Thursday, March 4, 2010

Persediaan






Rumah kami sudah boleh dihuni. Namun, perlu penyelenggaraan sepenuhnya. Pasang kipas, pasang lampu, kabinet. Ubahsuai mana yang perlu dan banyak lagi.

Aktiviti kami akhir-akhir ini pasti menyinggah ke kedai perabot. Melihat lampu, kipas, sofa, katil dan macam-macam lagi. Maka, kami berangan dan berimpian untuk memilih yang itu, menggunakan warna yang begini, mahu menghias begitu dan begini.

Dalam fikiran saya cuma mahu rumah kecil kami nanti cukup selesa buat kami melayari kehidupan. Dan Hakim serta Irfan mampu kami didik dalam suasana yang baik.

Selamat datang Saujana Utama.
Selamat tinggal Damansara Damai.

Tuesday, February 2, 2010

Masa Untuk Dia.


Hakim semasa berusia tidak sampai setahun



Hakim dan buku. Dia suka membaca.

I


Dahulu, saya pernah menerima emel dari seorang rakan. Rasanya emel tersebut ramai yang sudah menerimanya. Tentang seorang anak yang mahu meminjam wang bapanya untuk membeli masa bapanya yang teramat sibuk dengan tugas harian. Semasa membaca emel itu kali pertama, saya menggelengkan kepala. Betapa saya tersentuh dengan kisah tersebut dan mula berazam untuk membanyakkan masa bersama anak-anak.

Rupanya, ia hanya kisah yang saya baca di emel. Rupanya, ia hanya kisah yang saya baca setakat itu sahaja tanpa benar-benar menginsafi tentang kisahnya.

Kisah itu, juga terjadi pada saya. Pada anak yang mula membesar yang saya nafikan haknya untuk merasai masa-masa bersama saya dengan alasan terlalu sibuk dan banyak kerja lain yang perlu dilunasi selain bersama anak-anak.

II

"Ibu, sini kejap ibu," kata Hakim sambil menarik tangan saya.

"Apa dia? Cakap sahajalah. Ibu banyak kerja ni," jawab saya dengan muka yang mencuka dan dengan terpaksa saya tinggalkan meja kerja.

"Ibu, tolong ajarkan ini. Sekejap sahaja. Tidak lama," kata Hakim sambil menyuakan buku latihannya.

Dia mengulang-ulang sebut perkataan 'tidak lama' dan 'sekejap sahaja' kepada saya.

Dan pengulangan tersebut betul-betul buat hati saya pedih.

Betapa saya sedang menidakkan masa untuk memberi perhatian buat anak-anak.

Maafkan ibu, Hakim.

Maaf.

Maaf.

Selamat Ulang tahun Kelahiran Iris


Atuk dan wan, "ambil gambar banyak bukan main. Satu gambar pun tak cuci!" hihihihi...



Selamat Ulang tahun kelahiran Iris dan Mat Teh Nocah



Demam. Tapi tetap ligat.


Hakim dan makanan [nasi impit dan kuah kacang, kek dua ketul, satey]


Lepak kat tempat orang bakar satey. Aduilaaaa...anak siapa la ni.


Ahad lepas, kami ke rumah baharu sepupu babah, Abang Aidy, anak Mat Teh Nocah. Ada majlis ulang tahun kelahiran Iris dan juga kenduri masuk rumah baharu mereka di Puchong. Sekembalinya ibu dari Seremban, kami terus ke sana. Iyad masih demam.

Sampai di sana, ada atuk dan wan. Juga saudara-mara yang lain. Iyad masih demam dan asyik ke bilik air. Kasihan ibu melihatnya. Makan juga tidak lalu. Hakim pula, makan tak ingat dunia. Mungkin lapar sangat. Sehingga sanggup makan satey di tempat orang yang membakar satey. Hihihi...

Selamat ulang tahun kelahiran IRIS yang comel. Nanti jangan lupa datang rumah kami, jika kami berpindah ke rumah baharu kelak.

Friday, January 29, 2010

Botak Lagi.



Mula bersekolah. Harus mandi awal dan bersiap segera. Penyelesaiannya, botakkan kepala.

Tidak suka menyisir rambut dan melumur minyak di kepala. Penyelesaiannya, botakkan kepala.

Bimbang dijangkiti virus dan kelemumur dari rakan yang lain. Penyelesaiannya, botakkan kepala.

Hehehhe...

[jimat masa ibu. Apatah lagi tidak perlu digayakan ala-ala ultraman trojan dengan rambut yang panjang itu]

Anak-anak ibu sangat kacak dan bergaya.

Wednesday, January 27, 2010

Selalu Ada



Ibu dan babah selalu ada untuk kamu.




Kamu selalu ada untuk ibu dan babah.

Tuesday, January 19, 2010

Iyad dan Sekolah




Tahun ini Iyad berusia 4 tahun. Sudah masuk taska.

Cerita satu :

"Iyad mahu sekolah ke?" tanya ibu.
"Ya, nak," jawab dia.
"Cuba sebut kuning, ku-ning," kata saya.
"Tuning," jawab Iyad.
"Pokok," kata ibu.
Iyad jawab, "kokok."

Hahhaha...pelat dan gagapnya masih ada. Sabar ye cikgu melayan anak ibu.

Cerita dua :

"Iyad ok ke cikgu?" tanya saya kepada cikgu.
"Dia ok. Cuma bila cikgu marah budak lain, tiba-tiba Iyad pula yang menangis," kata cikgu.

Hahhaha...manja. Gedik.

Cerita tiga :

"Iyad belajar apa di sekolah?" tanya ibu.
"Abc..." jawab Iyad.

Setiap hari soalan yang sama dan jawapan yang sama. haihhh...

Monday, January 18, 2010

Geledah Taman


Irfan berlari sambil menggayakan dirinya seperti burung, manakala Hakim sedang mengira blok bata tempat pejalan kaki. Layankan sahaja.



Makan aiskrim



"Ibu nak?" tanya Hakim. Sambungnya lagi, "eh, ibu tak boleh makan sejuk, ibu demam." - ye la tu, pandai.



Hai ibu...hai babah



Naik helikopter besi


Sabtu lalu, babah kerja. Sebetulnya ada projek menghijaukan bumi syarikat tempat babah bekerja. Ibu juga ada kerja. Ada program yang betul-betul rugi jika dilepaskan. Namun, ibu memikirkan hal Hakim dan Irfan yang kurang aktiviti rekreasinya. Babah kata, jika anak-anak sudah besar sedikit, bolehlah di bawa sekali, kerana tempat yang babah mahu pergi itu merupakan kawasan hutan.

Jadinya, Sabtu lalu ibu bawa Hakim dan Irfan ke Taman tasik Perdana. Konon mahu membuat 'outdoor shooting'. Tapi cuaca panas sangat. Kulit muka Irfan sudah 'terbakar'. Begitu juga Hakim. Namun, mereka tidak menunjukkan rasa mahu balik. Ibu sudah belengas. Layankan sahaja mereka lari ke sana sini.

"Seronok tak naik syatel?" tanya ibu kepada Hakim.
"Seronok sangat," jawab mereka berdua.

Kami menaiki syatel yang disediakan di taman tersebut. RM0.50 untuk dewasa sekali naik. Manakala untuk kanak-kanak hanya RM0.20.

Kami mengelilingi Taman Atsik Perdana sehingga keluar melalui Muzium Kesenian Islam, Masjid Negara dan melalui lebih kurang 200 meter laluan besar. Agak bahaya bagi anak-anak ibu yang berdiri di atas kerusi.

Balik dari taman, mereka tertidur di dalam kereta. Hujan di pertengahan jalan lebih melenakan mereka.

"Hello, babah di mana?"
"Ada di dalam kereta, belum naik rumah lagi sebab tertidur dalam kereta," jawab babah yang juga sudah tiba di rumah.

Like father like sons kan?

More pictures at FLICKR

Friday, January 15, 2010

Mengunjungi Rumah Baharu


Belakang rumah yang saya cadang mahu tanam serai dan beberapa tumbuhan herba, kata jejaka saya, dia mahu sambung bahagian dapur terus ke belakang. Uwaaa...



Bahagian atas [tengah-tengah rumah], katanya mahu ditutup kerana ingin dijadikan 'family hall' dan agak bahaya buat anak-anak. Lihat, Irfan memanjat dalam keadaan yang bahaya.



Pandangan dari balkoni bilik utama.



Rumah kecil kami!

Minggu lepas, kami mengunjungi rumah baharu kami. Teruja bila melihat dari jauh rumah ini sudah tegak berdiri. Hujan. Tapi, jejaka kecil saya, Hakim dan Irfan tak sabar mahu masuk. Sampai dalam semua sudut diteroka. Sambil membebel, "ini bilik abang Hakim, ini bilik Iyad [dia dah minta dipanggil Iyad kerana di sekolah cikgunya memanggil dia Iyad - kes ramai nama Irfan]."

"Iyad tak mahu tidur dengan ibu." Kata Irfan.
"Hakim pun tak mahu tidur dengan ibu. Kita tidur sama-sama nak Iyad?" kata Hakim.

Saya senyum sambil memandang bapa mereka.

Nampak sangat mereka sudah besar. Dan adakah mereka tidak perlukan saya lagi?

Wednesday, December 2, 2009

Mengapa Jadi Begini?





Ini hal yang berlaku bulan lepas.

Pada 22 November yang lalu, sekolah Hakim mengadakan konsert dan penyampaian hadiah buat pelajar-pelajar tahun 6. Saya sangat teruja sehingga sanggup mengenepikan hal tugasan hari itu. Bergegas balik awal semata-mata mahu menyaksikan Hakim buat persembahan 'Chicken Dance' di sekolahnya.

Sampai di sana, Hakim ditukarkan baju kepada baju badut. Waktu itu saya tertanya-tanya juga apa kaitan antara badut dengan chicken dance. Hakim juga teruja, melompat sana sini dengan gaya tersendiri. Pertama kali mahu buat persembahan.

Tiba-tiba, dia terlihat kawannya di solekkan dengan wajah badut. Saya terlupa bahawa Hakim dan Iyad Irfan memang takutkan badut. Dia mula merengek. Tidak mahu disolek begitu malah tida mahu buat persembahan. Saya hampir hilang sabar. Menjadi marah dan bengang. Dengan Hakim juga cikgunya. Malahan, kawan-kawannya yang telah disolek juga tidak menunjukkan wajah yang gembira kerana menjadi bahan ejekan kawan-kawannya.

Pertamanya, mengapa perlu disolek begitu rupa? Tidak comel malah menakutkan.
Keduanya, mengapa perlu berpakaian dan bersolek ala badut sedangkan kanak-kanak ini mahu buat persembahan chicken dance? Apa kaitan chicken dance dengan pakaian badut? Adakah cikgu sudah ketandusan idea dalam bab pakaian untuk persembahan?

Hakim memang betul-betul tidak buat persembahan. Dan ini mengecewakan saya sangat-sangat.

Marah dengan keadaan ini.

Tuesday, November 10, 2009

Bual



Pagi tadi, semasa mandi pintu bilik ir diketuk perlahan.

"Ibu, ini Hakim." suara dari luar saya dengari dengan jelas.
"Ya, ada apa," jawab saya.

"Ibu, nanti belikan Hakim cerita Ben10. Hakim mahu bawa ke sekolah," kata dia.

"Ok," jawab saya. Tidak selesa berbual dengan keadaan begitu.

"Ibu, kenapa Daniel cakap &*&^%. Tak baikkan ibu?" tanya dia lagi.
"Ya, tak baik sayang. Hakim jangan begitu. Nanti Tuhan marah," jawab saya pula.

Dan kami berbual sehingga saya sudah mandi.

Sebenarnya, saya teringat kepada pesan seorang pensyarah bahasa saya. Katanya, tugas ibu bapa memperkaya memori anak-anak dengan kosa kata yang penuh, baik dan banyak.

Jadi, saya akan berbual dengan Hakim juga Irfan. Di mana-mana juga. Banyak-banyak. Baik-baik, penuh-penuh dan hemat-hemat.