Monday, August 22, 2011

Rumah Kecil Kami Diceroboh



Istighfar. Sambil menarik nafas agar tidak panik, ibu memandang sekeliling. Ibu terbangun jam 3.30 pagi ketika babah balik dari jumpa kawan. Babah panik.

"Ada orang masuk rumah kita." kata babah.

"beg kamera awak mana?" tanya babah lagi.

Beg kamera yang selalu ibu letak di sofa setiap kali pulang dari pejabat sudah tiada di tempatnya. Ibu rasa debar. Bukan kerana barang kamera hilang, tetapi lebih kepada keselamatan Iyad dan Adli.

Ibu rasa nak menangis bila kenangkan kekejaman penceroboh @ pencuri@ perompak yang selalu pecah masuk rumah orang.

Alhamdulillah, ibu dan anak-anak selamat tanpa diapa-apakan oleh penceroboh itu.

Namun, sedikit sebanyak ibu kesal juga dengan beberapa perkara seperti kehilangan kamera yang ibu sayangi, wang tunai [yang sengaja ibu keluarkan agak banyak untuk beli baju raya Iyad dan Adli], dan beberapa barangan lain.]

***

Kejadian ini beri pengajaran yang banyak buat keluarga kita.

Babah, jangan selalu sangat balik lewat. Kami bimbang jika kejadian ini berulang dan kami akan diapa-apakan pula.

Ibu harus simpan barangan berharga di tempat yang tersembunyi dan bukannya letak merata.

Sebelum tidur juga pastikan semua pintu dalam keadaan selamat.

Tidur di bilik sendiri dan bukannya di ruang tamu yang mengundang risiko yang tinggi.

****

Perasaan gementar dan geram masih terasa walaupun kejadian itu berlaku pagi sabtu lalu.

Siapa tak gementar apabila keselamatan diri di hujung tanduk.

Siapa tak geram bila kejadian begini menimpa. Apatah lagi dah dekat raya begini. Kena hati-hati lebih tidak kira di rumah atau luar rumah.

Semoga kejadian yang sama tidak berlaku dan berdoa agar barang yang hilang diperolehi semula serta pencuri dapat diberkas.

Friday, August 12, 2011

Iyad Dan Puasa.



"Ibu...Iyad nak makan..."

Itu suara Iyad yang ibu sempat dengar semasa ibu mahu keluar dari rumah pagi semalam, untuk ke pejabat. Oleh kerana ibu juga sudah lewat, babahlah yang melayan Iyad.

***
Petang semalam, jalan agak okey. Ibu sampai jam 5.10 petang di hadapan taska untuk menjemput anak-anak. Hakim belum sampai dari sekolah agama. Iyad pula seperti biasa bila nampak ibu sampai, terus buat aksi lakonannya. Ya, dia memang pandai berlakon.

Dari jauh kelihatan Iyad tidak bermaya sambil menyebut, "ibu yang cantik...."

Pengasuh taska beritahu, "Iyad puasa. Sejak balik dari sekolah, dia tak mahu makan."

[Dan saya tahu, di sekolah memang guru sudah beri memo mengatakan sekolah tidak akan sediakan makanan demi mendidik anak-anak berpuasa]

Ibu peluk Iyad dan rasa bangga bila tahu Iyad berusaha untuk puasa. Sambil menanti Adli di dalam kereta, Iyad kata lapar..lapar...lapar...

Adli Hakim sampai, dan ibu beritahu Adli, yang adiknya, Iyad berpuasa.

Adli juga menunjukkan reaksi yang bangga kepada adiknya. Iyad hanya tunduk.

Sampai rumah, [seperti biasa], anak-anak ibu terus ambil GT dan main games.

Beberapa minit kemudian, Iyad ke dapur dan minta air. Ibu meminta Iyad sabar sebab lagi sejam lebih dia boleh berbuka.

Iyad hampir menangis dan melangkah lemah ke ruang tamu semula.

Ibu lihat di meja makan ada pinggan yang nasinya sudah habis. Ibu fikir-fikir sejenak.

"Pagi tadi Iyad makan nasi goreng ke?" tanya ibu.

"Ha ah..Iyad makan banyak sebelum pergi sekolah," kata Iyad.

Saya tersengih. Memahami bahawa Iyad bersarapan sebelum berpuasa. Oleh kerana Iyad masih mengadu lapar, ibu benarkan sahaja dia minum.

Puasa bagi Iyad, begitulah. Tidak mengapa, hari ini dia berjanji akan cuba puasa sepenuhnya.

Ibu bangga dengan semangat itu. Tahniah sayang.

Thursday, August 4, 2011

PUASA dan HAkim



4 Ramadhan. Dan hari ke empat Hakim berpuasa.

"Hari ini puasa baik-baik okey. Jangan jadi macam semalam," pesan ibu pagi ini kepada Adli Hakim.

Ya, semalam dia terminum dan sengaja minum semasa kami mengunjungi Bazar Ramadhan.

***

"Tahan sikit sayang. Awak tahu tak, kalau kita berpuasa, bermakna kita bunuh syaitan."

Hakim mengangguk mendengar kata-kata saya.

"Tapi ibu, syaitan kan kena ikat. Syaitan ada banyak ke ibu? Kenapa ada yang tak kena ikat?" tanya Hakim lagi.

Ibu terkedu. Memandang wajah Hakim dengan dalam. Mencari-cari jawapan yang sesuai dan mudah difahami.

***

PSP. Ya, itulah yang ibu janjikan jika Hakim puasa penuh.

Menyedari menjanjikan sesuatu untuk sesuatu bukanlah didikan yang baik malah beri kesan dalam jangka masa yang panjang, maka ibu nyatakan begini, "kita berpuasa kerana Allah. Melatih diri menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Mengingatkan kita kepada mereka yang kelaparan dan kurang kasih-sayang. Allah sayang kepada orang yang berpuasa."

"Bayangkan anak yatim piatu dan orang yang tiada rumah. Beginilah keadaannya. Lapar, panas dan tidak bermaya," kata ibu lagi.

Hakim mengangguk.

"Semalam babah beri duit belanja seringgit. Kemudian, ada pengawas bawa tin untuk bagi duit kat anak yatim. Hakim masukkan duit Hakim dalam tin itu," jawab Hakim pula.

Saya senyum. peluk dia. Dan berdoa terus agar dia faham konsep puasa.

****

Hakim nak itu.

Dia minta saya belikan otak-otak, kuih tepung pelita, satey dan dadih.