Friday, January 23, 2009

Jejaka-Jejaka, Sembuhlah Segera



Jejaka-Jejaka ku,
Sembuhlah segera
Tanpa gelak tawa yang selalu-selalu
Matahari bagai suram,
Awan bagai merajuk,
Hujan turun mencurah.

Jejaka-jejaka saya demam.

Hakim dan Irfan muntah-muntah. Doktor kata jangkitan kuman pada makanan. Petang semalam, mereka balik dari taska dan tadika dalam keadaan bogel. Hanya lampin pakai buang yang tersarung. Pengasuh taska kata, Irfan cirit-birit sehingga semua baju yang dibekalkan habis digunakan. Begitu juga Hakim.

Ibu dan babah pimpin Hakim dan Irfan naik ke atas. Ramai yang memandang dan bertanya mengapa Hakim dan Irfan tidak berbaju.

Malam tadi, babah pula demam. Badannya panas. Tidak makan malam. Juga tidak mahu ke klinik. Hanya menelan dua biji panadol actifast. Walaupun demam, babah tetap menolong ibu menjaga dan menguruskan Irfan yang masih cirit-birit. Kalau ibu yang demam....ermmm..

Pagi ini, ibu bersiap seperti biasa untuk ke pejabat. Babah kata dia tidak kerja. MC. Dan babah muntah sebanyak-banyaknya. Ibu panik.

Irfan nampak tidak ada kurangnya cirit- birit. Hari ini, insyaAllah, ibu balik awal. Bawa Irfan ke klinik sekali lagi.

Hakim, Irfan dan babah, semoga sihat segera.

Monday, January 19, 2009

Hakim Mula Sekolah



I


Sebenarnya entri ini sepatutnya ditulis pada hari pertama Hakim bersekolah. Namun, banyak halangan. Sekarang juga. Baju seragamnya masih tidak dapat disiapkan.

Hakim berusia 4 tahun 3 bulan. Ibu dan babah menghantar Hakim ke sekolah tadika yang berhadapan dengan taska adiknya.

Hari pertama katanya rindu pada Irfan. Setengah hari diasingkan ke tadika, dia mula sibuk cari Irfan.

Hari kedua dia sudah mula bercerita itu ini tentang apa yang dipelajari. Namun, banyak perkara yang ibu tidak begitu yakin dengan tadika ini. Apakan daya ibu, hanya ini yang termampu setakat ini).

Jika ibu berkeyakinan untuk menulis sepenuh masa, sudah pasti ibu akan berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya buat Hakim. InsyaAllah, mungkin lagi dua atau tiga tahun. Amin.

II

"Ibu, pokok warna apa?" tanya Hakim semasa kami makan malam tadi.
"Hijau," jawab ibu seperti selalu-selalu.
"Bukan ibu. Pokok warna coklat, daun pokok warna hijau," jawab Hakim sambil terus menyuap nasi.

Ibu terdiam.

"Hakim pandai ibu," sambungnya lagi.
"Iya, sangat pandai anak ibu."

Friday, January 16, 2009

Dia Tahukah?



Dia, Hakim.

Ibu cuma perkenalkan kepadanya kamera DSLR (Nikon D80) yang selalu-selalu merakam potret pegunnya.

Juga kamera 'photobooth' yang ada di dalam komputer riba ibu, yang selalu-selalu juga merakam imej pegun dia dan adiknya.

Hari itu, sehari sebelum raya haji.

Dia, ibu biarkan beraksi di hadapan komputer riba ibu. Untuk merakam aksinya dalam format video.

Dia, tidak tahu hal itu. Sangkanya kamera 'photobooth' ibu akan merakam gambarnya dalam bentuk imej pegun.

Ibu lupa mahu memperkenalkan perkara baharu itu kepadanya.

"Ini video sayang, bukan kamera imej pegun."

Thursday, January 1, 2009

Mereka



Mereka sepupu. Selalu tidak sekepala. Gaduh, berebut mainan dan sebagainya.

Tapi apalah sangat, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka punya jiwa yang bersih. Percayalah.

Kuih Gunting

"salam atuk,"
"Tak mau, Hakim nak kuih gunting,"

Seketika...

"Abah nak ke mana?" tanya saya
"Nak pergi pasar, beli barang buat kuih gunting," jawab bapa mertua saya.

Seketika...