Friday, May 29, 2009

Rindu


Semalam, abah dan emak datang. Selain menjemput adik, abah dan emak kata mereka sangat rindu pada Hakim dan Irfan. Saya akui, rasanya hampir sebulan lebih juga tidak pulang ke kampung.

Abah, bukan sahaja sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan cucunya, malah sanggup telefon semata-mata mahu dengar suara Hakim dan Irfan.

Ingat lagi, masa umur Hakim setahun. belum pandai bercakap sangat tapi abah selalu telefon. tanya itu ini kepada Hakim.

Semalam, semasa abah dan emak balik, Hakim naik kenderaan mereka. Mahu ikut balik kampung. Irfan pula tarik-tarik tangan saya. Rasa nak menitik air mata. Abah saya lihat senyum pahit sebab jumpa cucu sekejap sangat.

Minggu ini saya dan suami tidak dapat balik ke kampung atas urusan kerja juga. InsyaAllah, minggu akan datang.

Tuesday, May 26, 2009

Di Kejar dan Mengejar




Hakim dan Irfan. Dua figura yang berbeza dengan darah yang sama.

Hakim lari bila dikejar.
Irfan mengejar bila dikejar.

Hakim, jika boleh belajar tidak takut apabila dikejar. Kerana perasaan takut itu hanya membuat diri bertambah tidak yakin. Depani apa juga ketakutan. Dan ibu, cuma mengejar manja. Usah takut sehingga menangis.

Irfan, terlalu berani untuk ibu kejar. Sehingga, dia tidak berganjak apabila dikejar malah dengan yakin dan gagah menunggu ibu mengejar. Dia, akan mencari jalan untuk 'melawan' dan membuatkan ibu tidak berani mengejar. Tapi sayang, usah terlalu berani mendepani cabaran. Kadangkala, perlu sedikit takut agar diri tidak terlalu yakin sehingga boleh mengecewakan.

Semoga anak-anak ibu, tidak kira apa jua sifat kamu, bersederhana dalam segala laku.

Takut, usah takut sangat dan berani usah terlalu berani.

Wednesday, May 20, 2009

Happy Birthday Iyad Irfan - 3




Sayang, Happy Birthday!

Tak buat apa-apa sambutan. Mungkinlah, sebab babah dan ibu memang tidak mahu membiasakan sambutan itu buat anak-anak. Tetapi, ibu telah membeli kek cawan untuk diraikan oleh Iyad Irfan bersama kawan-kawan di taskanya. Kek cawan macam biasa, tempah dari Wansu.

Semoga Iyad Irfan menjadi anak yang soleh, baik hati, bijaksana dan menjadi insan yang kamil. Itu doa ibu dan babah, bukan untuk hari ini sahaja tetapi setiap hari sampai bila-bila.
Publish Post

Wednesday, May 13, 2009

Janji Tertunai


Aksi anak beranak. Hahaha, babah macam tak pernah tengok anjing laut.


Ini la subjek yang membuat mereka agak terpegun.

"Ibu tipu!" kata Hakim
Ibu tersentak mendengar kata-kata Hakim.

Ya, ibu pernah berjanji kepada Hakim tidak lama dahulu ketika dia tidak mahu ke sekolah. Ibu katakan padanya bahawa jika Hakim ke sekolah, maka ibu dan babah akan bawa Hakim ke zoo. Satu imbalan yang tidak berbaloi jika hanya kerana untuk meminta Hakim ke sekolah.

Baru-baru ini, ketika babah ada training di Port Dickson juga, ibu berjanji kepada Hakim bahawa jika Hakim tolong ibu, makanya ibu akan minta babah bawa Hakim dan Irfan ke zoo.

Sudahnya, janji-janji itu dituntut. Irfan yang belum petah juga asyik menyebut zoo dan zoo dan zoo.

Ahad lepas ibu demam lagi. Cuaca panas. Babah pula sangat keletihan dan lelah akibat training yang begitu berat tetapi berbaloi.

Hakim sebut lagi tentang zoo. Begitu juga Irfan.

Tengah hari itu, ibu rasa demam ibu ok sikit. Jadi, demi tidak dituduh sebagai ibu yang suka menipu, maka ibu nyatakan pada babah yang ibu ok dan bersetuju untuk ke zoo.

Cuaca sangat panas. Zoo penuh seperti biasa. Ibu demam balik dan betul-betul tak larat. Babah pun jalan perlahan-lahan. Tapi Hakim dan Irfan sangat teruja. Irfan yang jatuh dua kali dan luka di lutut juga seperti tidak rasa sakit dan terus berjalan ke sana ke mari.

"Zoo Negara sebenarnya tidaklah seseronok mana. Ingat nanti mahu terjah ke Zoo Melaka pula," kata ibu kepada babah.

"Shhh...jangan sebut depan anak-anak," sahut babah.

Tidak mengapalah jika ibu terus demam sehingga hari ini dan badan babah juga tak hilang letihnya asalkan mereka berdua punya persepsi yang baik terhadap ibu dan babah.

Bukankah ibu dan babah harus jadi role model yang baik buat mereka?

Ibu masih mencuba. Begitu juga babah. Hakim dan Irfan, tolong beri kepercayaan kepada kami.

Wednesday, May 6, 2009

Kids, Behave yourself!



Babah tiada tiga pagi dan tiga petang.

Jadinya, anak-anak ibu, tolong berkelakuan manis agar ibu tidak menangis dan pening menguruskan kamu dan kamu bersendirian.

Jangan mengada-ngada berlebihan, sebab ibu tidak akan memanjakan kamu.