Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Thursday, October 23, 2008

Jejaka dan Kek Cawan 'Hari Jadi' ke 4 tahun






Sabtu ini bersamaan 25 Oktober 2008, genap usia jejaka kecil saya yang pertama berusia 4 tahun. Satu jangkamasa yang tidak begitu panjang, tetapi bermakna buat kami sekeluarga.

Saya menempah 30 biji kek cawan berhias untuk diagihkan kepada kawan-kawan Hakim di taska esok pagi.

Terima kasih kepada Kak Puteri Aishah yang telah bertungkus-lumus menyiapkan kek ini dalam masa sehari. Maaf, tempahan saya di saat akhir diharap tidak menyusahkan akak.

Kek cawan berwarna-warni berhias coklat berbentuk kereta amat sedap dengan inti blueberry (kalau tak silap).

Kepada Muhammad Adli Hakim,
Ibu, babah dan adik Irfan, SAYANG pada Hakim. Semoga terdidik sebagai insan yang soleh, baik hati, beriman dan bijaksana. Semoga tergolong dalam ruh insan yang kamil. AMIN.

Thursday, September 25, 2008

Ibu, Kenapa Lupa?


Sebenarnya banyak kali ingatkan. Ingat mengingat memang suatu perkara yang baik. Tidak kisahlah sama ada yang tua mengingatkan yang muda, dan yang muda mengingatkan yang tua. Kita manusia biasa.
Semalam, untuk yang kesekian kalinya, Hakim meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Dan mengeluarkan bunyi 'syhhhh'.....

Ya, Hakim mengingatkan saya agar berhenti bercakap ketika azan sedang berkumandang. Saya malu, kerana saya yang mengingatkan dia tentang menghormati azan, tetapi saya pula yang mengingkarinya.

Kejutan : Hakim mengingati apa yang di tanam di jiwanya setiap hari. Saya bangga itu. Alhamdulillah.

Monday, September 22, 2008

Mereka mahu kasih


Muhammad Adli Hakim berusia empat tahun pada 25 Oktober 2008 ini. Dan Muhammad Iyad Irfan pula berusia 2 tahun pada 20 Mei 2008 yang lepas.

Mereka dalam usia meraih kasih dan perhatian.

Jadi bila adik menyakiti abangnya, si abang akan mengeluarkan ayat;

"Hakim tak mahu adik bu, buang adik bu," serunya dalam tangis.

Oleh kerana jejaka yang lagi satu itu belum petah berkata-kata, maka dia tidak dapat membalas apa yang dikatakan abangnya.

Padahal masing-masing punya kesalahan.

Agak sukar saya mahu menanam sifat kasih sayang dan tolak ansur dalam diri mereka. Saya buat apa yang termampu. Misalnya menerangkan kepada Hakim betapa adiknya itu amat penting. Jika Adik tiada maka Hakim akan keseorangan. Makan seorang, mandi seorang dan sebagainya.

Alhamdulillah, setakat ini Hakim menarik balik kata-katanya yang meminta saya membuang adiknya.

Kejutan : Hakim memahami maksud 'buang' yang bermakna meletakkan sesuatu jauh-jauh kerana tidak disukai.

Saturday, September 20, 2008

Pengenalan : Ini Rumah Kami



Kami ada rumah. Rumah kami tidak bernama. Rumah kami kecil tetapi cukup bagi kami.

Dalam rumah ini ada empat penghuni.

Seperti rumah-rumah lain, rumah kami juga punya cerita. Suka duka yang harus dicatat sepanjang perjalanan hidup kami. Hanya untuk mengingatkan kami bahawa di sini kami ada.

Rumah kami kecil sahaja. Semoga bahagia sudi singgah. Kerana kami juga manusia. Manusia yang tinggal di dalam sebuah rumah kecil di dunia ini.