempuan setelah doktor mengesahkannya semasa dalam kandungan bahawa bayi Nurul adalah lelaki. Subhanallah, yang memenuhi keinginan Nurul untuk mendapat anak perempuan. Tercapai dengan air mata yang bukan sedikit. Ibu tumpang gembira.

Semoga Nurul terus menjadi kawan ibu sampai bila-bila. Sampai mati.

Sunday, August 2, 2009

Sukan untuk menipu?





Sabtu lepas, tadika tempat Hakim belajar mengadakan acara sukan tahunan. Sangat teruja. Baik Hakim mahupun ibu. Siap rehearsal di rumah untuk lari laju-laju dan meraih kemenangan. Banyak kali ibu dan babah mengingatkan Hakim agar lari laju-laju sampai menang. Hakim mengangguk dengan semangat yang emmancar pada matanya.

Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap. Tiba di sekolah, masih ramai pelajar yang belum datang. Mungkin lewat. Tapi masing-masing sudah diberi memo bertulis tentang maklumat lengkap acara yang bermula pada pukul 9 pagi.

Budaya 'menunggu' yang tidak harus diajar kepada anak-anak kecil. Kita harus hormati janji dan tepati masa. Di sini, banyak masa terbuang. Ditambah lagi dengan seorang dua kanak-kanak yang meragam dan menangis tidak mahu turut serta. Puaslah ibunya memujuk. Situasi yang boleh mematikan mood kawan-kawan lain. Tapi itu semua sudah berlaku dan setiap apa yang berlaku bukan kehendak kita.

Banyak perkara yang ibu rasa tak berapa seronok melalui sukan ini.

1. Acara yang dipertandingkan tidak banyak untuk anak-anak juga ibu bapa [ibu bapa hanya satu acara]. Memandangkan ibu pernah mengambil gambar acara sukan tadika sekolah lain, makanya perbandingan mudah dilakukan.
2. Hakim masuk dua acara dan itu sangat tidak memuaskan hati dia. Kasihan Hakim yang asyik bertanya, 'bila Hakim kena lari lagi ibu?".
3. Cikgu melakukan taktik kotor untuk menang. Adakah ini contoh yang bagus? Kanak-kanak jadi terpinga melihat aksi cikgu yang menolong rumah pasukannya untuk menang. Dan kami ibu-bapa hanya melongo terkejut.
4. Acara yang kelam-kabut dan tidak begitu mengujakan.



Kami balik dengan penat yang amat. Hakim dikalungi dua medal dan sebuah beg kertas berisi cenderamata. Balik dari sukan, kami ke Pizza Hut untuk meraikan Hakim walaupun dia tidak begitu menikmati sukan pertamanya.