Tuesday, June 25, 2013

Yang Ingin Kita Tinggalkan


Tentulah anak-anak yang bakal meneruskan legasi kita - dan terlebih mahu, anak-anak yang soleh yang doanya akan menjadikan kita berjaya 'di sana'.

Namun, perjalanan tidaklah semudah yang kita rencanakan. Baik cabaran luaran mahupun dalaman.

Persediaan yang sebaiknya dan sebetulnya akan menentukan sejauh mana perancangan-perancangan kita akan berjalan dengan lancar atau tidak. Kewangan dan kemampuan dari segi harta benda memang wajar disediakan sebaiknya.

Namun, dari sudut pandang lain, cabaran mengisi dada, jiwa dan akal anak-anak itu lebih penting. Ya. Tugas mencorak dan membekalkan hal-hal yang wajar untuk anak-anak terus hidup sebagai manusia memang penting dan sebetulnya sama penting dengan persediaan luaran -iaitu kewangan. Masing-masing seiringan.

Masih juga, dari sudut dalaman, orang akan berkata, ahh...tolonglah. Tolong isi dada anakmu dengan kemanusiaan dan bukan materialistik. Kenalkan mereka dengan tuhannya. Kenalkan mereka dengan manusianya. Jangan hanyut dengan zaman. Zaman akan mati. Zaman akan berubah. Namun tidak dengan hati manusia yang bersih dan kuat.

Dan akhirnya, untuk menguatkan kemanusiaan anak-anak, ibu bapanya yang perlu kuat kerana merekalah yang paling hampir dengan anak-anak dan tentunya menjadi role model yang terbaik untuk anak-anak.

Awak boros, anak-anak juga akan boros.
Awak suka mengumpat - anak-anak juga akan mengikut.

Pendek kata, perangai dalaman dan luaran ibu bapa akan mempengaruhi anak-anak.

****

"Saya cuma mahu membanggakan dan menjadi seorang ibu yang anak-anak banggakan." demikian kata-kata saya kepada majikan lama apabila saya mengambil keputusan untuk membina kerjaya baharu.

Di tempat lama, dengan kekuatan yang minima, saya tidak mampu bergerak lebih jauh. Dengan persekitaran yang tidak kondusif dan selalu memaksa saya bertindak di luar kawalan malah tidak banyak perkara yang mampu dilakukan utnuk diri dan juga keluarga.

Saya keluar. Mencari tapak dan landasan baharu.

"Ibu buat buku pasal Hakim, boleh?" tanya Adli suatu ketika selepas beberapa bulan.

"Tentulah boleh." Jawab saya sambil kami sama-sama membaca buku yang kami suka.

Saya, mahu berdampingan dan menanam benih rasa kepada anak-anak dengan cara saya sendiri.

Kadang, tutup mata dan pekakkan telinga apabila melihat ibu bapa lain mengajar anak-anak mereka dengan cara yang saya tak setuju - tetapi saya tidak berhak masuk campur hal mereka. Namun, jauh di sudut hati, berharap ibu bapa semua mempunyai kesedaran yang tinggi dalam mendidik anak-anak dengan cara yang sederhana sebagai manusia yang akan mentadbir alam kelak. Saya tidak mahu anak saya mudarat hanya kerana manusia lain yang bersifat pentingkan diri sendiri.

***

Kasihan Lysa, anak buah kami yang comel. Kami tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Baik ahli keluarga sendiri ataupun orang yang mendatang. Namun, hal ini boleh diselesaikan jika masing-masing punya akal. tetap, kami mahukan yang terbaik buat Lysa kalaupun terpaksa berlawan dan berkorban harta. Untuk masa depan Lysa - jika yang menjaganya baik dari segi akhlak dan mentaliti, okey, kami lepaskan Lysa. Namun...

Semoga jalan penyelesaian tidak mengorbankan Lysa. Kami berdoa Ya Allah...