Wednesday, March 25, 2009

Lukisan Pertama Hakim



Ini, Hakim lukis sendiri tanpa perhatian ibu.
Selalu-selalu ibu akan bantu.

"Ini apa ni Hakim?" tanya ibu apabila Hakim suakan kertas ini pada ibu.
"Kaki dan tangan Hakim, ibu," jawab Hakim.

"Ini kaki dan tangan Hakim atau cipan?" jawab saya dalam hati.

Hahahhaha....

Tengok Belon




Sabtu lepas, dalam perjalanan pulang ke kampung, kami singgah di Putrajaya. Kononnya mahu melihat belon. Tapi, tak ada apapun. Mungkin waktu kami pergi tu bukan waktu yang betul. Maknanya aktiviti berbelon itu belum bermula. Tak apalah.

Saturday, March 14, 2009

Makan




Hakim dan Irfan bukan bayi kecil lagi. Jadi apa yang mereka makan harus ibu fikirkan.

Bercerita tentang Hakim, jejaka kecil ini sangat memilih. Tidak semua benda dia makan. Makanan baru yang mahu diperkenalkan juga begitu payah untuk meyakinkannya bahawa makanan itu sedap. Sangat payah. Paling memeningkan ibu, Hakim tidak makan sayur, ikan atau daging. Sayur tu, ibu dah potong-potong halus pun dia boleh kesan. Maka, dia akan keluarkan balik dari mulutnya. Ikan pula, terpaksa ibu curi-curi gaul bersama dengan nasi [macam bagi kucing makan pula]. Bagaimana ya?

Irfan pula, alhamdulillah tidak banyak masalah. Bagi apa sahaja, dia akan makan. Dan cara dia makan pula kadangkala amat kelakar. Misalnya meratah mentega kacang dan makan kuah kacang dengan sudu.

Tetapi ada juga persamaan antara keduanya. Masing-masing mencari tanda halal pada makanan. Haru biru dibuatnya apabila semua benda [yang bukan makanan juga], dicari tanda halalnya.

Hadiah Dari Sana


Ada orang hadiahkan ibu ini.

Cantik bukan?

Terima kasih Amz yang banyak memberi dan menerima. Semoga cepat habis belajar dan balik ke sini. Bolehlah ajar Hakim dan Irfan macam-macam nanti.

Tuesday, March 3, 2009

Emosi Yang Terganggu Sedikit




I


Hampir seminggu ibu berada di Pulau Pinang. Urusan Kerja. Semuanya ok. Cuma semasa mahu berangkat ibu asyik fikir yang bukan-bukan. Fikir yang ibu tidak akan balik ke KL semula. Ada rasa sedih yang bertali arus.

Tiba di sana segalanya berjalan dengan baik. Maksud ibu, perasaan ibu. Rindunya pada Hakim dan Irfan tidak terkira. Terbayang-bayang gelak-tawa-tangis jejaka-jejaka kecil ibu itu. Terasa-rasa sentuhan mereka. Terasa-rasa ciuman dan pelukan mereka. Pada babah apatah lagi.

Hari itu, babah telefon. Babah kata, babah dan jejaka-jejaka kecil berada di Cineleisure, Mutiara Damansara. Mahu menonton wayang filem Upin dan Ipin. Arghh, ibu menjerit cemburu.

"Perlukah mereka menonton sekarang?" tanya hati ibu.
"Mengapa mereka tidak menunggu ibu? " tanya ibu lagi pada diri sendiri.

Mungkin babah sengaja mahu memesongkan fikiran jejaka-jejaka kecil itu agar tidak terlalu bertanya pasal ibu. Jika itu alasannya, ibu terima.

Sekembalinya dari Pulau Pinang, seperti biasa melepas rindu yang terlalu banyak dibendung. Hakim dan Irfan bertanya itu ini dan menceritakan itu ini. Tentang makan pakai mereka. Tentang Upin dan Ipin. Tentang babah. Tentang segala.

Selepas ini mungkin ibu akan bekerja di luar kawasan lagi. Semoga jejaka-jejaka kecil dan jejaka ibu yang besar dan tampan itu memahami tugas ibu dan sentiasa redha dengan apa yang ibu lakukan.

II

Jejaka saya seorang yang berjimat cermat. Seperti ibunya. Setiap harta yang dimiliki akan dipelihara sebaiknya. Bukankah itu yang dituntut dalam Islam? Saya kagum itu.

Tetapi sifat berjimat cermat untuk diri sendiri kadangkala amat menyusahkan.

Jejaka saya bukan seorang yang membeli tanpa memakai. Pakaiannya jarang berganti. Selagi boleh disarung, dia akan pakai. Sampaikan saya mual menggosok baju yang sama setiap minggu.

[Kala ini, saya teringat kisah kami semasa di universiti dahulu. Jejaka saya tanpa rasa segan menyarung baju hujan yang agak lusuh. Katanya, masih boleh dipakai dan ia merupakan baju yang dibeli oleh bapanya]

Hari ini jejaka saya membeli kemeja dan seluar baru [setelah hampir setengah tahun tidak membeli].

Hari ini juga saya dapat lihat kesedihan pada wajahnya apabila baju yang dibeli itu rosak terkena warna seluar yang direndam bersama. Perkara sudah berlaku, tidak perlu diungkit lagi salahnya di mana.

Saya bercadang mahu membelikan baju yang baru untuk jejaka esok, semasa dia bertugas di luar kawasan dan akan pulang ke KL agak lewat.

Tetapi saya bimbang dimarahi oleh jejaka. Bimbang dia akan menuduh saya membazir. Bulan ini, 21 Mac ini, ulangtahun kelahiran jejaka.

Perlukah saya membelikan baju yang baru untuk dia? Atau sesuatu yang lain?

Monday, February 23, 2009

MAjlis Tunang Sepupu


Ibu pun tidak ingat nama sebenar sepupu babah ni. Norza kot. Anak Induk Bedah.

Ahad lepas, 22 Februari 2009, majlis pertunangan Norza. Dan juga majlis pertunangan abang Norza. Meriah. Dan Norza cantik. Wajahnya sebiji macam Nurul Syuhada, pengacara Majalah Tiga tu.

Majlis tunang Norza diadakan pada sebelah pagi. Tiada masalah. Cuma panas sedikit. Ibu berpeluh-peluh ambil gambar.

Cuma petangnya, semasa majlis tunang abang Norza [ibu lupa namanya, teruk kan ibu?] hujan turun. Dan majlis itu tidak selancar yang dijangka. Beberapa hal menjadi kekangan membuatkan majlis itu berlangsung dalam suasana yang tidak manis dan memenatkan.




Ramai juga sudara mara yang datang. Atuk dan nenek juga datang dari Tampin.
Jejaka-jejaka kecil ibu mana?
Oh, jumpa kawan rupanya.

Sunday, February 15, 2009

Masa Untuk Mereka





I

"Ibu kerja?" tanya Hakim apabila melihat ibu bersiap-siap.
"Ya." Jawab ibu.
"Hari ini cuti," kata Hakim lagi.

II

Sabtu dan ahad saya ada tugas rasmi. Perlu menghadirkan diri di muktamar yang dianjurkan oleh tempat saya bekerja. Sangat kasihan melihat jejaka saya dan jejaka-jejaka kecil itu terpaksa membahagikan masa di antara mereka kerana kesibukan saya.

Sekembali dari muktamar lebih kurang pukul 5 petang, saya membawa jejaka-jejaka ke Taman Tasik Jaya, bersebelahan Amcop Mall. Lama tak ke sini, 'tempat bercinta' saya dan jejaka itu suatu waktu dahulu semasa kami menuntut di Universiti Malaya.

Hakim dan Irfan main tak ingat dunia. Seperti biasa.

III

"Maafkan ibu. Jika sampai masanya, ibu akan luangkan sepenuh masa untuk Hakim dan Irfan. Juga kamu, jejaka."

Wednesday, February 11, 2009

Jejaka Mentega Kacang



Jejaka kecil ini suka meratah mentega kacang. Apa maknanya?
Kata orang jejaka yang suka meratah mentega kacang seorang yang 'nakal' dan disukai ramai perempuan. Betulkah? Harapnya tidak.

Sebenarnya, jejaka kecil ini, suakan apa sahaja, dia akan makan.

Tuesday, February 10, 2009

Kami Penat

I


Sabtu lalu, tanpa perancangan kami ke Shah Alam. Singgah sebentar di Galeri Shah Alam, Laman Budaya Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam. Agak membosankan kerana pada waktu itu Laman Budaya Shah Alam dipenuhi dengan pasangan 'budak-budak' muda yang tingkahlakunya menyakitkan mata. Aduhai.


Perjalanan pulang ke DD, Kami singgah di Saujana Utama, Sungai Buloh. Seperti biasa, meninjau 'kerja-kerja' pembinaan bakal rumah baru kami di sana. Aduhai, lambat lagi kot.


"Hey, hey, kamu yang sedang berehat tu, cepat kerja. Kami tak sabar nak nak berpindah ke rumah baru."


II


Ahadnya, kami berehat sahaja di rumah. Kemas-kemas rumah dan jejaka-jejaka kecil itu menonton televisyen dari pagi sehingga petang. Petang itu, kami makan roti canai dan ABC di restoran Mahbub. Sedap.


III


Isninnya pula, kami ke Janda Baik. Pertama kali. Ada sesat-sesat sikit. Bukan sesat sebenarnya, cuma mencari tempat mandi yang menarik. Jumpa pun, Pulau Santap yang bersebelahan dengan D'Ark Training & Resort Sdn. Bhd. Menarik. Cuma sungainya agak cetek dan banyak batu. Sangat banyak. Kasihan jejaka-jejaka kecil itu. Sakit kakinya.

Air sungai sangat sejuk, jernih dan bersih.


Makan apa yang ada. Ibu tak memasak apapun. Beli snek dan buah-buahan.

"Lain kali kita datang lagi. Kita masak mee halus, buat bbq, buah-buahan, karipap, burger, nugget..." seru ibu.

Babah memandang ibu dan menyambung, "nanti babah nak beli khemah."

Kami teruja. Apatah lagi jejaka-jejaka kecil itu.


IV


Malam tadi, semak dan kemas buku Hakim. Aduhai, rupanya banyak lagi kerja rumah tak disiapkan. Ibu bersengkang mata menemani Hakim yang sudah mula nangis-nangis tidak mahu buat kerana kepenatan.

Abah sibuk menyiapkan kerja pejabatnya.

Irfan pula asyik mengacau-ngacau abangnya dan membuatkan ibu 'angin' semacam.

Ibu kepenatan dan meninggalkan Hakim bersendirian di meja kerjanya. Selang beberapa minit, Hakim masuk tidur. Irfan juga. Ibu tidak bertanya tentang kerja rumahnya.

Pagi ini, ibu lihat buku Hakim masih bersepah-sepah. Tidak berkemas dan kerja rumahnya tidak siap.

"Maafkan saya cikgu, saya alpa mengingatkan Hakim tentang tugasannya," bisik hati ibu.

Wednesday, February 4, 2009

Majlis Aqiqah Hanna


Minggu lepas, kami ke rumah Mak Teh. Ada Majlis aqiqah cucu Mak Teh, Hanna [anak sulung Aju). Nama bayi Aju pun ibu lupa. Hanna Farhana ke atau Farah Farhana. Lupa la Aju. Maaf ye.

Majlis seperti biasa. Ada kumpulan marhaban dan potong jambul [rambut] bayi. Ada nyanyian berendoi walaupun bayi tidak berbuai. Nasihat-nasihat yang baik diperdengarkan dengan nyanyian yang lunak. Bayi diam sahaja, tidak meragam. Mungkin asyik dengan nasihat dan peringatan dari suara-suara di sekelilingnya.


Semoga Aju menjadi ibu yang baik, sabar dan bahagia dengan kehadiran orang baru di dalam hidupnya. Amin.

Ooo Fatin Farhana...[setelah lawat blog Aju]