Wednesday, May 29, 2013

Kuda, Saya Rindu Kamu!

Sudah dua kali pagi saya berasa pelik. Kuda saya tiada di tempat yang selalu saya lihat. Saya tidak tahu bagaimana caranya saya mahu beritahu ibu.

Oh, lupa, ibu juga sedang merajuk kerana malam tadi saya sebut BABAH dan bukan ibu. Hihihi...maaf ibu, sudah takdirnya begitu pemerolehan lisan saya.

Oh kuda, di manakah dikau? Saya rindu mahu menunggang kamu seperti dulu. Cepatlah pulang, kuda. Saya sunyi sepagi-pagi saya membuka mata dan kamu tiada.

Kuda, tidakkah kamu merindui saya. Kamu tentu tidur sampai tengah hari di sana kerana lazimnya setiap pagi sayalah yang akan mengejutkan kamu. Saya panggil kamu, tepuk-tepuk pipi kamu, tarik rambut kamu dan akhirnya naik ke atas badan kamu.

Kamu tidak pernah marah malah selalu melayan segala karenah saya.

Saya rindu kamu, kuda.

*Kasihan Umar, sepagi-pagi bangun dari tidur terus cari abang-abangnya yang sedang bercuti di kampung. Gambar menunjukkan aktiviti Umar setiap pagi jika abangnya ada.

 


Babah!

Babah!

Itulah perkataan pertama Umar malam tadi. Ya. Dia sebut BABAH. Bukan ibu...bukan mama...tetapi babah.

Kecil hati saya.

Huh!

Malam ini minta susu dengan babah okey.

Mode : merajuk.

Monday, May 27, 2013

Umar Alone!



Jam 10 pagi, Adli dan Iyad sudah meninggalkan rumah untuk bercuti di kampung. Ibu rasa sedih sebab babah menyarankan ibu tak perlu ikut memandangkan hari Ahad, jalan pasti sesak apabila mahu pulang ke KL kelak. Ibu terdiam sebentar. Juga mengenangkan kereta yang berada dalam keadaan kurang sihat, ibu akur akhirnya.

"Ambil anak-anak dari kampung nanti, barulah ikut." Kata babah.

Ok. Jawab ibu dalam hati. Maka, tinggalkan ibu dan Umar di rumah.

Semasa mereka meninggalkan rumah, ibu duduk di bilik dengan Umar. Tidak mahu menghantar ke kereta kerana sedih. Ya, cuma dua minggu mereka akan bercuti, namun, ibu tetap sedih.

Intermission.

Ibu memerhati sekitar rumah. Banyak benda mahu dilakukan hari ini - mengemas, mencuci, menjemur, melipat, menyapu, mengemop, memasak bubur umar, kemas almari atas dan banyak lagilah. Normal kan kalau cuti, semua perkara kita mahu selesaikan dengan harapan minggu bekerja akan berjalan lancar.

Bermula ibu ke dapur untuk mengemas dapur, Umar sudah mula bising seolah-olah memanggil abang-abangnya ajak bermain. "Ahhh..ahhhhh" jeritnya pendek-pendek dan sesekali panjang-panjang.

Kemudian dia senyap.

Ibu rasa tak sedap hati. Televisyen terbuka. Umar tiada di depan televisyen. Ibu berlari anak ke ke bahagian tangga kerana di situlah antara tempat kegemaran Umar untuk bereksperimentasi dengan skil memanjat tangganya.

Nyata, Umar sudah di pertengahan pendakian. Ibu meluru mendapatkan Umar. Aduhai, nak pecah jantung.

Letak di ruang tamu kembali, dia terus menangis membalikkan tubuhnya. Terpaksa berhenti melakukan kerja-kerja rumah dan duduk bersamanya.

Kemudian, ibu masukkan dia dalam 'play pen'. Dia menjerit tak mahu. menghadap tingkap, memukul-mukul langsir dan gril dan kemudian mahu melompat turun. Sekali lagi ibu turunkan dia dan letak elok-elok di hadapan televisyen.

Baru sahaja mahu bangun menyudahkan kerja rumah, dia memanggil-manggil abangnya dan meluru ke tingkap berdekatan sofa, tempat dia selalu ber 'cak-cak' dengan Iyad. Ibu akur. Dudukkan dia di sofa menghadap ke luar tingkap. Di situ dia termenung, menjerit, merenung luar, mencari-cari suara yang muncul dari kanak-kanak lain. agak lama di situ. Ibupun dah tiada mood buat kerja lain selain mengambil keputusan untuk melayani Umar sehingga dia mengantuk dan penat.

Namun....

Namun..

Kenapa Umar tidak mengantuk dan tidak penat???

***

Ibu sudah sangat penat. Bersiap, bawa Umar keluar. Pergi KFC, beli lunch untuk ibu, beli bubur untuk Umar. Itupun dengan mengendong Umar kerana dia tak mahu ditinggalkan walaupun parking kereta betul-betul depan pak cik yang jual bubur.

Aduhai...

Dan ibu tak sabar mahu menempuh Isnin. Supaya Umar dapat dihantar ke taska dan berkawan-kawan di sana.

Pagi ini, lihat sahaja dia. Setelah diserah kepada pengasuh taska, terus memandang ke dalam rumah mencari kawan.

Nampak sangat ibu tak boleh nak hiburkan dia di rumah.

Wekkk...

Tuesday, May 14, 2013

Umar, 1.2.3 dan Tatih


Bermula dengan kiraan 1, 2, 3 sehingga paling lama lebih kurang 25 saat, Umar sudah mula pandai menyeimbangkan badannya, berdiri dan menoleh kiri dan kanan.

Dan kemudian, melalui kiraan juga, Umar sudah mula melangkah. Setapak, dua tapak dan tiga tapak. Kemudian jatuh terduduk. Sambil senyum dan mengharap reaksi bangga dari sekeliling, Umar bangun lagi...dan lagi.

11 bulan. Dan ini pencapaian yang agak baik bagi saya. Ia menggamit rasa yang sangat indah melihat Umar berdiri dan kemudian melangkah. Setiap langkah adalah kedewasaannya dan ketuaan saya :)

Selepas ini apa?

Apapun, semoga Umar terus membesar dengan baik, sihat dan penuh hikmah.

Monday, May 13, 2013

Pesta Buku!

"Tahun ini, kita tak akan pergi pesta buku ya."

Dan kata-kata itu mengubah riak wajah Adli dan Iyad. Kenapa? Tanya mereka. Saya jelaskan yang saya tidak boleh cuti sesuka hati seperti tempat kerja lama. Hanya ada dua hari saya perlu bertugas di pesta buku dan selebihnya di pejabat.

Saya jelaskan juga, mereka tidak boleh cuti sesuka hati dan keadaan pesta buku yang sesak tidak memungkinkan saya bawa Umar sekali. Dan tak mungkinlah kami akan tinggalkan Umar...

Hari itu, saya bertugas. Saya sempat membeli beberapa buah buku kerana tawaran yang diberikan lumayan, 50%. Saya bawa balik ke rumah. Dengan tidak semena-mena Adli yang terpandang buku yang banyak tak banyak itu segera bertanya, "ibu ke pesta buku ya?"

Segera saya mengelak dengan berkata, "tidak. Ini ibu beli di pejabat ibulah. Kan ibu kerja buat buku."

Ya, saya berdosa menipu. Tetapi, saya tidak mahu melukakan rasa mereka dengan berkata saya pergi, ya saya pergi tapi bukan seperti tahun-tahun sebelum ini. Kali ini saya pergi untuk bertugas. Tidak boleh lagi berpoya-poya melepak di gerai lain berlama-lama seperti sebelum ini.

Hari sabtu saya bertugas. Menjangkakan hari sabtu (4 Mei 2013), adalah hari yang sesak kerana hari yang tiba-tiba diisytiharkan hari terakhir pesta buku kerana memberi laluan kepada PRU 13. Saya terpaksa juga beritahu Adli dan Iyad bahawa saya bertugas di pesta buku, tetapi saya tidak boleh, dan memang tak akan bawa mereka kerana keadaan akan luar biasa sesak.

Okey, Alhamdulillah mereka faham. Saya ke PWTC selepasnya. Sepanjang hari suasana tidak sesak seperti yang saya jangkakan. Barangkali ramai yang sudah balik ke kampung untuk mengundi dan di sini saya mula kesal kerana tidak bawa Adli dan Iyad malah kalau satu keluarga ke sini pun tidak mengapa. Parking masih ada, dan suasana tidak begitu sesak.

:(

***
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), yang bertempat di PWTC, merupakan antara pesta buku yang saya tunggu, kalaupun bukan untuk saya melihat pesta untuk pencinta buku, ia juga akan menjadi acara wajib untuk anak-anak menghargai ilmu dan mencintai hobi membaca. Tidak cukup dengan hanya mengadakan buku yang banyak di rumah [Adli dan Iyad ada rak khas untuk buku-buku mereka]. Saya mahu mereka hidup dalam dunia buku yang diraikan.

Tahun ini, melihat ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke pesta buku dan memberi kebebasan sepenuhnya buah anak memilih buku yang mereka suka menerbit rasa cemburu kepada saya kerana belum ada peluang menyediakan suasana begitu kepada anak-anak. Tapi, tahun lepas saya bawa mereka ke pesta buku juga. Dan membiar mereka memilih buku yang mereka suka. Kecuali Umar..yang ketika itu ada dalam rahim saya. :)

 Ini gambar tahun lepas :







****

Pujuk.

"Ibu belikan buku?" tanya Adli dengan nada begitu gembira.

he he he...nasib baik mereka tak marah!

Antara buku-buku yang sempat dibeli untuk mereka :


 Dan sebuah buku khas untuk Adli Supermokh! [Gambar belum ada kerana buku baru terbit]. Tidak sebanyak tahun lepas, namun tetap satu keperluan membelikan buku untuk mereka.