Thursday, January 17, 2013

2013

Ini adalah tahun penentu. Kata saya kepada diri sendiri. Terlalu banyak tahun terkebelakang hidup terumbang-ambing. Sudah tentu saya tidak mahu membuang masa lagi apatah lagi tahun-tahun terkebelakang mengundang banyak kerugian. Ya, RUGI. Namun, setiap sesuatu punya hikmah tersendiri.

Keluarga. Itu yang saya pentingkan sekarang. Pedulikan kisah silam. Pedulikan orang-orang yang sering memandang negatif dan bersikap menjaga tepi kain orang. Saya hanya mahu cari benda-benda positif dan memilih kawan-kawan yang baik untuk meneruskan kehidupan. Selebihnya, serahkan kepada Allah.

Untuk permulaan tahun 2013, ia berjalan seperti yang dirancang. Adli Hakim sudah memasuki tahun ketiga di sekolah. Menampakkan kematangan dan banyak perkara mampu diuruskan sendiri seperti buku-buku sekolah, membahagikan masa belajar dan bermain serta mula aktif terlibat dengan sukan terutama permainan bola sepak di taman perumahan kami.

Iyad Irfan, walaupun baru tahun pertama bersekolah, pengalaman bersekolah tadika di beberapa tempat, membuatkan dia tidak takut malah bersemangat ke sekolah. Setiap hari ada sahaja cerita yang dibawa dari sekolah. Saya pula, perlu menjadi seorang pendengar yang baik. [Teringat pula isu Listen..listen..listen...yang sedang hangat masa kini...hihihi]

Umar pula. Oh, sungguh bahagia memiliki Umar. Alhamdulillah, untuk Umar juga segalanya berjalan dengan lancar. Penjagaan Umar tidak sesukar mana apatah lagi kami mendapat seorang pengasuh yang baik hati...[yang tidak mahu menjaga budak lain semata-mata mahu menumpukan kepada Umar seorang]. Malah pengasuh ini juga turut menjaga Adli dan Iyad. Menguruskan mereka untuk ke sekolah.

Saya bersyukur yang banyak atas 'rezeki' yang diberi. Pengasuh yang baik dan tidak berkira yang memudahkan segala urusan saya. Kerja yang tersusun dan dimudahkan serta kesihatan yang baik. Hikmahnya meninggalkan hal-hal yang memudaratkan iman. Syukur....

Untuk diri sendiri, saya berharap, Allah masih mengurniakan umur yang panjang untuk saya tinggalkan sesuatu di dunia ini. Alhamdulillah untuk novel pertama yang sudah siap dan menunggu respon dari penerbit. Doakan semuanya berjalan lancar.

Untuk akan datang, terlalu banyak perkara yang ingin saya lakukan. Doa saya agar saya terus sihat untuk menjadi pendamping anak-anak saya serta mampu membina keluarga yang bahagia. saya juga berdoa agar dilindungi dari dengki khianat manusia dan sentiasa dalam lindungan dan redha Allah untuk segala sesuatu.
Amin....

No comments:

Post a Comment