Wednesday, March 25, 2009

Lukisan Pertama Hakim



Ini, Hakim lukis sendiri tanpa perhatian ibu.
Selalu-selalu ibu akan bantu.

"Ini apa ni Hakim?" tanya ibu apabila Hakim suakan kertas ini pada ibu.
"Kaki dan tangan Hakim, ibu," jawab Hakim.

"Ini kaki dan tangan Hakim atau cipan?" jawab saya dalam hati.

Hahahhaha....

Tengok Belon




Sabtu lepas, dalam perjalanan pulang ke kampung, kami singgah di Putrajaya. Kononnya mahu melihat belon. Tapi, tak ada apapun. Mungkin waktu kami pergi tu bukan waktu yang betul. Maknanya aktiviti berbelon itu belum bermula. Tak apalah.

Saturday, March 14, 2009

Makan




Hakim dan Irfan bukan bayi kecil lagi. Jadi apa yang mereka makan harus ibu fikirkan.

Bercerita tentang Hakim, jejaka kecil ini sangat memilih. Tidak semua benda dia makan. Makanan baru yang mahu diperkenalkan juga begitu payah untuk meyakinkannya bahawa makanan itu sedap. Sangat payah. Paling memeningkan ibu, Hakim tidak makan sayur, ikan atau daging. Sayur tu, ibu dah potong-potong halus pun dia boleh kesan. Maka, dia akan keluarkan balik dari mulutnya. Ikan pula, terpaksa ibu curi-curi gaul bersama dengan nasi [macam bagi kucing makan pula]. Bagaimana ya?

Irfan pula, alhamdulillah tidak banyak masalah. Bagi apa sahaja, dia akan makan. Dan cara dia makan pula kadangkala amat kelakar. Misalnya meratah mentega kacang dan makan kuah kacang dengan sudu.

Tetapi ada juga persamaan antara keduanya. Masing-masing mencari tanda halal pada makanan. Haru biru dibuatnya apabila semua benda [yang bukan makanan juga], dicari tanda halalnya.

Hadiah Dari Sana


Ada orang hadiahkan ibu ini.

Cantik bukan?

Terima kasih Amz yang banyak memberi dan menerima. Semoga cepat habis belajar dan balik ke sini. Bolehlah ajar Hakim dan Irfan macam-macam nanti.

Tuesday, March 3, 2009

Emosi Yang Terganggu Sedikit




I


Hampir seminggu ibu berada di Pulau Pinang. Urusan Kerja. Semuanya ok. Cuma semasa mahu berangkat ibu asyik fikir yang bukan-bukan. Fikir yang ibu tidak akan balik ke KL semula. Ada rasa sedih yang bertali arus.

Tiba di sana segalanya berjalan dengan baik. Maksud ibu, perasaan ibu. Rindunya pada Hakim dan Irfan tidak terkira. Terbayang-bayang gelak-tawa-tangis jejaka-jejaka kecil ibu itu. Terasa-rasa sentuhan mereka. Terasa-rasa ciuman dan pelukan mereka. Pada babah apatah lagi.

Hari itu, babah telefon. Babah kata, babah dan jejaka-jejaka kecil berada di Cineleisure, Mutiara Damansara. Mahu menonton wayang filem Upin dan Ipin. Arghh, ibu menjerit cemburu.

"Perlukah mereka menonton sekarang?" tanya hati ibu.
"Mengapa mereka tidak menunggu ibu? " tanya ibu lagi pada diri sendiri.

Mungkin babah sengaja mahu memesongkan fikiran jejaka-jejaka kecil itu agar tidak terlalu bertanya pasal ibu. Jika itu alasannya, ibu terima.

Sekembalinya dari Pulau Pinang, seperti biasa melepas rindu yang terlalu banyak dibendung. Hakim dan Irfan bertanya itu ini dan menceritakan itu ini. Tentang makan pakai mereka. Tentang Upin dan Ipin. Tentang babah. Tentang segala.

Selepas ini mungkin ibu akan bekerja di luar kawasan lagi. Semoga jejaka-jejaka kecil dan jejaka ibu yang besar dan tampan itu memahami tugas ibu dan sentiasa redha dengan apa yang ibu lakukan.

II

Jejaka saya seorang yang berjimat cermat. Seperti ibunya. Setiap harta yang dimiliki akan dipelihara sebaiknya. Bukankah itu yang dituntut dalam Islam? Saya kagum itu.

Tetapi sifat berjimat cermat untuk diri sendiri kadangkala amat menyusahkan.

Jejaka saya bukan seorang yang membeli tanpa memakai. Pakaiannya jarang berganti. Selagi boleh disarung, dia akan pakai. Sampaikan saya mual menggosok baju yang sama setiap minggu.

[Kala ini, saya teringat kisah kami semasa di universiti dahulu. Jejaka saya tanpa rasa segan menyarung baju hujan yang agak lusuh. Katanya, masih boleh dipakai dan ia merupakan baju yang dibeli oleh bapanya]

Hari ini jejaka saya membeli kemeja dan seluar baru [setelah hampir setengah tahun tidak membeli].

Hari ini juga saya dapat lihat kesedihan pada wajahnya apabila baju yang dibeli itu rosak terkena warna seluar yang direndam bersama. Perkara sudah berlaku, tidak perlu diungkit lagi salahnya di mana.

Saya bercadang mahu membelikan baju yang baru untuk jejaka esok, semasa dia bertugas di luar kawasan dan akan pulang ke KL agak lewat.

Tetapi saya bimbang dimarahi oleh jejaka. Bimbang dia akan menuduh saya membazir. Bulan ini, 21 Mac ini, ulangtahun kelahiran jejaka.

Perlukah saya membelikan baju yang baru untuk dia? Atau sesuatu yang lain?