Tuesday, March 3, 2009
Emosi Yang Terganggu Sedikit
I
Hampir seminggu ibu berada di Pulau Pinang. Urusan Kerja. Semuanya ok. Cuma semasa mahu berangkat ibu asyik fikir yang bukan-bukan. Fikir yang ibu tidak akan balik ke KL semula. Ada rasa sedih yang bertali arus.
Tiba di sana segalanya berjalan dengan baik. Maksud ibu, perasaan ibu. Rindunya pada Hakim dan Irfan tidak terkira. Terbayang-bayang gelak-tawa-tangis jejaka-jejaka kecil ibu itu. Terasa-rasa sentuhan mereka. Terasa-rasa ciuman dan pelukan mereka. Pada babah apatah lagi.
Hari itu, babah telefon. Babah kata, babah dan jejaka-jejaka kecil berada di Cineleisure, Mutiara Damansara. Mahu menonton wayang filem Upin dan Ipin. Arghh, ibu menjerit cemburu.
"Perlukah mereka menonton sekarang?" tanya hati ibu.
"Mengapa mereka tidak menunggu ibu? " tanya ibu lagi pada diri sendiri.
Mungkin babah sengaja mahu memesongkan fikiran jejaka-jejaka kecil itu agar tidak terlalu bertanya pasal ibu. Jika itu alasannya, ibu terima.
Sekembalinya dari Pulau Pinang, seperti biasa melepas rindu yang terlalu banyak dibendung. Hakim dan Irfan bertanya itu ini dan menceritakan itu ini. Tentang makan pakai mereka. Tentang Upin dan Ipin. Tentang babah. Tentang segala.
Selepas ini mungkin ibu akan bekerja di luar kawasan lagi. Semoga jejaka-jejaka kecil dan jejaka ibu yang besar dan tampan itu memahami tugas ibu dan sentiasa redha dengan apa yang ibu lakukan.
II
Jejaka saya seorang yang berjimat cermat. Seperti ibunya. Setiap harta yang dimiliki akan dipelihara sebaiknya. Bukankah itu yang dituntut dalam Islam? Saya kagum itu.
Tetapi sifat berjimat cermat untuk diri sendiri kadangkala amat menyusahkan.
Jejaka saya bukan seorang yang membeli tanpa memakai. Pakaiannya jarang berganti. Selagi boleh disarung, dia akan pakai. Sampaikan saya mual menggosok baju yang sama setiap minggu.
[Kala ini, saya teringat kisah kami semasa di universiti dahulu. Jejaka saya tanpa rasa segan menyarung baju hujan yang agak lusuh. Katanya, masih boleh dipakai dan ia merupakan baju yang dibeli oleh bapanya]
Hari ini jejaka saya membeli kemeja dan seluar baru [setelah hampir setengah tahun tidak membeli].
Hari ini juga saya dapat lihat kesedihan pada wajahnya apabila baju yang dibeli itu rosak terkena warna seluar yang direndam bersama. Perkara sudah berlaku, tidak perlu diungkit lagi salahnya di mana.
Saya bercadang mahu membelikan baju yang baru untuk jejaka esok, semasa dia bertugas di luar kawasan dan akan pulang ke KL agak lewat.
Tetapi saya bimbang dimarahi oleh jejaka. Bimbang dia akan menuduh saya membazir. Bulan ini, 21 Mac ini, ulangtahun kelahiran jejaka.
Perlukah saya membelikan baju yang baru untuk dia? Atau sesuatu yang lain?
Labels:
musibah,
Pulau Pinang,
rindu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment