Thursday, January 17, 2013

Cat?

Oh, bagus.

Belum sebulan bersekolah, baju Iyad sudah bertampuk dengan cat berwarna coklat.

Sebelum ini bajunya dipenuhi air milo. Puaslah rendam dengan air panas campur klorok. Rendam lagi dua hari. Akhirnya hilang.

Kali ini, terus buang kot.

Sakitnya jiwa memikirkan sekolah yang mengecat pintu kelas sewaktu sesi persekolahan. Kenapa tidak cat ketika cuti sekolah?

Umar, Umar, Umar

Begitulah. Banyak cerita tentang Umar yang selalu ibu kongsikan di FB ibu. Mungkin kerana  sudah lama ibu tidak pegang / jaga bayi maka segalanya seperti baru pertama kali.

Banyak perkara sudah terlupakan. Jadi untuk Umar, ibu berazam untuk merakam setiap apa yang berlaku. Kalaupun bukan untuk menjadi pengajaran kepada ibu, mungkin juga boleh menjadi satu biografi awal untuk Umar.

Mungkin ibu-ibu lain juga perlu berbuat perkara yang sama untuk menjadi panduan mendidik anak-anak atau berhadapan dengan situasi yang pelbagai kelak.

Banyak perkara yang boleh dikongsikan oleh para ibu seperti penyusuan, penjagaan, pemilihan produk, pakaian, susu dan sebagainya. Di FB sahaja, bukan main banyak Page dan Group tentang ibu-ibu dan anak-anak kecil. Bagus kan?

Ya, bagus kerana boleh menjadi panduan segera kepada ibu masa kini di zaman teknologi. Cumanya, banyak perkara perlu juga ditapis sesuai dengan budaya dan kehendak masing-masing. Sekadar baca, apa salahnya?

Friday, January 11, 2013

Iyad Irfan dan Hari Pertama Sekolah

Alhamdulillah, Iyad sudah mula bersekolah darjah satu tahun ini. Persiapan sama seperti abangnya, Adli Hakim. Dan kami yang sudah punya pengalaman sebelum ini, tidak banyak kalut dengan persekolahan Iyad. Sudah tentulah fiil Iyad berbeza dengan abangnya kerana mereka sememangnya manusia yang berbeza dan kami meraikan perbezaan itu.

Iyad sungguh bersemangat. Dan kami perasan, hanya dia yang memakai songkok pada hari itu. :)

Ujian linus berjalan dengan baik dan sehingga akhir, Iyad tidak menunjukkan rasa penat atau letih. Petangnya pula pendaftaran sekolah agama di tempat yang sama dengan abangnya.

Semoga Iyad terus bersemangat sehingga bila-bila.







Setahun Berlalu

Lebih setahun tidak mencatit apa-apa di blog ini. Banyak cerita tertinggal. Banyak juga cerita yang ingin ditanam.

Setahun, menjanjikan kedewasaan mereka, kelahiran baru dan semangat yang bukan sedikit untuk meneruskan hidup selagi nyawa masih dipinjamkan.

Dan inilah kehidupan. Setiap dari kita berbeza. Malah setiap dari kita punya cara dan kisah tersendiri. Kamu siapa, dan saya siapa. Barangkali kita pernah kenal. barangkali juga kita akan terpisah dan seolah saling tidak mengenal.

Saya cuma mahu isi hidup dengan cara saya. Jika ada yang tidak suka, itu bukan urusan saya.

Dan saya hidup untuk mereka.

Selamat datang saya yang terkini dan mereka tetap di hati.





Selamat datang Umar. Kami sayang kamu!

Friday, November 11, 2011

Happy Birthday - 7, Muhammad Adli Hakim



Yang terlewat di tulis di sini.

Tetapi tepat 25 Oktober 2011 yang lalu memang ada kek, bungkusan untuk kawan-kawan dan ucapan ibu dan babah yang sangat panjang buat Adli yang semakin besar.

Sudah besar. Dan ia beri seribu rasa kepada ibu. Sangat.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran, sayang. Semoga menjadi anak yang paling baik hati, bijaksana, soleh dan menjadi insan yang kamil.

Monday, October 24, 2011

Hari Keusahawanan Sekolah Adli Hakim






Ibu yang teruja. Ya, sangat teruja sehingga sanggup membatalkan segala janjitemu dan berdoa agar tiada kerja luar yang perlu ibu laksanakan hari itu, 16 Oktober 2011. Semua gara-gara Hari Keusahawanan di sekolah Adli Hakim yang ibu bayangkan seperti sebuah hari untuk kami sekeluarga menghabiskan masa dengan gembira dan penuh pengalaman.

Tiba harinya.Kami bangun sepagi-pagi. Ibu buat sarapan dan kami bertolak sekitar jam 8.30 pagi. Sekolah Adli sudah dipenuhi dengan ibu bapa, dan kanak-kanak.

Namun...

Tidak banyak gerai yang dibuka. Sekitar 6 atau tujuh aktiviti sahaja yang ada. Dan ini sungguh tidak berbaloi dengan kapasiti pelajar sekolah ini yang dikatakan mempunyai jumlah pelajar paling ramai di seluruh Selangor.

Ibu mula buat muka. Babah tanya Adli mahu main apa? Adli menggaru kepala.


Ada permainan [entah, ibu tak tahu apa namanya] yang sudah dipenuhi pelajar.

Kami berjalan lagi.


Ada Rumah Hantu [What? kata ibu]yang juga dipenuhi pelajar sehingga ke selekoh kaki lima.

Kami jalan lagi.Ada permainan Fun fair [yang tembak tin dan dapat teddy bear]. Tiketnya mahal betul untuk standard pelajar sekolah.

Kami jalan lagi.



Ada acara menunggang kuda. Dan kami memilih ini. RM5 untuk sekali naik [yang pusingannya sungguh pendek] tambah RM2 untuk ambil gambar [what? Jangan harap nak bayar. Kata ibu kepada babah].

Itu sahaja.

Dan selainnya ada pameran buku, permainan kecil [yang tidak berfaedah untuk pelajar sekolah], gerai makanan yang cikgu-cikgu usahakan [bukan sepatutnya pelajar ke?] dan entah apa-apa lagi.
Kami balik jam 11 pagi dengan hati yang tidak gembira dan kepenatan.

Hmmm..ibu kena buat sesuatu untuk mengajar Adli erti usahawan.


Monday, September 26, 2011

Mahu adik tak?


Sekejap, baca buku...




Aiman yang kacak




Tolong Mak Ngah sapu....sapu...kata dia..uwarghhhhh



Abang...




Kenapa Hakim kena kemas semua? Tanya Hakim...ha ha ha




"Kata nak adik, jadi, berlatihlah jaga Aiman untuk dua hari ini." Kata Ibu kepada Adli dan Iyad.

Iyad ternganga.

Adli hanya senyum.

***
Dua hari Aiman bersama kami. Mak Lang hadiri kursus di Kuala Lumpur dan kami dengan rela mahu menjaga Aiman.

Ibu dengan penuh yakin, kononnya boleh uruskan Aiman. Ruap-rupanya ibu silap. Sudah lama tidak pegang atau jaga anak kecil berusia 2 tahun. Banyak juga ragamnya yang membuatkan ibu berpeluh.

Adli dan Iyad gembira dan belajar juga banyak perkara.

Apabila Aiman okey, mereka kata, "bila Mya Maisara mahu keluar, ibu?"

Apabila Aiman meragam, mereka kata, "Iyad tidak mahu adik la ibi..."

Ha ha ha

***

"Tak nak kawan..." kata Aiman sambil memalingkan badan.

Monday, August 22, 2011

Rumah Kecil Kami Diceroboh



Istighfar. Sambil menarik nafas agar tidak panik, ibu memandang sekeliling. Ibu terbangun jam 3.30 pagi ketika babah balik dari jumpa kawan. Babah panik.

"Ada orang masuk rumah kita." kata babah.

"beg kamera awak mana?" tanya babah lagi.

Beg kamera yang selalu ibu letak di sofa setiap kali pulang dari pejabat sudah tiada di tempatnya. Ibu rasa debar. Bukan kerana barang kamera hilang, tetapi lebih kepada keselamatan Iyad dan Adli.

Ibu rasa nak menangis bila kenangkan kekejaman penceroboh @ pencuri@ perompak yang selalu pecah masuk rumah orang.

Alhamdulillah, ibu dan anak-anak selamat tanpa diapa-apakan oleh penceroboh itu.

Namun, sedikit sebanyak ibu kesal juga dengan beberapa perkara seperti kehilangan kamera yang ibu sayangi, wang tunai [yang sengaja ibu keluarkan agak banyak untuk beli baju raya Iyad dan Adli], dan beberapa barangan lain.]

***

Kejadian ini beri pengajaran yang banyak buat keluarga kita.

Babah, jangan selalu sangat balik lewat. Kami bimbang jika kejadian ini berulang dan kami akan diapa-apakan pula.

Ibu harus simpan barangan berharga di tempat yang tersembunyi dan bukannya letak merata.

Sebelum tidur juga pastikan semua pintu dalam keadaan selamat.

Tidur di bilik sendiri dan bukannya di ruang tamu yang mengundang risiko yang tinggi.

****

Perasaan gementar dan geram masih terasa walaupun kejadian itu berlaku pagi sabtu lalu.

Siapa tak gementar apabila keselamatan diri di hujung tanduk.

Siapa tak geram bila kejadian begini menimpa. Apatah lagi dah dekat raya begini. Kena hati-hati lebih tidak kira di rumah atau luar rumah.

Semoga kejadian yang sama tidak berlaku dan berdoa agar barang yang hilang diperolehi semula serta pencuri dapat diberkas.

Friday, August 12, 2011

Iyad Dan Puasa.



"Ibu...Iyad nak makan..."

Itu suara Iyad yang ibu sempat dengar semasa ibu mahu keluar dari rumah pagi semalam, untuk ke pejabat. Oleh kerana ibu juga sudah lewat, babahlah yang melayan Iyad.

***
Petang semalam, jalan agak okey. Ibu sampai jam 5.10 petang di hadapan taska untuk menjemput anak-anak. Hakim belum sampai dari sekolah agama. Iyad pula seperti biasa bila nampak ibu sampai, terus buat aksi lakonannya. Ya, dia memang pandai berlakon.

Dari jauh kelihatan Iyad tidak bermaya sambil menyebut, "ibu yang cantik...."

Pengasuh taska beritahu, "Iyad puasa. Sejak balik dari sekolah, dia tak mahu makan."

[Dan saya tahu, di sekolah memang guru sudah beri memo mengatakan sekolah tidak akan sediakan makanan demi mendidik anak-anak berpuasa]

Ibu peluk Iyad dan rasa bangga bila tahu Iyad berusaha untuk puasa. Sambil menanti Adli di dalam kereta, Iyad kata lapar..lapar...lapar...

Adli Hakim sampai, dan ibu beritahu Adli, yang adiknya, Iyad berpuasa.

Adli juga menunjukkan reaksi yang bangga kepada adiknya. Iyad hanya tunduk.

Sampai rumah, [seperti biasa], anak-anak ibu terus ambil GT dan main games.

Beberapa minit kemudian, Iyad ke dapur dan minta air. Ibu meminta Iyad sabar sebab lagi sejam lebih dia boleh berbuka.

Iyad hampir menangis dan melangkah lemah ke ruang tamu semula.

Ibu lihat di meja makan ada pinggan yang nasinya sudah habis. Ibu fikir-fikir sejenak.

"Pagi tadi Iyad makan nasi goreng ke?" tanya ibu.

"Ha ah..Iyad makan banyak sebelum pergi sekolah," kata Iyad.

Saya tersengih. Memahami bahawa Iyad bersarapan sebelum berpuasa. Oleh kerana Iyad masih mengadu lapar, ibu benarkan sahaja dia minum.

Puasa bagi Iyad, begitulah. Tidak mengapa, hari ini dia berjanji akan cuba puasa sepenuhnya.

Ibu bangga dengan semangat itu. Tahniah sayang.

Thursday, August 4, 2011

PUASA dan HAkim



4 Ramadhan. Dan hari ke empat Hakim berpuasa.

"Hari ini puasa baik-baik okey. Jangan jadi macam semalam," pesan ibu pagi ini kepada Adli Hakim.

Ya, semalam dia terminum dan sengaja minum semasa kami mengunjungi Bazar Ramadhan.

***

"Tahan sikit sayang. Awak tahu tak, kalau kita berpuasa, bermakna kita bunuh syaitan."

Hakim mengangguk mendengar kata-kata saya.

"Tapi ibu, syaitan kan kena ikat. Syaitan ada banyak ke ibu? Kenapa ada yang tak kena ikat?" tanya Hakim lagi.

Ibu terkedu. Memandang wajah Hakim dengan dalam. Mencari-cari jawapan yang sesuai dan mudah difahami.

***

PSP. Ya, itulah yang ibu janjikan jika Hakim puasa penuh.

Menyedari menjanjikan sesuatu untuk sesuatu bukanlah didikan yang baik malah beri kesan dalam jangka masa yang panjang, maka ibu nyatakan begini, "kita berpuasa kerana Allah. Melatih diri menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Mengingatkan kita kepada mereka yang kelaparan dan kurang kasih-sayang. Allah sayang kepada orang yang berpuasa."

"Bayangkan anak yatim piatu dan orang yang tiada rumah. Beginilah keadaannya. Lapar, panas dan tidak bermaya," kata ibu lagi.

Hakim mengangguk.

"Semalam babah beri duit belanja seringgit. Kemudian, ada pengawas bawa tin untuk bagi duit kat anak yatim. Hakim masukkan duit Hakim dalam tin itu," jawab Hakim pula.

Saya senyum. peluk dia. Dan berdoa terus agar dia faham konsep puasa.

****

Hakim nak itu.

Dia minta saya belikan otak-otak, kuih tepung pelita, satey dan dadih.