Friday, August 16, 2013

Untuk Tahun Ini, Raya Kami


Alhamdulillah, untuk tahun ini kami mengubah corak dan sudut pandangan raya dalam keluarga kecil kami. Soal perbelanjaan, soal rasa dan soal penerimaan. Alhamdulillah juga, bekerja di tempat baru yang kini memasuki bulan yang kelima, memberi rasa yang sederhana. Banyak keperluan-keperluan hati dipenuhi. Kerja juga berjalan dengan lancar sebelum bercuti (yang panjang) dan semasa bercuti, masih enggan berenggang dengan kerja yang dicintai.

Hari Raya 2013
Tahun ini giliran beraya di kampung ibu. Ternyata, tiada banyak bezapun sama ada beraya di kampung ibu atau babah. Kedua-duanya sama sahaja. Ya, mungkin berbeza sedikit, tetapi apalah sangat dengan perbezaan itu yang akhirnya melengkapi kekurangan dan memberi bonus kepada kelebihan.

Tidak beraya sebanyaknya seperti tahun lepas, namun masih enjoy dan gembira. Serius, ibu gembira dan anak-anak juga gembira.

Terima kasih babah. Ada hikmah atas apa yang berlaku. Kita melihat sekeliling dan kemudian berhenti menuding diri sendiri. Kita yang mengisi rasa dalam diri dan berkongsi dengan orang lain.  Terima kasih kerana tahun ini memaknakan dan memberi pelajaran baru kepada kami iaitu kesederhanaan.

UMAR
Sepuluh hari bersama Umar tanpa berenggang. Terlalu banyak pengalaman baru yang kami perolehi daripada Umar. Mungkin, kerana selama ibu dan babah bekerja, abang-abang bersekolah, kami tidak nampak perkembangan-perkembangan Umar setiap hari. Pengasuh juga tidaklah terlalu ramah bercerita mengenai Umar sekadar memberitahu Umar demam atau susunya habis.

Sehari sebelum raya kami berbuka di Tampin. Membeli juadah di bazaar dan menikmatinya seisi keluarga. Mengejutkan apabila Umar mampu menghabiskan seketul ayam goreng (bahagian paha), dengan khusyuknya. menjerit-jerit abangnya meminta (ya, ayam itu hanya dibeli dua ketul - untuk Adli dan Iyad). Umar menikmatinya sehingga ke tulang putih dan enggan melepaskan tulang itu. Sampai kami sudah tiada di meja makan, dia masih duduk di situ menikmati makanannya. Sampai menguap-nguap. Kelakar!

Umar juga sudah laju bergerak. Pantang melihat pintu terbuka. Panjang sahaja langkahnya. Di samping gerak gerinya yang semakin tangkas - saya syak dia akan mengikuti perangai Iyad, malah mungkin 'blend' Adli dan Iyad akan menghasilkan Umar yang lebih agresif sesuai dengan namanya.

Tahun ini, tahun kedua Umar beraya bersama kami. Selamat Hari Raya Umar.