Thursday, January 31, 2013

Bual vs bebel

Saya kira saya perlu mula mencatat tentang sikap dan sifat Adli Hakim dan Iyad Irfan. Ini bagi memudahkan saya mengenalpasti tabiat mereka dan mula bertindakbalas seperti sewajarnya.

Adli Hakim suka berbual.
Iyad Irfan suka membebel [tapi, saya lebih suka melabel bebel sebagai bercerita].


ADLI

Setiap hari, ada sahaja pertanyaan dan bual-bual yang berlaku antara saya dengan Adli sehingga ada ketikanya saya rasa rimas dan pening. Pelbagai topik dan pertanyaan akan dilontarkan. Saya kira itu satu situasi yang amat baik kerana dia mahu berkongsi banyak perkara dan mahu mengetahui banyak hal melalui saya.

Cuma, yang saya kesali, saya bertindak tidak wajar dalam beberapa hal.

  1. Pertanyaan Adli yang saya kira terlalu remeh..[oh, saya tidak dapat berikan contoh kerana terlalu banyak. Saya akan kemaskini apabila saya ingat semula]. Malangnya saya jawab begini, "takkan itupun awak tak tahu? Boleh tak fikir dahulu sebelum bertanya?" - Okey, saya memang kejam.
  2. Adli suka berbual ketika makan, sedangkan waktu itu saya tekankan, waktu makan jangan banyak bercakap. Rupanya saya silap. Bercakap-cakap ketika makan digalakkan dalam Islam. Baca INI. Apatah lagi, yang selalu dibualkan oleh Adli ialah perkara yang bermanfaat seperti kisah nabi, alam sekitar dan banyak lagi [Saya kurang selesa bercakap ketika makan kerana ia menganggu konsertasi saya menikmati makanan]
  3. Terlalu banyak tanya sehingga saya fikir, sikap ini membuatkan dia tidak berusaha berfikir sebelum bertanya. 
  4. Bertanya sesuatu yang kerapkali ditanya dan diberi jawapan. Contohnya, "ibu, baju ini mahu letak di mana?" - Dan tentulah saya beri jawapan sinis - "letak dalam tong sampah!
Hal-hal sebegini banyak mempengaruhi hubungan kami. Dan sudah tentu ia berpunca daripada saya yang tidak peka. keadaan ini perlu diperbetulkan. Insya Allah.

p.s : lain kali saya cerita tentang Iyad yang suka bercerita.

Friday, January 25, 2013

Walker Tidak Baik Untuk Tumbesaran Bayi?

Baca :

http://www.babycenter.com.my/a1045628/haruskah-saya-beli-walker-bantu-berjalan-untuk-bayi-saya
http://pakarhowto.com/info-berguna/keburukan-baby-walker.html
http://www.parentsindonesia.com/article.php?type=article&cat=babies&id=279
http://bayikita.wordpress.com/2007/11/05/bolehkah-menggunakan-baby-walker/

Oh.

Sebenarnya bukan saya tidak tahu mengenai hal ini. Bayi tidak digalakkan menggunakan walker. Malah di beberapa negara walker diharamkan. Ia bukan sahaja berkaitan dengan keselamatan semata. Tetapi juga proses tumbesaran bayi yang sepatutnya melalui proses yang wajar.

Baik. Mari tarik nafas dan berfikir semula. Apa yang perlu kita lakukan agar hal ini tidak menjadi satu hal yang menyebabkan pelbagai alasan digunakan untuk meletakkan bayi dalam walker. Juga memikirkan cara terbaik untuk menangani anak yang mula aktif merangkak-duduk- berdiri.

 Beli walker yang simple kerana mahu meletakkan Umar sebentar sahaja. Bukan sebagai 'kaki kedua' Umar.

Saya tidak merangka-rangka alasan untuk meletakkan Umar di dalam walker. Ya, pada mulanya saya fikir, jika dia berada dalam walker, tumpuan saya kepada kerja lebih baik. Memasak dan menyidai pakaian di luar rumah misalnya. Berbanding dengan tanpa walker, saya sentiasa terkejar-kejar melihat Umar yang kadang sudah berdiri di sofa dan kemudian jatuh tergolek. Juga Umar yang merangkak sudah sampai kepada kipas yang kemudian dicapai dengan jemarinya. Apatah lagi tabiat mengutip mainan dan sampah [barangkali] dan terus dimasukkan ke dalam mulut. Bahaya kan?

Saya beli walker akhirnya walaupun saya tahu keburukannya. Tetapi, saya tidak menafikan kebaikannya sama banyak dengan keburukannya. Baik..kita sudah bercakap soal keselamatan iaitu kecederaan dan kemalangan yang mungkin boleh timbul dari penggunaan walker. Dan pendirian saya sudah saya nyatakan di perenggan atas iaitu tanpa walker anak masih dalam keadaan bahaya.

Berkenaan dengan tumbesaran yang mungkin terganggu akibat penggunaan walker, ya...itu saya tidak arif untuk membicarakannya.

Namun, bagi ibu-ibu yang benar-benar merasakan tidak ada salahnya menggunakan walker, saya mahu kongsikan pendapat saya.

Saya berpendapat, ya tidak salah menggunakan walker. Apa yang perlu kita lakukan ialah tumpuan terhadap anak harus sama banyak seperti sebelum menggunakan walker. Jika tanpa walker, kita sentiasa tertinjau-tinjau anak yang dibiarkan meniarap dan merangkak, begitu juga dengan walker. Kita masih perlu beri tumpuan sewajarnya kepada anak. Selain walker, meletakkan anak di dalam playpen juga mengundang risiko yang sama dari segi kemalangan atau tumbesaran terbantut.

Jadi, untuk menggunakan walker, ibu-ibu masih perlu beri perhatian yang banyak. Ketika memasak, letakkan anak dalam walker dan tempatkan walker itu (lock) di tempat yang boleh kita lihat. Beri mainan atau buku kain (cloth book), untuk melekakan anak. Juga sentiasa bercakap-cakap dan bergurau dengan mereka walaupun kita sibuk dengan tugasan. Dan untuk hal tumbesaran terbantut, saya fikir ia tidak akan berlaku jika kita menggunakan walker dengan kadar sebentar. Iaitu anak tidak dibiarkan dalam walker untuk tempoh yang lama.

Seakhirnya, saya percaya, walker, playpen, buai dan sebagainya yang dicipta khas untuk memudahkan ibu, harus digunakan sebaiknya tanpa menidakkan fungsi kita sebagai ibu yang perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak. Alat tetap alat. Gunakan sahaja. Paling penting, ibu harus peka dengan setiap pergerakan anak walaupun mereka berada di dalam 'peralatan' mereka.

Perhatian dan kasih sayang, mampu mengelakkan segala bencana. Jika kita bijak gunakan masa yang ada untuk menyentuh, memimpin dan membelai anak, Allah pasti tunjukkan jalan.

Insya Allah.

Monday, January 21, 2013

Sudah Boleh Makan?

Nestum beras merah.

Ini nestum tin kedua. Pertama nestum gandum plus madu. Pilih nestum beras merah pula. Lagipun, senang, tak perlu tambah susu. Semua ada dalam satu tin. Harganya mahal sedikit daripada nestum biasa. Umar suka beras merah ni. Cuma cara beri makan, melalui botol dan buat cair sedikit. Cubaan kali pertama guna sudu dan bancul likat, dia tak mahu. Comot dan banyak songeh. :P

Sebenarnya ada juga cuba buat bubur nasi campur sayur. Kisar dan masukkan dalam botol. Tetapi, Umar makan sedikit sahaja. Barangkali kurang sedap. Kurang manis seperti nestum yang bercampur susu. Ada cara/ menu bubur yang sedap yang mahu dikongsikan dengan saya, saya suka mendengarnya.



Listen..listen..listen

Barangkali itulah yang ingin Umar perkatakan kepada abangnya. Berulang kali dia mahu memegang buku yang abangnya baca. Abangnya mengelak dan beralih tempat. Umar kejar...dan mungkin agak geram setelah dia menyebut aaa...aaa..aaa [listen..listen..listen], maka rambut abangnya ditarik dengan kuat.

Kasihan abang....





Akhirnya mengalah apabila abangnya buat tak tahu.
 
Sekian, inilah tindakan saya apabila orang tidak mahu 'listen'. Kata Umar.

Ha ha ha

Friday, January 18, 2013

Taska VS Pengasuh Vs Pembantu Rumah VS Jagaan ahli keluarga

Taska.
Pengasuh.
Pembantu Rumah.
Jagaan Ahli keluarga.

Taska seperti umumnya mengumpulkan kanak-kanak sedari usia 3 bulan sehingga ke usia 12 tahun [maksima umur, barangkali]. Di dalam sebuah tempat/rumah yang ditetapkan syaratnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Boleh rujuk SINI .

Umar dan anak pengasuh, Naufal. Kata pengasuh Umar, dia tidak mahu menjaga anak orang lain kerana mahu menumpukan kasih kepada anaknya dan Umar sahaja. Sweet kan?


Pengasuh, biasanya merujuk kepada orang yang menjaga kanak-kanak sama ada di taska atau secara perseorangan di rumah [suri rumah yang berhasrat mahu menjaga seorang kanak-kanak atau sekurang-kurangnya empat orang kanak-kanak di bawah 4 tahun - yang masih perlu memiliki sijil yang berkelayakan]

Pembantu Rumah yang dibayar gaji setiap bulan untuk membantu kerja-kerja rumah dan sekaligus menjaga anak-anak majikan secara keseluruhan [walaupun baru-baru ini timbul kekecohan bahawa pembantu rumah terutama yang didatangkan dari luar negara tidak wajar dibebankan dengan pelbagai tugas sedangkan gaji yang dibayar khas untuk membuat kerja-kerja rumah sahaja - bukan termasuk menjaga anak-anak majikan).

Jagaan ahli keluarga biasanya ditafsir sebagai meminta bantuan ahli keluarga [mungkin dengan bayaran tertentu], untuk menjaga anak-anak kita. Biasanya khidmat adik beradik yang tidak bekerja atau ibu bapa yang masih sihat dan bersungguh mahu menjaga anak-anak kita. Ada juga ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anaknya ke kampung dengan alasan kos penjagaan kanak-kanak di KL sangat tinggi. Saya kurang setuju dengan cara ini, namun setiap orang ada hak tersendiri untuk berbuat demikian.

Keempat-empat pilihan di atas memerlukan penelitian menyeluruh. Pertamanya, sudah tentu aspek kewangan. Kedua, jarak atau tempoh masa diambil untuk hantar dan ambil anak-anak. Ketiga, keselamatan dan keselesaan. Keempat, keistimewaan atau kelebihan pilihan yang dibuat.

Dalam aspek ini, kami sendiri mengalami masalah yang tidak kurang hebatnya. Sebelum ini, Adli dan Iyad dihantar ke taska yang berdekatan dengan rumah. Soal bayaran tidak begitu menjadi hal kerana setiap taska menawarkan bayaran yang lebih kurang sama. Mahu tidak mahu sejumlah itulah yang ibu bapa perlu sediakan untuk penjagaan anak-anak mereka masa kini.

Meneliti kembali taska yang kami pilih, sudah pasti kami perlukan taska yang tidak terlalu sendat, yang bilangan pengasuhnya setara dengan bilangan kanak-kanak yang dijaga, taska yang bersih dan cantik, kemudahan transit untuk anak-anak bersekolah sekali dengan kemudahan pengangkutan dari taska ke sekolah serta kemesraan pemilik taska itu sendiri.

Namun, tidak semua taska berdiri dengan kesempurnaan. Seperti taska lama Adli dan Iyad yang sangat menggusarkan hati. Lihat sahaja ke dalam taska, dengan bayi berusia setahun ke bawah bergelimpang di lantai menangis-nangis dan kanak-kanak yang lebih besar usianya berlari ke sana kemari, pengasuh yang tidak cukup dan sebagainya...membuatkan kami bimbang. Bimbang keselesaan Adli dan Iyad dan juga yang terutama Umar yang masih kecil.

Puas saya bertanya kepada kawan-kawan rapat tentang pengasuh yang boleh menjaga Umar. Alhamdulillah, akhirnya seorang jiran yang baik hati, [yang juga baru melahirkan anak keempatnya] menawarkan kesudian menjaga Umar yang dikatanya, 'terlalu baik, senyap sahaja dan jatuh cinta kali pertama ketika memandang Umar. Malah, beliau yang mempunyai sijil penjagaan kanak-kanak dan bercita-cita mahu buka taska, menawarkan juga penjagaan [transit] Adli dan Iyad. Alhamdulillah....syukur yang banyak atas kemudahan yang Allah sediakan buat kami.

Kepada ibu bapa yang masih dalam dilema dan kesukaran mendapatkan pilihan terbaik, berdoalah banyak-banyak tanpa henti agar ditemui pilihan terbaik untuk menjaga anak-anak. Sehingga tiada pilihan dan membuatkan ibu atau bapa terpaksa berkorban dengan berhenti kerja, percayalah, itu juga adalah ketentuan Allah. Ada rahmat disebalik semua itu. Dan jika masih kurang yakin dengan pilihan yang dibuat, misalnya menghantar anak ke taska yang tidak diyakini keselesaannya, maka berdoa jugalah pada Allah. Serahkan anak-anak kita di bawah jagaan Allah. 

Dan kini, saya masih bersyukur apabila mengingatkan rezeki kami mendapat pengasuh yang baik, yang menjaga anak-anak kami tanpa berkira.

Semoga beliau terus kekal di rumah itu [Beliau menyewa rumah itu], untuk menjaga anak-anak kami. Tetapi, jika beliau berpindah [di kawasan yang sama], kami akan tetap meminta beliau menjaga anak-anak kami.

Terima kasih, Allah.

Thursday, January 17, 2013

2013

Ini adalah tahun penentu. Kata saya kepada diri sendiri. Terlalu banyak tahun terkebelakang hidup terumbang-ambing. Sudah tentu saya tidak mahu membuang masa lagi apatah lagi tahun-tahun terkebelakang mengundang banyak kerugian. Ya, RUGI. Namun, setiap sesuatu punya hikmah tersendiri.

Keluarga. Itu yang saya pentingkan sekarang. Pedulikan kisah silam. Pedulikan orang-orang yang sering memandang negatif dan bersikap menjaga tepi kain orang. Saya hanya mahu cari benda-benda positif dan memilih kawan-kawan yang baik untuk meneruskan kehidupan. Selebihnya, serahkan kepada Allah.

Untuk permulaan tahun 2013, ia berjalan seperti yang dirancang. Adli Hakim sudah memasuki tahun ketiga di sekolah. Menampakkan kematangan dan banyak perkara mampu diuruskan sendiri seperti buku-buku sekolah, membahagikan masa belajar dan bermain serta mula aktif terlibat dengan sukan terutama permainan bola sepak di taman perumahan kami.

Iyad Irfan, walaupun baru tahun pertama bersekolah, pengalaman bersekolah tadika di beberapa tempat, membuatkan dia tidak takut malah bersemangat ke sekolah. Setiap hari ada sahaja cerita yang dibawa dari sekolah. Saya pula, perlu menjadi seorang pendengar yang baik. [Teringat pula isu Listen..listen..listen...yang sedang hangat masa kini...hihihi]

Umar pula. Oh, sungguh bahagia memiliki Umar. Alhamdulillah, untuk Umar juga segalanya berjalan dengan lancar. Penjagaan Umar tidak sesukar mana apatah lagi kami mendapat seorang pengasuh yang baik hati...[yang tidak mahu menjaga budak lain semata-mata mahu menumpukan kepada Umar seorang]. Malah pengasuh ini juga turut menjaga Adli dan Iyad. Menguruskan mereka untuk ke sekolah.

Saya bersyukur yang banyak atas 'rezeki' yang diberi. Pengasuh yang baik dan tidak berkira yang memudahkan segala urusan saya. Kerja yang tersusun dan dimudahkan serta kesihatan yang baik. Hikmahnya meninggalkan hal-hal yang memudaratkan iman. Syukur....

Untuk diri sendiri, saya berharap, Allah masih mengurniakan umur yang panjang untuk saya tinggalkan sesuatu di dunia ini. Alhamdulillah untuk novel pertama yang sudah siap dan menunggu respon dari penerbit. Doakan semuanya berjalan lancar.

Untuk akan datang, terlalu banyak perkara yang ingin saya lakukan. Doa saya agar saya terus sihat untuk menjadi pendamping anak-anak saya serta mampu membina keluarga yang bahagia. saya juga berdoa agar dilindungi dari dengki khianat manusia dan sentiasa dalam lindungan dan redha Allah untuk segala sesuatu.
Amin....

Cat?

Oh, bagus.

Belum sebulan bersekolah, baju Iyad sudah bertampuk dengan cat berwarna coklat.

Sebelum ini bajunya dipenuhi air milo. Puaslah rendam dengan air panas campur klorok. Rendam lagi dua hari. Akhirnya hilang.

Kali ini, terus buang kot.

Sakitnya jiwa memikirkan sekolah yang mengecat pintu kelas sewaktu sesi persekolahan. Kenapa tidak cat ketika cuti sekolah?

Umar, Umar, Umar

Begitulah. Banyak cerita tentang Umar yang selalu ibu kongsikan di FB ibu. Mungkin kerana  sudah lama ibu tidak pegang / jaga bayi maka segalanya seperti baru pertama kali.

Banyak perkara sudah terlupakan. Jadi untuk Umar, ibu berazam untuk merakam setiap apa yang berlaku. Kalaupun bukan untuk menjadi pengajaran kepada ibu, mungkin juga boleh menjadi satu biografi awal untuk Umar.

Mungkin ibu-ibu lain juga perlu berbuat perkara yang sama untuk menjadi panduan mendidik anak-anak atau berhadapan dengan situasi yang pelbagai kelak.

Banyak perkara yang boleh dikongsikan oleh para ibu seperti penyusuan, penjagaan, pemilihan produk, pakaian, susu dan sebagainya. Di FB sahaja, bukan main banyak Page dan Group tentang ibu-ibu dan anak-anak kecil. Bagus kan?

Ya, bagus kerana boleh menjadi panduan segera kepada ibu masa kini di zaman teknologi. Cumanya, banyak perkara perlu juga ditapis sesuai dengan budaya dan kehendak masing-masing. Sekadar baca, apa salahnya?

Friday, January 11, 2013

Iyad Irfan dan Hari Pertama Sekolah

Alhamdulillah, Iyad sudah mula bersekolah darjah satu tahun ini. Persiapan sama seperti abangnya, Adli Hakim. Dan kami yang sudah punya pengalaman sebelum ini, tidak banyak kalut dengan persekolahan Iyad. Sudah tentulah fiil Iyad berbeza dengan abangnya kerana mereka sememangnya manusia yang berbeza dan kami meraikan perbezaan itu.

Iyad sungguh bersemangat. Dan kami perasan, hanya dia yang memakai songkok pada hari itu. :)

Ujian linus berjalan dengan baik dan sehingga akhir, Iyad tidak menunjukkan rasa penat atau letih. Petangnya pula pendaftaran sekolah agama di tempat yang sama dengan abangnya.

Semoga Iyad terus bersemangat sehingga bila-bila.







Setahun Berlalu

Lebih setahun tidak mencatit apa-apa di blog ini. Banyak cerita tertinggal. Banyak juga cerita yang ingin ditanam.

Setahun, menjanjikan kedewasaan mereka, kelahiran baru dan semangat yang bukan sedikit untuk meneruskan hidup selagi nyawa masih dipinjamkan.

Dan inilah kehidupan. Setiap dari kita berbeza. Malah setiap dari kita punya cara dan kisah tersendiri. Kamu siapa, dan saya siapa. Barangkali kita pernah kenal. barangkali juga kita akan terpisah dan seolah saling tidak mengenal.

Saya cuma mahu isi hidup dengan cara saya. Jika ada yang tidak suka, itu bukan urusan saya.

Dan saya hidup untuk mereka.

Selamat datang saya yang terkini dan mereka tetap di hati.





Selamat datang Umar. Kami sayang kamu!