Friday, May 29, 2009

Rindu


Semalam, abah dan emak datang. Selain menjemput adik, abah dan emak kata mereka sangat rindu pada Hakim dan Irfan. Saya akui, rasanya hampir sebulan lebih juga tidak pulang ke kampung.

Abah, bukan sahaja sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan cucunya, malah sanggup telefon semata-mata mahu dengar suara Hakim dan Irfan.

Ingat lagi, masa umur Hakim setahun. belum pandai bercakap sangat tapi abah selalu telefon. tanya itu ini kepada Hakim.

Semalam, semasa abah dan emak balik, Hakim naik kenderaan mereka. Mahu ikut balik kampung. Irfan pula tarik-tarik tangan saya. Rasa nak menitik air mata. Abah saya lihat senyum pahit sebab jumpa cucu sekejap sangat.

Minggu ini saya dan suami tidak dapat balik ke kampung atas urusan kerja juga. InsyaAllah, minggu akan datang.

Tuesday, May 26, 2009

Di Kejar dan Mengejar




Hakim dan Irfan. Dua figura yang berbeza dengan darah yang sama.

Hakim lari bila dikejar.
Irfan mengejar bila dikejar.

Hakim, jika boleh belajar tidak takut apabila dikejar. Kerana perasaan takut itu hanya membuat diri bertambah tidak yakin. Depani apa juga ketakutan. Dan ibu, cuma mengejar manja. Usah takut sehingga menangis.

Irfan, terlalu berani untuk ibu kejar. Sehingga, dia tidak berganjak apabila dikejar malah dengan yakin dan gagah menunggu ibu mengejar. Dia, akan mencari jalan untuk 'melawan' dan membuatkan ibu tidak berani mengejar. Tapi sayang, usah terlalu berani mendepani cabaran. Kadangkala, perlu sedikit takut agar diri tidak terlalu yakin sehingga boleh mengecewakan.

Semoga anak-anak ibu, tidak kira apa jua sifat kamu, bersederhana dalam segala laku.

Takut, usah takut sangat dan berani usah terlalu berani.

Wednesday, May 20, 2009

Happy Birthday Iyad Irfan - 3




Sayang, Happy Birthday!

Tak buat apa-apa sambutan. Mungkinlah, sebab babah dan ibu memang tidak mahu membiasakan sambutan itu buat anak-anak. Tetapi, ibu telah membeli kek cawan untuk diraikan oleh Iyad Irfan bersama kawan-kawan di taskanya. Kek cawan macam biasa, tempah dari Wansu.

Semoga Iyad Irfan menjadi anak yang soleh, baik hati, bijaksana dan menjadi insan yang kamil. Itu doa ibu dan babah, bukan untuk hari ini sahaja tetapi setiap hari sampai bila-bila.
Publish Post

Wednesday, May 13, 2009

Janji Tertunai


Aksi anak beranak. Hahaha, babah macam tak pernah tengok anjing laut.


Ini la subjek yang membuat mereka agak terpegun.

"Ibu tipu!" kata Hakim
Ibu tersentak mendengar kata-kata Hakim.

Ya, ibu pernah berjanji kepada Hakim tidak lama dahulu ketika dia tidak mahu ke sekolah. Ibu katakan padanya bahawa jika Hakim ke sekolah, maka ibu dan babah akan bawa Hakim ke zoo. Satu imbalan yang tidak berbaloi jika hanya kerana untuk meminta Hakim ke sekolah.

Baru-baru ini, ketika babah ada training di Port Dickson juga, ibu berjanji kepada Hakim bahawa jika Hakim tolong ibu, makanya ibu akan minta babah bawa Hakim dan Irfan ke zoo.

Sudahnya, janji-janji itu dituntut. Irfan yang belum petah juga asyik menyebut zoo dan zoo dan zoo.

Ahad lepas ibu demam lagi. Cuaca panas. Babah pula sangat keletihan dan lelah akibat training yang begitu berat tetapi berbaloi.

Hakim sebut lagi tentang zoo. Begitu juga Irfan.

Tengah hari itu, ibu rasa demam ibu ok sikit. Jadi, demi tidak dituduh sebagai ibu yang suka menipu, maka ibu nyatakan pada babah yang ibu ok dan bersetuju untuk ke zoo.

Cuaca sangat panas. Zoo penuh seperti biasa. Ibu demam balik dan betul-betul tak larat. Babah pun jalan perlahan-lahan. Tapi Hakim dan Irfan sangat teruja. Irfan yang jatuh dua kali dan luka di lutut juga seperti tidak rasa sakit dan terus berjalan ke sana ke mari.

"Zoo Negara sebenarnya tidaklah seseronok mana. Ingat nanti mahu terjah ke Zoo Melaka pula," kata ibu kepada babah.

"Shhh...jangan sebut depan anak-anak," sahut babah.

Tidak mengapalah jika ibu terus demam sehingga hari ini dan badan babah juga tak hilang letihnya asalkan mereka berdua punya persepsi yang baik terhadap ibu dan babah.

Bukankah ibu dan babah harus jadi role model yang baik buat mereka?

Ibu masih mencuba. Begitu juga babah. Hakim dan Irfan, tolong beri kepercayaan kepada kami.

Wednesday, May 6, 2009

Kids, Behave yourself!



Babah tiada tiga pagi dan tiga petang.

Jadinya, anak-anak ibu, tolong berkelakuan manis agar ibu tidak menangis dan pening menguruskan kamu dan kamu bersendirian.

Jangan mengada-ngada berlebihan, sebab ibu tidak akan memanjakan kamu.

Monday, April 27, 2009

Untuk Anak-Anak







Menangani Hakim dan Irfan dalam soal pemakanan memang memeningkan saya. Jika saya suri rumah sepenuh masa, mungkin banyak perkara boleh saya laksanakan untuk pelbagaikan menu harian. Alah, kalau mahu seribu daya bukan?


Donut J.CO dan cupcakes adalah kegemaran Hakim. Irfan pula ikut mood. Jika mahu makan, semua dimakannya, jika tidak, maka tidak mahu makan apa-apapun. Hal ini memeningkan kepala saya. Jadinya, saya akan belikan sahaja apa yang mereka mahukan.

Mengapa tidak buat sendiri? Ohhhh...masih belum bijak mengatur masa dan melembutkan tangan membuat donut atau kek sendiri. InsyaAllah.

Melihat blog-blog mama yang lain dalam menangani anak-anak sangat menarik dan punya pelbagai cerita.

Terkagum dengan mama yang bekerjaya atau tidak tetapi masih mampu memberi sesuatu kepada anak-anak. Menyedia menu yang menarik untuk anak-anak, membuat kek, menjahit sendiri baju dan kelengkapan anak-anak. Sangat kagum dengan itu.

Antaranya, blog My Sewing Room, Sew Pinky Mimmie, Smocking With Nannie, jarumemasku, wansu dan banyak lagi.

Makanya, tidak hairan kedudukan ibu sangat tinggi. Dan syurga juga terletak di kaki ibu, saya kira selagi ibu tersebut melaksanakan tugas sebaiknya.

Dan ibu, akan lakukan apa sahaja untuk Hakim dan Irfan.

Tuesday, April 21, 2009

Sudah Tiba Masanya...



Hakim sudah besar. Sudah pandai mengira hari. Hari apa perlu ke sekolah dan hari apa untuk bercuti. Sudah bijak mentafsir gurauan ibu dan sudah arif tentang suka duka di sekelilingnya. Begitu juga Irfan.

Tingkah kita [ibu dan babah] sama ada damai atau perang juga sudah dapat di baca oleh anak-anak.

Bukankah sudah tiba masanya kita muhasabah diri, babah. Mana yang buruk dan tidak muluk di mata mereka, hindarkanlah. Manakala cuba pupuk persekitaran positif dan bersih untuk tatapan anak-anak kita.

Rupanya sukar mendidik anak-anak. Ikutkan hati ibu mahu duduk sahaja di rumah dan jaga anak-anak sebaiknya.

Banyak perkara yang perlu ibu dan babah laksanakan demi menjamin Hakim dan Irfan mendapat pendidikan sewajarnya.

Itu tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan di 'sana' kelak. Bersediakah kita?

Wednesday, April 15, 2009

Ibu Demam



Ibu demam. Hari ini masuk hari yang ke lima. Doktor kata demam campak sebab ada bintik-bintik halus merah di tangan ibu.

Semalam babah belikan air kelapa. Alhamdulillah, demam kebah sedikit dan ibu sudah boleh bangun dan masak untuk anak-anak ibu serta babah. Kasihan babak, penat urus rumah dan anak-anak. Terima kasih babah. Semoga terus panjang umur dan sihat untuk jaga ibu dan anak-anak.

Seperti biasa, jika ibu demam, Hakim dan Irfan akan bertindak seperti doktor. Menggelabah cari ubat. Sapu kat mana-mana badan ibu dan cuba untuk memicit kepala ibu. tapi sekejap sahaja, tak sampai 5 saat, Hakim akan kata 'Sudah ibu? hakim penat".

Friday, April 3, 2009

Happy Belated Birthday Babah



Birthday babah pada 21 Mac 2009 yang lepas. Ibu beri hadiah baju kemeja dan tali leher.
Tapi baru Selasa lepas kek comel ini diberi. Terima kasih WanSu.

Kisah Taska


Baju sekolah baru Hakim


Tinggal kenangan...kertas peperiksaan Hakim di sekolah lama.

Banyak perkara berlaku berkenaan dengan persekolahan Hakim dan Irfan. Hal ini membuat jadual saya agak berkecamuk. Pening dan bengang.

Hari ini hari ke dua Hakim bersekolah di sekolah baharu, Tadika Adna. Harap semuanya ok. Semalam saya bercuti, uruskan hal perpindahan itu. Mendaftar di sekolah baharu dan memberhentikan persekolahan lama Hakim kerana sebab-sebab yang kami sendiri tidak sangka ia berlaku.

Sebelum ini Hakim bersekolah berhampiran rumah kami. Segalanya baik selama 2 tahun lebih Hakim dan Irfan berada di situ. Cuma ada beberapa perkara yang kami tidak berpuas hati tetapi masih boleh diampunkan. Tetapi hal yang baru berlaku ini benar-benar menyakitkan hati.

Kami dikatakan belum membayar yuran tadika dan taska Hakim dan Irfan untuk bulan Mac. Memang kami lewah tentang resit sehingga tidak dapat membuktikan yang memang kami dah bayar sejak awal bulan MAc lagi dan begitulah biasa-biasanya sejak dua tahun lebih yang lalu. Tidak pernah tangguh atau lewat membayar.

Mungkin ini takdir. Walaupun hal 'kehilangan' yuran itu tidak dapat diselesaikan, ia tetap menghantui kami. Cara cikgu taska sms juga menjadikan kami seolah-olah yang bersalah.

Mungkin juga hal ini mahu dijadikan sebab yang kukuh untuk kami memindahkan Hakim dan Irfan selain hal-hal kebersihan taska dan pengurusan yang kucar-kacir.

Harapnya Hakim dan Irfan gembira jumpa kawan baru dan cikgu baru.
Selamat tinggal taska lama.